January 29, 2010

Islam itu mudah

Assalamualaikum WRBTH,

Seringkali apabila kita memandang Islam, apa yang dilihat adalah kewajipan dan larangan yang perlu dipatuhi oleh penganutnya. Tetapi kalau kita selidiki dengan lebih mendalam, rupa-rupanya persepsi ini biasanya datang dari penglihatan mata yang hanya memandang kepada amalan yang dilakukan oleh orang-orang yang mengaku sebagai orang Islam.

Sebenarnya kita terlupa seketika, bukankah semua agama yang ada di muka bumi ini mempunyai sumber rujukannya atau 'The Sacred Scripture'. Inilah yang menjadi kekeliruan yang utama berlaku pada zaman mutakhir ini. Malah, kadangkala apabila rujukan yang diteliti pun disalah tafsir kerana kejahilan diri serta ke'ego'an diri yang malu untuk berjumpa dengan yang lebih mengetahui.

Firman Allah S.W.T.


Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar" (Al-Maidah, 5:101)

Islam adalah agama yang mudah. Mudah dalam ertikata dapat dilaksanakan di semua tempat, sesuai pada setiap masa dan bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Oleh kerana Islam adalah agama yang mudah, maka tidak sewajarnya diperberatkan dan dipersulitkan dengan sikap suka mempersoalkan dan mempertikaikan suruhan dan larangan Allah S.W.T. 

Namun begitu, erti mudah itu bukanlah bermaksud mempermudah-mudahkan. Hari ini, kalau kita lihat Islam yang ada hanyalah pada nama, kenapa? kerana beramal mengikut rasa. Cuba kita singkapi kembali sirah perjuangan para anbiya yang merupakan 'duta' Allah yang menjelaskan wahyuNya supaya manusia kembali menyembah dan mentaatiNya. Di dalam kisah Nabi Musa a.s. yang menyeru kaumnya yakni Bani Israel yang cukup terkenal dengan kedegilan mereka untuk menerima wahyu Illahi cukup besar untuk kita jadikan sebagai teladan.

Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 67-73, diterangkan kepada kita bahawa kaum Bani Israel sengaja menanyakan soalan yang hanya akan memberatkan diri mereka sendiri, dan akhirnya mengundang kecelakaan Allah S.W.T. Sedangkan kalau kita teliti arahan yang diberikan oleh Nabi Musa a.s. cukup mudah, namun rasa degil dan ego yang menjadi penyebab seseorang itu tidak menerima hidayah dari Illahi.

Kadangkala, dalam kita melaksanakan ibadah seharian kita merasa letih dan penat. Natijahnya, kita merasa perkara itu berat dan cuba memberi seribu alasan untuk tidak melaksanakannya lagi. Sebagai contoh, bangun qiamullail di tengah malam. Hal ini, kalau dikaji dan diselidiki, rupa-rupanya kerana perkara ini bukan menjadi kerutinan di dalam kehidupan seharian kita. Cuba kita renungkan, seorang baru belajar bermain bola, ingin terus menjadi hebat seperti rooney dalam menjaringkan gol. Secara kebiasaannya, ini adalah mustahil kerana latihannya yang masih belum mencukupi. Namun, jika dia terus berusaha bersungguh-sungguh, barangkali boleh menjadi lebih hebat daripada rooney. Ibarat pepatah melayu, "Alah bisa, tegal biasa".

Inilah erti istiqamah dalam melaksanakan sesuatu amalan yang mana seringkali ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. Biarlah amalan itu sedikit, tetapi dibuat secara berterusan. Dan amalan yang terbaik ialah amalan yang sentiasa meningkat kualitinya dari semasa ke semasa.

