November 30, 2010

Samb - Fiqh Dakwah Dalam Al-Quran


Fiqh Dakwah Dalam Al-Quran 2 :
Dakwah Hendaklah Mengemukakan Alternatif

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Dan datanglah kepadanya kaumnya dengan bergegas-gegas. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Luth berkata, : 'Hai kaumku, inilah puteri-puteri (negeri)ku mereka lebih suci bagimu, maka bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama) ku terhadap tetamuku ini. Tidak adakah di antaramu seorang yang berakal"
(Hud : 78)


Syarah Fiqh Dakwah:

1) Nabi Luth hanya menyalahkan kaumnya dan mengkritik kesalahan mereka tetapi mengemukakan alternatif bagi menyelesaikan masalah mereka dengan menawarkan anak perempuannya.

2) Pendakwah bukan hanya mengkritik tetapi juga mengemukakan penyelesaian dan alternatif.

3) Sesetengah ahli tafsir menyatakan puteri-puteri yang ditawarkan memang anak Nabi Luth. Jika ini benar, maka ia menggambarkan tahap pengorbanan yang tinggi untuk dakwah - kesanggupan untuk menyerahkan anak-anak sendiri dengan syarat ianya sah disisi syara' dan mampu mengubah perangai buruk umatnya.


November 29, 2010

Fiqh Dakwah dalam Al-Quran

Fiqh Dakwah dalam Al-Quran 1:  
- Melakukan Dakwah dengan Berfikir dan Beramal dengan Kejelasan -

Dalil:

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Maka tatkala rasa takut telah hilang dari Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, dia pun bersoal jawab dengan (malaikat-malaikat) Kami tentang kaum Luth. Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar orang yang penyantun dan suka kembali. Hai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak." (Hud : 74-76)

Syarah Fiqh Dakwah:

1) Dakwah harus melahirkan da'i yang berfikir dan berkeyakinan diri untuk berhujah.
2) Walaupun berhadapan dengan perintah Allah ta'ala, ia tidak menghalang Nabi Ibrahim untuk berhujah dan menyatakan pandangannya.
3) Anak buah gerakan dakwah, tidak seharusnya mengikut arahan sahaja tetapi tetap berfikir dan taat dengan kejelasan, harus berani dan berkeyakinan untuk menyampaikan pandangan dan hujah.
4) Allah ta'ala tidak menyalahkan atau mencela Nabi Ibrahim atas soalannya bahkan memuji beliau. Allah ta'ala hanya memaklumkan bahawa walaupun ia mempunyai pandangan tetapi telah cukup tempoh yang diberi bagi kaum Luth sehingga mewajarkan azab ke atas mereka.
5) Pemimpin haruslah memimpin du'at untuk berfikir dan beramal atas kejelasan bukan taat buta.
6) Pemimpin haruslah berjiwa besar untuk bersedia menerima pandangan dan hujah dari pengikutnya.
7) Dakwah bukan indoktrinasi, bukan dogma dan cuci otak.

Sebagai rujukan tambahan, lihat kisah Nabi Ibrahim meminta Allah ta'ala untuk menunjukkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan makhluk yang telah mati di dalam Surah Al-Baqarah : 260.



November 27, 2010

KHEMAH IBADAH MUSIM CUTI SEKOLAH DATANG LAGI!

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah puji dan puja kehadrat Illahi Tuhan sekalian alam dan selawat atas Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan yang baik.

Sebuah hadis dari Rasul SAW :

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali karena tiga hal :
      1. Sadaqah jariah,
      2. Ilmu yang bermanfaat, atau
      3. Anak soleh yang mendoakannya

–Hadis Riwayat Muslim-

Atas dasar itu sukacita dimaklumkan bahawa sekali lagi KHEMAH IBADAH MUSIM CUTI SEKOLAH diadakan di bumi bertuah Universiti Teknologi PETRONAS bagi kali ke 3 yang dianjurkan oleh Rakan Masjid UTP dengan bimbingan Unit Pentadbiran Masjid UTP.

Semoga usaha kecil ini dilihat oleh ALLAH dengan pandangan Rahmat dan RedhaNYA.



