Hijrah Katalis Perjuangan

Muqaddimah

Hijrah berasal dari istilah bahasa arab “hajara” yang membawa maksud “berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain”. Ia juga membawa maksud perubahan yang dilakukan ke arah yang lebih baik. Dalam konteks Islam pula ia merujuk kepada peristwa yang bersejarah iaitu penghijrahan baginda Nabi Muhammad S.A.W bersama para sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah dalam usaha baginda meneruskan survival dakwah untuk mengukuhkan kekuatan umat Islam.

Di dalam Al-quran dan hadis terdapat banyak ayat yang mengandungi perkatan hijrah ini. Di antara maksud hijrah yang terkandung dalam al-Quran dan hadis ialah :

• Perpindahan dari negeri yang syirik kepada negeri Islam seperti mana yang telah dilakukan oleh baginda dalam penghijrahan ke Madinah. Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat ketika mereka menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat: Apakah yang kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dulu ialah orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam dan neraka jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Nisaa’, ayat 97)

• Meninggalkan apa yang telah ditegah oleh Allah kearah melaksanakan segala perintahNya. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

“Muslim ialah seseorang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Inzar yang Allah berikan kepada orang muslimin agar berhati-hati terhadap orang kafir sehinggalah mereka kembali ke jalan Allah iaitu Islam. Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran :
Maksudnya : “Mereka (orang kafir) ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, sehingga kamu akan menjadi sama seperti mereka. Maka janganlah kamu menjadikan mereka sebagai penolongmu hingga mereka berhijrah pada jalan Allah”. (Surah al-Nisa ayat 89)

Sejarah Penghijrahan

Para sejarawan islam telah menukilkan bahawa telah berlaku beberapa penghijrahan dalam siri mengembangan dakwah baginda nabi Muhammad SAW.

Penghijrahan para sahabat dari Makkah ke Habsyah. Penghijrahan ini pada awalnya telah disertai seramai sepuluh orang lelaki dan empat orang wanita dan berlaku pada tahun kelima kerasulan baginda nabi Muhammad S.A.W.

Penghijrahan ini adalah berikutan penyiksaan yang telah dilakuakan oleh kaum musyrikin Makkah terhadap orang Islam. Justeru daripada penyiksaan itu Allah S.W.T telah menurunkan beberapa ayat dari surah surah al-Kahfi sebagai panduan pada baginda untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Iktibar yang diceritakan dalam surah ini mengajar kepada baginda bagaimana hijrah meninggalkan Negara kafir sebagai satu cara untuk memelihara aqidah. Lalu baginda memerintahkan sebilangan sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyah setelah mengenal pasti bahawa raja Habsyah tidak menzalimi rakyatnya dan menjadi negara yang selamat untuk berlindung.

Di dalam hijrah yang pertama ini turut serta ialah Saidina Uthman dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah, Abdul Rahman bin Auf dan sahabat-sahabat baginda yang lain.

Penghijrahan baginda nabi Muhammad S.A.W ke Habsyah menyelusuri perjalanan para muhajirin yang telah awal berhijrah. Baginda telah mengutus surat kepada Najasyi menyeru supaya beriman kepada Allah dan rasulnya. Dakwah baginda telah diterima dengan penuh keimanan seperti mana yang telah dinyatakan oleh habasyi dalam surat jawapannya perihal keimanannya kepada Allah dengan penuh keihklasan

Hijrah Yang Terulung : Penghijrahan nabi Muhammad S.A.W ke Madinah.

Para pembesar musyrikin makkah telah merancang pembunuhan baginda nabi Muhammad S.A.W. Kita merancang namun Allah adalah sebaik-baik perancang, lalu Allah S.W.T telah mengutus Jibril untuk membawa wahyu dengan menyatakan keizinan untuk berhijrah kepada baginda nabi Muhammad “Pada malam ini janganlah kamu tidur di tempat tidurmu yang biasa kamu tidur”. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya : “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.” (al-Anfal ayat 30)

Baginda telah menembusi kepungan daripada pasukan bertindak kaum musyrikin dengan pertolongan Allah dengan menghilangkan penglihatan mereka kepada Rasulullah apabila mereka semua nyenyak tidur. Lalu baginda telah mengambil tidakan bijak iaitu mengambil jalan yang jauh serta bersembunyi di Gua Thur bagi mengelakkan dari dikesan kaum musyrikin.