Wallahu'alam

January 13, 2010

DAKWAH SUATU TANGGUNGJAWAB


                    Seringkali apabila seseorang itu diberikan taklifan atau tanggungjawab, maka timbul keresahan dan kebingungan dalam dirinya kerana samada perlu diterima atau ditolak tanggungjawab tersebut. Akan tetapi, bukan semua tanggungjawab boleh ditolak dan bukan semua tanggungjawab boleh diminta. Oleh itu, rasa resah dan gelisah terus menghantui dirinya sehingga tiada apa yang mampu dilaksanakannya. Sebenarnya, logik akal kita tersalah meletak penanda aras untuk mengukurnya. Tanggungjawab bukan suatu izzah (kebesaran) tetapi amanah.
Dari Abu Sa’id ‘Abdurrahman bin Samurah r.a. berkata : “Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saya: “Wahai ‘Abdurrahman bin Samurah janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin kerana sesungguhnya apabila kamu diberi suatu kepimpinan tanpa kamu memintanya maka kamu akan mendapat pertolongan untuk memimpinnya, tetapi jika kamu diberi untuk menjadi pemimpin kerana kamu yang memintanya maka seluruh kepimpinan itu akan diserahkan kepadamu. Dan apabila kamu telah bersumpah ke atas sesuatu perbuatan kemudian kamu melihat ada perbuatan lain yang lebih baik daripada perbuatan tadi maka kerjakanlah perbuatan yang lebih baik dan tebuslah sumpahmu itu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Izzah membawa erti kebesaran atau kemegahan, jika seseorang itu meletakkan bahawa tanggungjawab itu adalah izzah, maka dia akan merasa seolah-olah bumi ini begitu sempit baginya. Akan tetapi, jika seseorang itu melihat tanggungjawab itu sebuah amanah, maka dia akan merasa tenang dan bahagia kerana mendapat pertolongan daripadaNya.
Cuba kita fikirkan, seorang engineer atau jurutera yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah mesin yang berfungsi untuk mengawal suhu cecair petroleum yang disedut di dalam perut bumi, sudah tentu akan merasa tension kerana merasa kerja yang dilaksanakannya perlu memenuhi Key Point Indicator (KPI) yang ditetapkan oleh ‘manager’nya. Tetapi, jika dia melihat bahawa kerja itu suatu amanah Allah s.w.t. yang diberikan atas kepakaran atau kelebihan yang ada padanya, maka dia akan merasa tenang dan bahagia dalam melaksanakan kerjanya. Malah, dia akan terus bersungguh-sungguh untuk melaksanakan yang terbaik dan termampu untuk dirinya semata-mata mencari keredhaanNya.
Gaji yang diterimanya dianggap sebagai suatu hadiah dan bukan sebagai kayu ukur kehebatan dirinya. Samada besar atau kecil gaji yang bakal dimilikinya, apa yang penting adalah kualiti kerja yang dilaksanakannya.
Sedar atau tidak, manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t adalah pemimpin yang akan mentadbir bumi ini. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
“Kamu semua adalah pemimpin dan akan disoal tentang kepimpinanmu...” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, seseorang itu tidak boleh lari daripada memegang suatu tanggungjawab, malah sekecil-kecil kepimpinan adalah menjadi pemimpin bagi dirinya sendiri.  Seorang dai'e yang prihatin akan sentiasa merasa bahawa mad'u yang berada di hadapannya sentiasa menginginkan perubahan dalam dirinya. Cuma kadangkala mungkin dai'e tersebut terlalu isti'jal dalam tindakannya menyebabkan mad'u tersebut merasa takut dan lari daripadanya.
Apakah setiap perbuatan yang kita lakukan, kayu ukurnya adalah keputusannya. Bagaimana kalau seorang yang sentiasa rajin mentelaah buku, tetapi apabila keputusan peperiksaan yang diterimanya bukanlah sebaik yang diusahakannya. 
Kesimpulannya, khabar angin yang mengatakan bahawa ejen kristianisasi begitu hebat adalah kerana dai'e yang begitu ramai tetapi tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Ingat bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui saat akhirnya, apakah jawapan yang boleh kita berikan sekiranya dipersoalkan segala tanggungjawab yang diberikan di hadapan Maha Pencipta.





January 12, 2010

Hiburan itu Indah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dunia diburan merupakan satu yang amat indah. Ini pendapat karyawan hiburan mahupun para pencinta seni hiburan di dunia ini. Hiburan merupakan sesuatu yang melalaikan malah menjijikkan. Ini pula pendapat bagi orang yang tegas dalam pendirian terhadap isi hiburan yang rata-rata dikatakan melalaikan manusia. Hiburan ini perlu kawalan. Berhiburlah selagi kita tidak lupa dan lalai kepada Allah SWT. Ini pula pendapat dari seorang sahabat yang saya kenal.