Hubungi : En Adiley (05-3688503) untuk urusan pendaftaran
            : En Syarmizi (013-5914652) untuk pertanyaan lanjut

MEMBINA GENERASI AL-QURAN : AYUH PROMOSI KHEMAH IBADAH!!
TARIKH TUTUP PENDAFTARAN : 10 DISEMBER 2010

http://kiutp.blogspot.com/
http://www.rakanmasjid.com/

November 21, 2010

PRASYARAT KEPIMPINAN GERAKAN ISLAM ALAF BARU


Motto:
 Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 71:
يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُوْلَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا(71)
"Pada hari kiamat kelak Kami menyeru setiap golongan manusia berdasarkan (jenis) pemimpin  mereka, maka sesiapa yang diberikan catitan amalnya dari sebelah  tangan kanannya maka mereka itu membacanya ( dengan penuh rela) sedang  mereka sedikitpun tidak dizalimi."

Muqaddimah

Kepimpinan adalah suatu peranan sosial yang vital dan menentukan masa depan mana-mana organisasi; samada organisasi yang bergerak dalam sektor awam, sektor swasta mahupun sektor sosial. Ia juga  merupakan tanggungjawab berat yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa. Kepimpinan adalah  sumber pengaruh yang mencorakkan keluarga, organisasi, masyarakat dan negara. Dalam masa yang sama ia juga menjadi lumrah sumber kebanggaan dan kepentingan yang menjadi rebutan manusia untuk membuktikan keunggulan mereka berbanding orang lain. Lebih jauh, ia bukan sahaja  suatu responsibility dan accountibility duniawi semata-mata bahkan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak di hadapan Allah Azza wa Jalla.

Sebab itulah Rasulullah menegaskan tentang kecelakaan yang akan menimpa seseorang di akhirat kelak apabila ia memikul beban kepimpinan yang ia tidak sanggup melaksanakannya dengan amanah dan adil  di samping menjatuhkan maruah umat. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghiffari berkata kepada Rasulullah: "Apa tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi gabenor (pemimpin wilayah)?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak,  kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya."[i]

Dalam masa yang sama Islam menganggap kepimpinan mempunyai martabatnya yang mulia dan ganjaran yang lumayan dari Allah Azza wa Jalla. Syeikh Izzuddin menegaskan:

اجمع المسلمون على ان الولايات من افضل الطاعات وان الولاة  المقسطين اعظم اجرا واجل قدرا من غيرهم لكثرة ما يجري على ايديهم من اقامة الحدود ودرء الباطل.

Al-Tartusyi menegaskan dalam utusan kepada Ali Bin Yusuf Tasyifin:

((يا أبا يعقوب , لقد ابتليت بأمر لو حملته السماوات لانفطرت , ولو حملته النجوم لانكدرت, ولو حملته الأرض والجبال لتزلزلت وتدكدكت, إنك حملت الأمانة التي عرضت على السماوات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها.واعلم يا أبا يعقوب أنه لا يزني فرج في  ولايتك ومدى سلطانك  طول عمرك, إلا كنت المسؤول عنه والمطالب به  والمرتهن بجزيرته ,ولا يشرب فيها نقطة  مسكر إلا وأنت المسؤول عنها ,ولا ينتهك فيها عرض مسلم إلا وأنت المطالب به , ولا يتعامل فيها بالربا إلا وأنت المأخوذ , وكذا سائر المظالم وكل حرمة انتهكت من حرمات الله تعالى فعهدتها عليك , لأنك قادر  على تغييرها . فأما ما خفي عليك من ذلك , فأنت المبرأ منه, إن شاء الله تعالى .))

Definisi Kepimpinan


Sejak kajian ilmiah yang mendalam terhadap kepimpinan dijalankan terdapat lebih 350 definisi telah diajukan oleh pelbagai kalangan. Ini adalah kerana sifat kepimpinan itu sendiri begitu kompleks dan sukar difahami. Namun pada peringkat mutakhir ini banyak kemajuan telah dicapai dalam hubungan ini. Kajian-kajian terkini telah mendedahkan beberapa elemen asas yang menekankan hakikat istilah ini sebagai suatu faktor yang paling mempengaruhi masyarakat dan organisasi.

Kepimpinan menurut bahasa Arab merujuk kepada istilah seperti al-Khilfah, al-Imamah, al-Wali, al-Risyadah, al-Qiadah dan az-Za'amah. Dalam bahasa Inggeris ia disebut "leadership".