Setelah menempuhi perjalanan yang penuh rintangan dan cabaran telah dilalui oleh Rasulullah dan sahabat karibnya Abu Bakar akhirnya mereka tiba di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiulawal tahun ke-14 kenabian. Di sana baginda telah mendirikan masjid yang pertama sepertimana yang telah dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam firmanNya :


Maksudnya : “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” ( at-Taubah ayat 108 )

Akhirnya baginda tiba di Yathrib (ditukar nama kepada Madinatur Rasul setelah kedatangan baginda), Rasululluah telah disambut dengan girangnya oleh seluruh penduduk Madinah. Penghijrahan ini menjadi penghijrahan yang sangat bersejarah sehinggakan Saidina Umar telah mengambil inisiatif menjadikan dia permulaan pengiraan bagi taqwim hijrah.

Hijrah mengikut pandangan Ulama

Hadith Nabi S.A.W. telah menyebutkan :

Daripada Ibn ‘Abbas r.anhuma, katanya: sabda RasululLah s.a.w: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025)


Kata al-Imam al-Nawawi : “Kata para ulama: Hijrah daripada Dar al-Harb kepada Dar al-Islam kekal sehingga hari kiamat. Bagi hadith ini dua takwilan; pertama: Tiada hijrah daripada Mekah selepas pembukaannya, kerana Mekah telah menjadi Dar al-Islam. Adapun hijrah hanya daripada Dar al-Harb. Hadith ini mengandungi mukjizat RasululLah s.a.w bahawa Mekah akan kekal sebagai Dar al-Islam, yang tidak terbayang untuk berhijrah daripadanya. Kedua: maksudnya tiada hijrah selepas Pembukaan Mekah yang kelebihannya seperti kelebihan sebelum pembukaannya”

Al-Qurtubi telah meriwayatkan dan ibnu al-A’rabi katanya : “Berhijrah di zaman Rasulullah adalah wajib dan fardhu, ianya akan tetap wajib hnigga ke hari kiamat. Yang putus atau dimansuhkan kerana pembukaan Makkah adalah semata-mata untuk nabi sahaja. Kalau seorang itu tinggal atau menetap di negara kafir maka dia dianggap durhaka” - Tafsir Qurtubi

Hijrah Masa Kini : Membentuk peribadi muslim

Membentuk keperibadian manusia mengikut kehendak Islam merupakan kewajipan setiap individu, dengan melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik bercorakkan akhlak Islam. Masalah sosial yang sedang hangat berlaku adalah berpunca daripada kurangnya penilaian diri terhadap pengamalan sebagai seorang muslim. Penghijrahan perlu dilakukan daripada seorang yang sering melakukan kemaksiatan kepada allah kepada pengabdian serta melaksanakan segala suruhan Allah.

"Muslim adalah seseorang yang menghindari menyakiti Muslim dengan lidah dan tangannya. Dan Muhajir adalah orang yang meninggalkan semua apa yang Allah telah larang." (hadis riwayat Imam Bukhari )

Penekanan terhadap lima akhlak utama yang mesti dijiwai oleh seseorang yang ingin malakukan perubahan ke arah membentuk peribadi muslim :

• Cinta kepada Allah
• Berkasih sayang kepada kaum yang beriman
• Bersikap tegas dengan orang kafir
• Berjuang
• Berani dengan kebenaran

Sikap malas, penakut, suka menangguhkan urusan serta berjiwa kecil perlu dinyahkan daripada diri seorang muslim. Sikap seperti ini yang menyebabkan ramai remaja yang terkandas dalam membentuk masa depan mereka. Peribadi muslim perlu rajin,berani, berdisiplin serta berjiwa besar.

Anas bin Malik radhiyallahu anhu berkata bahwa Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam biasa membaca doa :

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْهَرَمِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya : "(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan, rasa malas, rasa takut, kejelekan di waktu tua, dan sifat kikir. Dan aku juga berlindung kepada-Mu dari siksa kubur serta bencana kehidupan dan kematian)." (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Meletakkan Islam di Puncaknya

Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya : “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. ( Surah al-Baqarah ayat 138 )

Dunia kini melihat penghinaan terhadap Islam semakin banyak, kejian terhadap baginda nabi Muhammad S.A.W telah dilakukan sewenang-wenangnya dalam keadaan umat Islam terlalu ramai namun tidak mampu untuk melakukan apa. Benarlah sabda Rasulullah :

“Musuh Islam akan mengerumuni umat Islam pada masa akan datang seperti mereka mendatangi makanan ketika mereka sangat lapar”. Para sahabat bertanya “ apakah pada masa itu umat Islam itu sedikit?” “Tidak, bahkan umat Islam pada masa itu sangat ramai. Tetapi mereka ibarat buih di lautan.”