Jadi, di antara ketiga-tiga penyataan di atas, rata-rata ramai pelajar UTP keliru, hiburan yang bagaimanakah yang dibenarkan di dalam Islam? Mari kita sama-sama perhatikan hadis Nabi Muhammad SAW di bawah :
“Daripada Aisyah r.a., pada suatu hari dalam acara perkahwinan, Aisyah menghantar seorang wanita untuk bersanding dengan lelaki kaum Ansar. Rasulullah bersabda, “Apakah kamu tidak ada muzik?” Kerana orang Ansar sangat mengkagumi muzik” (Riwayat Bukhari)

Setiap manusia memiliki adat dan tradisi masing-masing dalam menggambarkan kegembiraan. Tetapi tidak semua tradisi itu diakui oleh syara’ kerana wujudnya unsur-unsur yang bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah seperti wujudnya unsur syirik dan melalaikan.

Islam, sebagaimana yang kita ketahui merupakan agama fitrah yang tidak menghalang sesuatu yang dipersetujui dan tetap menjaga kelestariannya. Akan tetapi tradisi harus dihapuskan apabila bertentangan dengan ajaran Islam. Walaupun matlamatnya halal, ianya tidak menghalalkan cara yang haram untuk mencapai matlamat tersebut.

Rasulullah SAW diutuskan di kalangan bangsa Arab yang penuh dengan adat dan tradisi nenek moyang mereka. Banyak sekali adat dan tradisi yang tetap diakui Nabi, seperti keberanian mereka dan memuliakan tetamu, membantu orang teraniaya dan lain-lain. Dalam menghapus tradisi yang tidak baik yang telah melekat dalam jiwa mereka, Rasulullah melakukannya dengan hikmah dan nasihat yang baik. Rasulullah juga memberi petunjuk kepada adab Islami yang tidak akan membuat mereka rugi dan terhina, bahkan mendapat manfaat dan keuntungan yang besar.

Atas dasar itulah, kita harus menilai kembali setiap perkara yang kita lakukan di muka bumi ini dengan imbangan Iman dan Islam. Kebelakangan ini, kita menyaksikan lambakan ‘event’ di bumi UTP ini. Pelbagai persatuan dan kelab berusaha mengadakan ‘event’ yang terbaik dengan bertujuan untuk mencungkil bakat mahasiswa di samping menjadi medium untuk mahasiswa aktif di bidang bukan akademik. Di pihak Rakan Masjid, kami melihat perkembangan ini merupakan satu budaya yang sihat untuk membuktikan mahasiswa UTP sudah mula merealisasikan misi UTP yang mahu melahirkan graduan yang serba boleh. Namun, pihak kami melahirkan kebimbangan terhadap penganjuran aktiviti berbentuk hiburan yang dalam skala makro sejak akhir-akhir ini. Persoalannya, adakah semua ‘event’ hiburan ini bertepatan dengan kehendak Islam?
Kami di Rakan Masjid sama sekali tidak pernah menolak ‘event’ berbentuk hiburan ini selagi mana penganjurannya berlandaskan lunas-lunas Islam. Atas dasar itu, kami menyeru kepada seluruh mahasiswa UTP yang terlibat dalam menganjurkan ataupun menyertai ‘event-event’ hiburan ini menilai kembali status ‘halal’ ‘event’ tersebut.

Justeru, kami menyeru untuk kita sama-sama berpegang kepada ijtihad tokoh ulama antarabangsa yang terkemuka, Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam memastikan ‘event’ yang dianjurkan selari dengan kehendak Islam. Antara ‘checklist’ yang perlu dipatuhi ialah :
1 ) Penyanyi – hendaklah menutup aurat dan bukan seorang wanita
2 ) Persembahan – terjaga dari segi akhlak dan perbuatan dan tiada penari wanita
3 ) Penonton – terpelihara daripada pencampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di samping menjaga akhlak dan perlakuan
4 ) Lagu atau Lirik – tidak menaikkan syahwat, tidak memuja manusia secara berlebihan