"To lead is to control (a group of people) to be the person who makes the decision or the most important person in the group". (Cambrigde Dictionary of English, hal. 803). Dalam bahasa Melayu pemimpin bermakna: mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, pergerakan, negara dan lain-lain). (Kamus Dewan, edisi 3, hal.1037).

Menurut Richard L. Daft :
"Leadership is an influence relationship among leaders and followers who intend real changes that reflect their shared purposes"[ii]





[i] Said Hawa, Fusulun fil al-Imrah wa al-Amir, Maktabah al-Risalah al-Hadithah,     Amman, Jordan, 1982, hal 10.
[ii] Ibid, hal. 11

Kepimpinan melibatkan elemen berikut:

Kepimpinan dan pemimpin memang dikelilingi oleh berbagai faktor, peranan dan ruang; di mana ia perlu memimpin dan membuat perubahan. Ia bertindak mempengaruhi dan membimbing para pengikutnya. Dalam masa yang sama ia juga dipengaruhi oleh para pengikut yang inginkan perubahan yang positif bagi organisasi dan diri mereka sendiri. Oleh itu pemimpin wajar membuat perubahan bukan sekadar bercokol mempertahankan kedudukan dan kepentingan diri. Lebih jauh perubahan itu sendiri bukan hanya suatu hasrat yang dipaksakan oleh pemimpin dari atas bahkan ialah hasil dari perkongsian misi dan visi yang digagaskan secara jamaah. Ini bermakna pemimpin berperanan mempengaruhi orang yang dipimpin untuk membentuk masa depan dan membuat perubahan seperti yang disepakati bersama.

Kepimpinan secara umum tertera dalam keupayaan merumus konsep, visi dan misi pergerakan, merancang, memotivasikan para pengikut, memiliki kemahiran  pengurusan, pentadbiran, penjagaan, pemeliharaan, penyelarasan, pengawalan, pendisiplinan dan sebagainya. Lebih jauh ia merangkum keupayaan memanfaatkan keupayaan dan kelebihan para pengikut, menyelesaikan pertikaian sesama mereka, mewakili pergerakan, serta memaparkan imej harakah yang dipimpinnya. Pemimpin lumrahnya mempunyai keupayaan komunikasi yang baik, kewibawaan dan keupayaan sosial, daya penarik dan keupayaan menilai sesuatu perkara dan situasi dengan saksama.

Senario Baru Yang Melatari  Kepimpinan Masa Kini

Dunia kini menghadapi perubahan yang pesat dan drastik berbanding masa lalu. Masyarakat menusia melalui perubahan dari zaman pertanian menuju ke zaman industri dan kini zaman informasi yang membawa pelbagai bentuk perubahan dalam jenis pekerjaan, cara berkerja, sifat pekerja , teknologi komunikasi dan sebagainya. Ini menghadapkan para pemimpin dengan berbagai cabaran, peranan dan peluang baru untuk ditangani dengan jitu dan berkesan. Masyarakat manusia berhadapan dengan proses tranformasi dan perubahan paradigma seperti yang tergambar dalam rajah berikut:


Paradigma Lama                                   Paradigma  Baru

Era Industri                                                    Era Informasi
Kestabilan                                                     Perubahan
Kawalan                                              Perkongsian Kuasa (Empowerment)
Kompitisi                                                        Kolaborasi
Benda                                               Manusia dan hubungan kemanusiaan
Keseragaman                                               Kepelbagaian

Bentuk-bentuk perubahan dan persiapan untuk masa hadapan dapat dilihat dalam kertas putih kajian IBM dan lain-lain sumber yang berkaitan. Dalam konteks politik, ekonomi dan sosial ia dipengaruhi oleh proses globalisasi, GII atau Global Information Infastructure, perkembangan undang-undang antarabangsa yang semakin merambah dalam berbagai bidang baru, daya interfere ketenteraan dari negara-negara besar, kekuatan pasaran dan kewangan antarabangsa yang mampu menggugat perkembangan ekonomi negara-negara umat Islam dan negara-negara miskin.

Para pemimpin dan calon pemimpin masa hadapan perlu mengikuti dan memahami serta dapat merumuskan bentuk atau lakaran kemungkinan masa depan secara umum. Dengan itu mereka bertindak dan mengadakan persiapan yang perlu untuk mengatasi kemungkinan-kemungkinan masa depan tersebut.