Bukan sekadar itu sahaja malah keruntuhan sosial dilihat semakin teruk, kes pembuangan anak semakin menjadi-jadi, gejala berdua-duan tidak dapat dibendung lagi, pusat-pusat perjudian dan hiburan semakin bertambah bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Ini kerana kita tidak meletakkan Islam berada ditempatnya yang sebenar.

Umat Islam pelu bangkit melakukan perubahan serta penghijrahan nilai-nilai islam dalam diri. Mereka perlu meletakkan al-quran dan as-Sunnah sebagai pelembagaan dalam semua aspek kehidupan. Islam yang syumul itu melengkapi pada setiap sudut aspek kehidupan. Bak dari sudut ibadah, perhubungan sesama manusia,pernikahan mahupun politik negara.

Penghijrahan dari sebuah negara yang tidak mengamalkan syariat Islam kepada negara Islam adalah satu bentuk hijrah yang perlu dilakukan pada masa kini. Negara perlukan Islam supaya dapat memulihkan semula segala kemusnahan dan kerosakan yang berlaku. Ini kerana Islam memelihara lima unsur penting iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Firman Allah S.W.T. :


“Maka hadapkanlah dirimu ( engkau dan para pengikutmu wahai Muhammad ) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan, agama Allah, iaitu agama yang allah menciptakan manusia ( dengan keadaan bersedia semulajadi ) untuk menerimanya, tidaklah sepatut ada perubahan pada ciptaan allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” ( surah ar-Rum ayat 30)

Hijrah Pemikiran : Kefahaman Yang Jelas Mengenai Islam Serta Syariatnya

Melakukan perubahan persepsi masyarakat terhadap Islam daripada dianggap sebagai satu kongkongan juga kekangan dalam kehidupan kepada satu pegangan serta cara hidup yang aman.

Ajaran Islam bersifat sejagat kerana Allah menurunkannya kepada seluruh manusia sebagai rahmatNya kepada mereka sepanjang zaman dan di semua tempat. Keadilan Islam cukup jelas kerana ia merangkumi seluruh manusia dengan menegakkan persaudaraan dikalangan mereka, memelihara kehormatan agama, nyawa, akal, keturunan harta benda dengan bermatlamatkan dunia dan ahirat.

Hijrah kefahaman yang memisahkan antara agama dan negara kepada penyatuan keduanya. Negara dan politik tidak dapat dipisahkan dari agama dan ia menjadi pegangan yang difahami semenjak zaman rasulullah dan para sahabat. Memisahkan antara keduanya adalah ajaran sekularisme dan menyesatkan.

Syeikh Abdul Kadir Mandali berkata “ Islam bukanlah agama ibadat semata-mata ia turut mencakupi agama peraturan yang memerintah. Sekiranya kita menolak semua perkara yang menuyuruh beramal dengannya hukum itu tetap tidak luput malah ia tetap tegak dengan sendirinya”.

Antara peranan lain yang perlu diberi perhatian ialah mencampak sejauh-jauhnya fikrah madiyyah (pemikiran kebendaan) dari berada di dalam diri umat Islam. Sepertimana ucapan Rubaei bin Amir r.a. kepada panglima Rustam :

إِنَّ اللهَ ابْتَعَثَناَ لِنُخْرِجَ مَنْ شَاْءَ مِنْ عِباَدَةِ الْعِباَدِ إِلىَ عِباَدَةِ رَبِّ الْعِباَدِ وَ مِنْ جَوْرِ اْلأَدْياَنِ إِلىَ اْلعَدْلِ اْلإِسْلاَمِ وَمِنْ ضِيْقِ اْلدُّنْياَ إِلىَ سِعَتِهاَ وَاْلآخِرَةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah swt. telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu Dari perhambaan sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Tuhan Hamba, Dari kezaliman ideologi ciptaan manusia kepada keadilan Islam, Dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat ”

Kesimpulan

Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari peristiwa hijrah Rasulullah yang menjadi satu sejarah manusia umumnya dan umat Islam khususnya. Ini kerana Allah S.W.T telah melahirkan daripada hijrah ini pengajaran yang wajib diikuti oleh orang Islam. Perubahan terutamanya kepada mahasiswa kearah yang lebih matang dan berjiwa besar perlu diambil serius, mahasiswa bukanlah pelajar sekolah rendah yang boleh digula-gulakan akan tetapi individu muslim yang memahami Islam secara syumul serta mengetahui hak serta tanggungjawab sebagai mahasiswa. Semoga dengan peristiwa hijrah ini dapat mematangkan kita serta berani berubah demi maruah.

"Tegakkanlah Islam dalam diri kamu, nescaya tertegak Islam di dalam bumi kamu" (As-Syahid Hasan Al-Banna)

rujukan

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran

Fahami apa itu ikhtilat