March 5, 2011

Solat Jama' & Qasar

 Soalan 1: Dalil solat Jama' & Qasar.



a. Dalil Jama' Taqdim


Riwayat dari Anas bahawa :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رحل قبل أن تزيغ- تميل ظهرا- الشمس، أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل يجمع بينهما، فإن زاغت قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب.
"Sesungguhnya apabila Nabi :saw bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu Asar, kemudian beliau singgah disuatu tempat dan bersolat jama' kedua2 solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat." [Hadith Bukhari dan Muslim].

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن يجمع بين الصلاتين في السفر، أخر الظهر حتى يدخل أول وقت العصر، ثم يجمع بينهما
"Apabila Nabi :saw ingin menjama'kan dua solat semasa bermusafir, beliau akan mengakhirkan/melambatkan Zohor sehingga masuk waktu Asar, kemudian baginda menjama'kan keduanya" [Hadith Riwayat Muslim]

b. Dalil Solat Jama' Ta'khir

Dari Muaz bin Jabal ra. :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب
"Bahawa Nabi :saw ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isya', maka dilakukan solat Isya' dengan Maghrib" [Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmudzi].

c. Solat Qasar

Berkata Anas bin Malik ra. :

خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين، ركعتين حتى رجعنا إلى المدينة
"Kami keluar bersama Nabi :saw dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah" [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].

d. Dalil mengenai Solat dilakukan secara Qasar dan Jama' sekali adalah ijtihad ulama'. Jumhur mengatakan boleh melakukan Jama' dan Qasar. Mereka ini merupakan ulama'-ulama' yang layak mentafsirkan hadith Nabi :saw dalam bentuk amalan Fiqh. Ini merupakan dalil yang kuat untuk dijadikan sandaran. Kesilapan kita dalam mempelajari hadith ialah mengamalkannya secara langsung (harfiyah) TANPA mengetahui bagaimana Imam-Imam ini melakukan pengambilan hukum dari hadith tersebut!

Berikut pandangan Syeikh Ibn Taimiyah rh :

"Mengenai solat Jama' dimana baginda melakukan solat jama' pada beberapa waktu ketika sibuk berjalan, dan uzur syarie. Sebagaimana beliau menjama'kan solat di Arafah dan Muzdalifah. Beliau juga ada kalanya menjama' solat pada perang Tabuk, apabila beliau keluar bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan solat sehingga waktu Asar lalu melakukan kedua-dua solat. Inilah sandaran yang sahih". [Majmu' Fataawa, 24/27].

Cuma persoalannya, dari segi afdhaliyat, solat mana yang harus dilakukan semasa bermusafir, Jama dan Qasar, atau Qasar sahaja? Berkata Syeikh Ibn Taimiyah rh :-

"Alhamdulillah, bahkan melakukan solat pada waktunya adalah lebih afdal, apabila tidak ada keperluan melakukan solat jama'. Pada kebanyakkan masa, Nabi :saw apabila bermusafir, baginda akan bersolat pada waktunya. Akan tetapi baginda pernah menjama'kan beberapa kali" [Majmu' Fataawa, 24/19].

Soalan 2 : Bila yang boleh jamak sahaja tak boleh Qasar?

Solat Qasar hanya boleh dilakukan ketika bermusafiran. Solat Jama' menurut Ibn Utsaimin lebih luas aplikasinya. Ia boleh dilakukan ketika hujan, sakit, dsb, termasuklah semasa bermusafir.

Soalan 3 : Bila yang boleh Qasar sahaja tak boleh jamak?

Bagi ulama' Hanafi, solat jama' hanya boleh dilakukan ketika ibadat Haji, iaitu ketika di Arafah dan di Muzdalifah. Selain dari itu, bagi mereka semasa bermusafir hanya dibenarkan melakukan solat secara Qasar sahaja.

Akan tetapi, jumhur ulama' membenarkan solat Jama' dan Qasar semasa bermusafir. Cuma dari segi afdhaliyat, jika seseorang itu tidak berada didalam keadaan kesukaran, eloklah bersolat secara Qasar sahaja semasa bermusafir, iaitu solat dilakukan pada waktunya.

Soalan 4 : Bila yang boleh kedua-dua jamak dan Qasar serentak?