Sekali lagi kami menegaskan, di Pihak Rakan Masjid, kami sentiasa terbuka dan berlapang dada dalam penganjuran ‘event’ hiburan di UTP ini. Beradanya kami di UTP bukanlah untuk menghukum tetapi hanya sekadar ingin berkongsi apa yang kami tahu dengan kalian dan ingin sama-sama menyelamatkan diri kita dari azab Allah SWT. Jelasnya, pihak kami juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan ‘event’ hiburan seperti Malam Inspirasi Seni. Seandainya ‘checklist’ yang telah digariskan tadi dipatuhi, tiada masalah di pihak kami untuk menyokong dan menghadiri mana-mana ‘event’ hiburan yang dianjurkan di UTP ini.

Sudah cukup banyak peringatan yang telah Allah berikan kepada kita; isu bencana yang meratap bumi, isu kematian, isu Palestin, agar kita sama-sama menginsafi dan sedar kembali bahawa matlamat hidup kita di dunia ini adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT.

"Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu kebaikan apa yang telah Engkau ciptakan terhadap kebaikan itu"

Jumaat
10 April 2009
12.14 tengahari

Muhammad Za’im bin Kamarrulzaman,
Timbalan Presiden Rakan Masjid Sesi 2008/2009,
Universiti Teknologi PETRONAS
zaim.zaman@rakanmasjid.com

January 4, 2010

Isu Penggunaan Nama Allah

Assalamualaikum WRBTH,

Segala puji kepada Allah kerana memberi kesempatan untuk menikmati setiap detik bersama-sama nikmat kurniaanNya yang tidak ternilai harganya, selawat dan salam kepada junjungan besar rahmatal lil alamin yang telah pergi namun kehadirannya hingga kini masih lagi dirasai.

Pertamanya, kita boleh lihat isu ini dikupas mengikut beberapa pandangan dan berita yang keluar di dalam post-post yang lepas. Malaysia sekali lagi diundang dengan targedi atau mungkin ujian Illahi ke atas rakyat Malaysia, barangkali mungkin ingin menguji tahap keimanan hamba-hambaNya.

Cuba kita lihat di dalam surah Ali-Imran:64, Firman Allah yang bermaksud :
"Katakanlah (Muhammad), "Wahai Ahli kitab! Marilah (kita) menuju kepada satu kalimat (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun, dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah (kepada mereka), "Saksikanlah, bahawa kami adalah orang muslim".

Daripada petikan ayat ini, kita semua faham bahawa jemputan Allah s.w.t. kepada ahli kitab untuk turut mengamalkan ajaran Islam dan meninggalkan ajaran mereka serta menyembah Allah s.w.t. Seterusnya, satu perkara yang kita tahu tetapi seringkali tertipu iaitu untuk mengetahui sesuatu ajaran, maka perlu kita rujuk kepada sacred scripture sesebuah agama itu. Jika agama Islam, maka sacred scripture adalah Al-Quran dan As-Sunnah, manakala jika agama hindu, sacred scripture adalah kitab veda. Realitinya, kita selalu melihat sesebuah agama berdasarkan apa yang diamalkan oleh penganutnya.

Oleh itu, tidak akan timbul salah faham tentang agama jika rujukan adalah betul dan agama itu sendiri adalah yang hak.  Secara ilmiah, memang tidak ada salahnya penganut agama kristian menggunakan perkataan Allah sebagai tuhan mereka, bahkan mungkin ini akan menjadi asbab mereka mengkaji maksud yang terkandung dalam kalimah itu.

Namun, jika kita melihat situasi atau waqi' semasa umat Islam di Malaysia, amat sedikit golongan yang berilmu pengetahuan atau faqih tentang agama. Malah, selama 51 tahun Malaysia menyambut kemerdekaannya tidak pernah walau sekali subjek agama dijadikan subjek asas atau wajib lulus... hanya sekadar subjek tambahan atau mungkin lebih teruk lagi subjek yang membebankan pelajar sebab tak boleh fokus...