Sifat-sifat Pemimpin yang Dirumus dari Pendidikan Saintifik:

1.    Kemampuan Mental:
Dia tidak semestinya seorang yang mempunyai kecerdasan yang luar biasa.

2.    Minda dan Kebolehan yang Luas:
Dia bukan sahaja aktif dalam satu bidang sahaja. Dia mempunyai kefahaman yang luas, kecenderungan yang banyak, dan pelbagai. Dia seorang yang peka dan mempunyai minat yang luas terhadap kerja-kerja yang melibatkannya secara langsung, termasuk pelbagai perkara dan aktiviti penting di persekitarannya. Jelasnya dia seorang yang dikurniakan kelebihan yang luas.

3.    Kemahiran Komunikasi:
Salah satu gelaran yang diberikan kepada Nabi Muhammad S.A.W. ialah ‘Orang yang paling fasih bertutur Bahasa Arab’. Mengikut Cambridge History of America Literature, “Bukan polisi dan tindakannya yang menyebabkan kemenangan Lincoln menerajui partinya pada tahun 1860, tetapi cara dia menyampaikan sesuatu". Dalam setiap revolusi, orang yang dapat menyampaikan sesuatu dengan baik dapat memimpin.

4.    Kematangan:
Seorang pemimpin yang berjaya bebas daripada sifat kebudak-budakan; sikap dan tingkah lakunya adalah tindakan seorang yang dewasa yang bertanggungjawab dan matang. Dari segi psikologinya, dia seorang yamg stabil dan menggambarkan kestabilan dan peribadi kepada pengikut-pengikutnya.

5.    Kekuatan Motivasi:
Dorongan, tenaga, inisiatif, ketabahan, keupayaan memulaikan diri sendiri, dan pendirian yang tetap telah lama diterima sebagai tanda pemimpin yang kuat. Pemimpin yang berjaya suka merancang, mengurus dan mengarah usaha yang lain. Dia mempunyai keinginan yang kuat untuk mencapai sesuatu.

6.    Kemahiran Sosial:
Kepimpinan pada dasarnya memperoleh sesuatu melalui orang lain, yang menunjukkan secara jelas bahawa pemimpin yang berjaya mesti bergantung kepada kemahiran sosial. Dia mesti peka terhadap perasaan dan sikap manusia, sama ada jelas atau tidak; dia mesti tegas untuk mempengaruhi orang lain dengan berkesan.

7.    Keupayaan Mentadbir:
Kebolehan membayang, memulakan, merancang, menyusun, mengarah, menyelesaikan, menilai orang lain, memilih, mengajar, merangsang, mengkaji, memerhati, meneliti, memperbaiki, melihat dengan pandangan yang jauh, meringkaskan, memutuskan, memastikan kerja dilaksanakan; perkar-perkara ni merupakan kemahiran yang dipegang oleh pemimpin lebih daripada teknologi.


Kualiti dan sifat-sifat di atas mungkin masih belum cukup untuk memantapkan kepemimpinan harakah untuk masa depan. Mereka perlu dikukuhkan dengan aspek-aspek ruhaniah yang menjadi amalan dan tradisi para leluhur silam daripada kalangan ulama salafussoleh. Sifat-sifat seperti taqwa, wara’, zuhud, nazahah, inabah, tawadhu’, wala’, mujahadah, hikmah dan sebagainya seperti yang diterangkan dengan terperinci oleh Syeikh Said Hawwa dalam buku beliau Tazkiyyah al-Anfus dan sebagainya[i].

Dalam masa yang sama suatu langkah untuk mewujudkan kepimpinan yang berkesan perlu dirancangkan. Richard M. Steers mencadangkan beberapa kaedah untuk meningkatkan keberkesanan kepimpinan dalam organisasi. Antaranya ialah:

1.        Pemilihan pemimpin yang baik. Langkah ini adalah langkah yang paling penting tetapi paling merumitkan. Ini adalah kerana kriteria seorang pemimpin yang berkesan sukar untuk diagak pada seseorang. Langkah yang paling bijak ialah untuk menentukan bentuk kepimpinan yang diperlukan mengikut situasi kumpulan.