Kedua-dua solat ini boleh dilakukan sekali ketika bermusafiran. Dan semasa berada ditempat bermusafiran, apabila terdapat beberapa kesukaran, maka diboleh melakukan solat Jama' dan Qasar sekali. WA.

Sekian, wasalam

SUMBER

March 2, 2011

Tarbiyah Kendiri bagi yang mahu mengenali diri...

Pernah rasa keseorangan dalam usaha menjalankan tarbiyah(didikan) terhadap diri? 
Jauh dari rakan-rakan dan sahabat yang mampu membantu diri untuk menjadi hamba Ilahi?

Apakah kita apabila tercampak di mana-mana keseorangan, atau terputus hubungan dengan rakan-rakan yang berbuat kebaikan, maka kita tidak lagi perlu menggerakkan proses untuk membawa diri kita menjadi hamba yang Allah redha?

Lumrah manusia kuat apabila bersama, lemah apabila bersendirian.
Namun bersendirian bukan alasan untuk terus berada dalam kelemahan.

Di sinilah wujudnya tarbiyah kendiri.
Kita memproses diri kita sendiri.


Kenal Allah

Step pertama dan utama dalam menggerakkan proses tarbiyah kendiri ini, semestinya adalah dengan mengenal Allah. Hal ini kerana, apabila menggerakkan tarbiyah kendiri, keimanan adalah tunjang yang membuatkan perkara ini terus berjalan.

Dengan mengenali, betapa Allah itu Maha Melihat dan Mendengar, Maha Memerhati dan Maha Menghitung, mengetahui betapa janji-janji Allah itu benar dan syurgaNya sangat mengiurkan, mengetahui betapa amaran-amaran Allah itu benar dan betapa nerakaNya sangat menakutkan, semestinya diri akan bergerak melakukan sesuatu untuk meningkatkan diri ke arah kebaikan.

Dengan mengetahui apa yang Allah suka, dan apa yang Allah benci, dapat membantu kita menggariskan perkara yang perlu dilakukan dan perkara yang perlu ditinggalkan. Maka kita akan menyusun kehidupan kita ini agar mudah melakukan apa yang Allah suka dan kita akan berusaha mengelakkan diri dari melangkahi larangan-larangan Allah SWT.

Proses mengenali Allah ini, bukanlah ditinggalkan selepas tarbiyah itu berjalan.
Proses mengenali Allah ini juga adalah sebahagian dari proses tarbiyah itu sendiri.

Dan selepas kita menggerakkan diri kita berada di atas proses ini, insyaAllah kita akan lebih mengenali Allah SWT. Kasih sayangNya, cintaNya, marahNya, benciNya, janji-janjiNya, amaran-amaranNya, dan erti menjadi hamba kepadaNya.

Kalau tak kenal Allah, maka hilanglah tujuan dan matlamat menjalani proses tarbiyah, susahlah nak disiplinkan diri nanti.

Gerakkan diri

Satu perkara di dalam medan ilmu ini, yang menjadikan sesuatu ilmu itu tidak bermakna adalah tidak beramal. Kita tahu solat awal waktu itu dituntut, tapi kita lewat-lewatkan. Kita tahu baca Al-Quran itu penting, tapi satu muka surat pun tak habis sehari. Kita tahu tengok movie+drama itu semua melalaikan, tapi kita habiskan masa kita untuk itu. 

Tahu buat banyak kebaikan dapat rahmat Allah, tapi tak buat. Tahu buat banyak dosa menjemput murka Allah, tapi buat.
Dan begitulah dalam banyak hal kehidupan kita.

Kita tidak beramal, tidak menggerakkan diri atas apa yang kita tahu.
Maka proses tarbiyah kendiri adalah dengan kita menetapkan untuk diri kita sendiri dalam menjalankan apa-apa yang Allah mahu.
Memang nampak susah. Memang nampak banyak. 
Tapi rileks. Kena ingat, kita manusia biasa. Bukan malaikat. So, mula dengan sedikit. 
Bak kata orang tua-tua, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit.
Den kata, pelan-pelan kayuh

Step utama dalam tarbiyah kendiri ini adalah tetapkan SASARAN dan buat JADUAL untuk mencapai sasaran itu.
Apa yang hendak dicapai dalam seminggu itu untuk proses tarbiyah?