Persoalannya, adakah paderi yang akan membawa masalah kepada agama Islam atau kejahilan umat Islam itu sendiri? Yang mana satu yang lebih aula atau kita utamakan. Adakah dengan mengenakan tindakan mengharamkan penggunaan nama Allah akan meningkatkan tahap ilmu umat Islam di Malaysia? atau umat Islam akan terus merasa comfort zone...

Kesimpulannya, inilah masa yang terbaik untuk para Ulama' menampilkan diri bagi membimbing semula umat ke jalan yang diredhai Illahi. Moga di sebalik isu yang timbul, terdapat hikmah Allah yang Maha Bijaksana mengatur segala sesuatu milikNya.

January 1, 2010

Guna nama Allah: Khalid setuju keputusan Mahkamah

SHAH ALAM, 1 Jan: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad petang tadi bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang orang-orang bukan Islam dari menggunakan perkataan 'Allah'.
Beliau yang sebelum ini dilihat lantang mempertikai usaha KDN di di Parlimen, menganggap keputusan Mahkamah semalam menepati nas al-Quran.

"Keputusan Mahkamah itu menepati dengan al-Quran, iaitu perkataan Allah bukan milik eksklusif umat Islam sahaja tapi semua manusia patut menyembahnya," jelas beliau selepas menyertai solat Jumaat di Surau Nur Hidayah, di sini.

Beliau turut menasihatkan KDN supaya tidak melarang sesuatu yang jelas digalakkan dalam Islam.

"Kalau kita (KDN) nak menghalang keputusan itu, secara tidak langsung seolah-olah menghalang apa yang digalakkan oleh Allah sendiri.

"Yang membeza orang Islam dan bukan Islam bukanlah tuhan kita adalah Allah dan tuhan mereka tidak (dipanggil) Allah, tapi yang membezakannya adalah kefahaman tentang ajaran Islam itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, keputusan mahkamah itu sekali gus mengukuhkan kefahaman orang Islam terhadap agama mereka, bukannya atas nama Islam sahaja.

"Saya rasa keputusan ini (mahkamah) akan mengukuhkan lagi kefahaman Islam di kalangan orang Islam sendiri, bukan atas nama (Islam) saja," jelasnya.

Ujarnya lagi, Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak menghalang masyarakat bukan Islam dari mengaku Allah sebagai Tuhan mereka.

Sebaliknya, Nabi menerapkan kefahaman Islam kepada masyarakat bukan Islam menggunakan rasional dan dakwah; sebagaimana ditunjukkan dalam ayat 87-88 dari surah az-Zukhruf; dan ayat 63 dari surah al-Ankabut.

Tambahnya lagi, kedua-dua ayat tersebut seharusnya mendorong masyarakat Islam menjelaskan kefahaman sebenar tentang Allah dan Islam itu sendiri.

Terdahulu, akhbar mingguan The Herald dihalang dari menggunakan perkataan Islam dalam penerbitan mereka.

Ekoran itu, Gereja Katholik telah memohon perintah Mahkamah supaya menolak larangan yang dilakukan KDN itu.

sumber

Mahkamah Putuskan Majalah Katolik Herald Boleh Guna Perkataan 'Allah'

Khamis Disember 31, 2009

KUALA LUMPUR: Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya,Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.
Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah".
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu.
Selepas keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili menteri dan kerajaan, meminta penjelasan mahkamah sama ada keputusan itu akan menjejaskan penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Disember 2010.
Beliau berkata ini disebabkan permohonan itu adalah untuk tahun ini dan bukannya untuk penerbitan tahun depan.
Peguam yang mewakili gereja berkenaan, Porres Royan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa menteri telah pun memberi permit baru pada awal tahun ini untuk penerbitan tahun depan.
"Keputusan itu dengan sendirinya jelas. Menteri telah pun memberi permit baru untuk tahun depan. Saya percaya menteri akan akur dengan keputusan ini," katanya.
Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan arahan daripada menteri sama ada keputusan hari ini akan menjejaskan permit baru untuk penerbitan tahun depan memandangkan ia membabitkan perkara yang sangat serius.
Katanya, beliau juga perlu mendapatkan arahan daripada responden mengenai sama ada untuk merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan.
Lau berkata responden mempunyai 30 hari untuk memfailkan permohonan itu. -BERNAMA
 
Sumber