2.        Latihan kepimpinan. Latihan adalah satu perkara yang wajib. Dalam organisasi hari ini yang memerlukan pemimpin yang “multi talented” latihan bukan lagi satu kemewahan tetapi satu kemestian. Bidang-bidang latihan yang diperlukan oleh seorang pemimpin ialah seperti pengurusan am, pembangunan organisasi dan manusia, kepimpinan dan pembinaan semangat kumpulan.

3.        Memberi ganjaran kepada sifat kepimpinan. Ahli-ahli kumpulan yang menunjukkan sifat-sifat kepimpinanyang baik perlu diberi ganjaran sewajarnya. Ini termasuklah ganjaran yang berbentuk kenaikan pangkat dan gaji, dan lain-lain bentuk ganjaran yang tidak berbentuk wang. Ini akan mendorong ahli-ahli lain untuk menunujukkan sifat yang sama.

4.        Memberi ganjaran kepada sifat kepengikutan. Pengikut-pengikut yang menunjukkan sifat kepengikutan yang baik juga perlu diberi ganjaran yang sewajarnya. Kepengikutan yang dimaksudkan bukanlah bermaksud sifat-sifat tunduk dan patuh kepada pemimpin secara membuta tuli, tetapi kepengikutan yang konstruktif di mana pengikut memainkan peranan sewajarnya dalam memberi maklumbalas kepada pemimpin.

Merubah struktur, tugas dan suasana kumpulan. Kadang-kadang struktur, bentuk tugas dan suasana yang wujud di dalam kumpulan perlu diubahsuaikan mengikut gaya kepimpinan yang ada di dalamnya. Kumpulan perlu mempunyai sifat-sifat tertentu supaya ianya “best fit”dengan corak kepimpinan yang wujud.[ii]


[i]  Daft, Richard L. Leadership: Theory and Practice,  The Dryden Press, Fort Worth, 1999, hal.      
4. Drucker Foundation, The Leader of The Future, edited by Frances Hesselbein & Partners, Jossey-Bass Publishers, 1996.
5. Hisham al-Talib, Panduan Latihan Bagi Pertugas Islam, (Terjemahan), Nurin Enterprise, Kuala Lumpur 1992, hal.64-65.
6. Wan Izuddin, Strategi Membina Pasukan Berkesan, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur, 1997, hal.50-51

November 8, 2010

Perkongsian Wida'

Segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat illahi kerana memberikan ruangan masa untuk beribadah kepadaNya, selawat dan salam kepada junjungan mulia Muhammad bin Abdullah yang merupakan Nabi akhir zaman. Tidak dilupakan juga buat para sahabat, tabi'in dan tabi'in yang senantiasa istiqamah dalam menyusuri perjuangan yang mulia ini.

Merujuk kepada ibrah daripada sirah nabawiyah, sewaktu haji yang terakhir Rasulullah menyeru para sahabatnya di dalam khutbah hajjatul wida' adalah untuk menyampaikan beberapa amanat, maka insyallah ana pun akan menyampaikan beberapa perkara buat semua.

1) Fahamilah apa itu keberkatan
- Bersandarkan firman Allah dalam surah Al-A'raf : 96, intipati yang kita boleh ambil ialah turunnya keberkatan Allah daripada langit dan bumi bagi 'ahlul qaryah' yang beriman dan bertaqwa dengan ajaran yang diwahyukan olehNya dan disampaikan melalui lidah Rasulullah S.A.W. Oleh itu, kita yang merupakan abnaul harakah mestilah menjaga keberkatan ini kerana itulah kurniaan dan hadiah daripada Allah buat para mujahid di jalanNya. Pelik tapi benar, kadangkala kedengaran masalah2 yang berlaku dalam sesebuah jemaah adalah masalah yang mustahil untuk berlaku. Mungkin inilah akibat daripada mengabaikan permata keberkatan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Jika kita lihat sejarah para as-sabiqun al-awwalun begitu menekankan elemen keberkatan ini sehingga lahirnya sebuah kemenangan yang agung dan diingati sehingga ke hari ini.