Kita setkan yang mudah-mudah dulu. Kata la minggu pertama: Perkata wajib kena bagi clear. Maka cuba capai. Kita tambahkan sikit beberapa perkara sunat yang lazim agar dapat membantu kita. Sebagai contoh, membaca bahan-bahan fikrah(satu tajuk kecil tiga hari sekali), membaca Al-Quran sehelai sehari, tambah istighfar 70 kali sehari.
Buat jadual. Gerakkan.

Dan semakin lama, kita tambah lagi sikit. Sikit demi sedikit. Agar kita tidak rasa terbeban, dan memberikan pula ruang untuk kita menghayati, di samping ini menjamin konsistensi.

Bila sudah rasa stabil dan konsisten dengan sasaran mingguan yang ditetapkan, tambah. Dari solat fardhu sahaja, mungkin dah boleh ditambah solat sunat rawatib. Dari sehelai Al-Quran sehari, boleh tambah sehelai setengah atau dua helai. Dari istighfar sahaja, sudah boleh mula tambah selawat. 

Dan dari tiga hari satu tajuk bahan fikrah kita baca, boleh la buat dua hari satu tajuk bahan fikrah.
Slow-slow.
Tapi biasanya, slow-slow ini yang menjamin istiqomah.


Kita gerakkan diri kita dengan pacuan keimanan

Pastinya akan datang rasa lemah. Rasa tak nak buat. Rasa malas. Rasa letih dan sebagainya.

Itulah sebabnya saya katakan, mulakan semua ini dengan mengenal Allah. Bila rasa penat, rasa letih, rasa malas, kita ingat janji-janji Allah yang hendak membayar segala keletihan kita. Kita pandang sedikit ke hadapan dan melihat nerakaNya, apakah kita mahu ke sana?
Kita ingat betapa Allah suruh manusia itu berusaha, kita mengenang betapa Allah itu Maha Pemurah memberikan itu dan ini kepada kita, dan kita membayarNya dengan putus asa?


Kita melihat sejenak syurga yang penuh kenikmatan. Tidak cukup dengan penuh nikmat, kekal abadi pula kita di dalamnya. Dan kita hendak mendapatkannya dengan bersenang lenang dan bersambil lewa?
Memang tidak patut.

Langsung tidak patut.

Kemudian kita melihat pula sekeliling kita. Mana yang lebih banyak? Yang membawa kita ke arah kebaikan, atau yang membawa kita ke arah kejahatan?

Jadi, apakah jika kita tidak melakukan apa-apa, atau sekadar nak tunggu ramai sahabat baik ada bersama dengan kita sahaja, maka tidak akan ada anasir-anasir buruk menjengah kita?
Ahah.


Di sini anda melihat urgensi tarbiyah.
Walaupun seorang diri, kita perlu menggerakkannya.
Bukan untuk sesiapa sebenarnya. Untuk diri kita juga.
Suka ke diri ni masuk neraka Allah?

Ya. Hanya yang beriman sahaja yang akan memacu dirinya menggerakkan proses tarbiyah kendiri ini.


Penutup: Jaga diri baik-baik

Semua orang mahu jadi baik. Tapi tak tahu cara. Ada pula yang dah ada kumpulan yang menggerakkan program-program kebaikan, tetapi bila terputus, maka dia larut. Ada pula yang ada kumpulan usrah, ada program-program tarbawi, tapi bila balik rumah, tak jalankan.
Tragedi-tragedi ini berlaku kerana kita tidak memahami tuntutan untuk melaksanakan tarbiyah secara kendiri.
Ada cuti ke jadi hamba Allah?
Mana ada.
Bersama-sama sahabat baik, itu hakikatnya hanyalah penambahan kekuatan. Akhirnya nak jadikan diri sendiri hamba yang Allah redha, tetap diri sendiri juga kena buat.
Sama-sama kita memandang lebih jauh. Pandang keluarga kita. Pandang masyarakat kita. Pandang sekali akhirat kita.
Apa yang telah kita lakukan?
Mari islah diri sambil perbaiki juga orang lain.
Tarbiyah kendiri, mari kita jalankan!

Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri ” Surah Al-Isra’ ayat 13-14.

Setiap orang dari kalian pasti diajak bicara Tuhan-Nya, tanpa penterjemah antara dirinya dengan-Nya” Hadith muttafaq alaih

“ Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) 

Surah Al –Hasyr ayat 18.