2) Belajarlah hidup bermasyarakat
- Mengambil ibrah daripada sirah nabawiyah, ketika mana kematian Abdullah bin Ubai yang merupakan bapa kepada kaum munafik di madinah hadir ke pengetahuan Rasulullah S.A.W., lantas Rasulullah S.A.W. bergegas untuk menziarahi jenazah tersebut. Akan tetapi, tindakan tersebut dihalang oleh saidina Umar r.a. kerana tindakan jahat yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai, maka tidak patut untuk Rasulullah menziarahi jenazahnya dengan tujuan mendoakan keampunannya. Rasulullah S.A.W. tetap bertegas dengan pendiriannya menunjukkan bahawa tiada rasa dengki dan dendam yang disimpan. Namun, turunnya wahyu Allah di dalam surah At-Taubah : 80 mengiyakan tindakan yang dibuat oleh saidina Umar r.a. Maka jelaslah disini, bahawa Rasulullah tetap mengambil berat terhadap masyarakat sekelilingnya walaupun seburuk-buruk perangai manusia seperti Abdullah bin Ubai.

3) Carilah ganjaran akhirat
- Sesungguhnya dunia ini hanya sebuah persinggahan sepertimana yang diingatkan oleh Allah melalui firmanNya di dalam surah As-Syura : 36. Di dalam ayat tersebut, Allah menekankan bahawa sesungguhnya nikmat yang terbaik dan kekal hanyalah disisi Allah S.W.T. Oleh itu, biarlah kita berfikir pendek untuk membuat kebaikan, dan berfikir panjang dalam membuat keburukan @ maksiat kepada Allah S.W.T.

4) Kuasailah ilmu fiqh
- Pada kebiasaannya, kita selalu merujuk ilmu fiqh di dalam Islam hanya bersifatkan perundangan bahkan ilmu ini lebih luas daripada itu. Ilmu fiqh yang dimaksudkan adalah bersifat pemahaman terhadap sesuatu waqi' yang merupakan asas bagi setiap abnaul harakah. Oleh itu, seorang ulama terkemuka, Sheikh Nasirudin Al-Albani mengatakan bahawa setiap ahli2 gerakan Islam perlu menguasai 5 bidang ilmu fiqh iaitu:

a- Fiqh Maqasid
- Fiqh ini merujuk kepada pembahagian Maqasid Syarie iaitu hifzu din, hifzu nafs, hifzu aql, hifzu nasbi, hifzu mal. (menjaga agama, jiwa, akal, keturunan, dan harta). Diantara kelima-lima ini bagaimana susunan keutamaan yang perlu diutamakan.

b- Fiqh Awlawiyat
- Fiqh ini merujuk kepada pembahagian al-dhoruriyat, at-tahsiniyat dan al-hajiyat. Di dalam melaksanakan gerak kerja Islam atau amal Islami perkara ini merupakan perkara asas yang perlu difahami supaya ahli2 gerakan tidak dikotomi dan cuai dalam melaksanakan tugasan yang diberikan supaya kemenangan itu dapat dicapai dengan mudah.

c- Fiqh Sunan
- Fiqh ini pula merujuk kepada ketetapan sunnatullah yang telah diciptakan oleh Allah buat manusia ini. Sepertimana yang kita maklum, adanya Sunnah Syar'iah (Ketetapan daripada Nas2) dan Sunnah Kauniyah (Ketetapan semulajadi @ fitrah) yang perlu diintegrasikan supaya pendekatan dakwah, tarbiyah dan siasah kita ini sesuai dengan waqi masyarakat yang ada.

d- Fiqh Muwazanah
- Fiqh ini pula merujuk kepada pertimbangan memilih maslahah (manfaat) dan mafsadah (mudharat) supaya setiap keputusan yang diambil tidak akan menjadi suatu kesusahan pada masa yang akan datang. Seterusnya, tujuannya adalah agar dengan maklumat terkini ianya dapat memberi kesegaran dan pencerahan baru terhadap maslahah semasa yang dimaksudkan oleh syariat Islam.

e- Fiqh Ikhtilaf
- Fiqh ini pula merujuk kepada ilmu berkaitan dengan kaedah2 dan adab2 perselisihan pandangan. Dalam konteks tradisional ia melibatkan aspek furu' fiqhiyyah. Manakala, dalam konteks gerakan Islam ia melibatkan perbezaan pandangan di segi strategi, taktik, metodologi, pendekatan, uslub, polisi dan seumpamanya.

Akhir kalam, semoga kita bersama-sama dalam perjuangan hinggalah takdir yang menentukan untuk kita berpisah.

Wallahu'alam...