August 18, 2010

Jawatan itu adalah amanah




Jawatan adalah amanah besar yang terpaksa dipikul di dunia, dan ia terpaksa pula menjawab dihadapan Allah di hari akhirat, maka selayaknya seseorang itu menangis dengan jawatan yang dipegangnya.
Bukan menangisi bila ia tidak dipilih; bahkan kalaulah kita menyedari betapa beratnya amanah ini, nescaya kita akan mengucapkan 'terima kasih' kepada sahabat yang tidak memilihnya, kerana mereka telah menolong meringankan kita di hadapan Allah di akhirat. Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.; "Wahai Abu Zar, kamu lemah sedangkan jawatan yang kamu minta ini adalah amanah. Dan dengannya (jawatan) kelak di hari akhirat kamu akan menyesal dan dukacita; melainkan kamu ambil kerana kamu layak memikulnya, dan kamu tunaikan pula amanah itu." Abu Zar adalah sahabat nabi yang pernah pengsan kerana takutkan Allah, jauh berbeza dengan kita hari ini. Sabdanya lagi: "Mana-mana pemimpin yang mengkhianati rakyatnya, maka ia di dalam neraka." (Riwayat Tabrani) Sebenarnya terlalu banyak hadis yang sangat menggerunkan bagi orang yang memikul amanah, namun dikhuatiri akan tiada orang yang sanggup menerima jawatan yang diamanahkan kepadanya, maka memadailah dengan peringatan ini, menyebabkan ia takut untuk menerima jawatan yang diberi. Antara menerima dan menolak amanah memimpin

Lalu ada yang bertanya kalau demikian, apakah kita harus biarkan jawatan disandang oleh orang yang tidak layak untuk menguruskan organisasi kita. Kita melihat tidak timbul soal tidak layak, kerana semua pendokong kepimpinan yang ada adalah mereka yang sangat layak memikulnya.
Kita hanya memilih yang terbaik dari yang baik-baik, kerana itu sifat yang ada kepada kita adalah tidak melampau dalam mengharapkan jawatan untuk dimenangi, sehingga sekiranya kita tidak terpilih kita melakukan sesuatu diluar adab berjamaah, sehingga tindakan kita tidak menguntungkan jamaah bahkan menyusahkan jamaah.

Kalau diperingkat awal kita menyatakan 'saya hanya menawar diri', apa makna kalau kita tewas atau tidak dipilih kita rasa kecewa, melarikan diri dari jamaah, mendiamkan diri, mengharapkan dalam hati agar yang menang gagal dan kerjanya, bahkan lebih malang lagi kita mengambil sikap memusuhi pesaing kita.

Pendokong jamaah harus sedar dengan perangkap syaitan dan hawa nafsu yang sangat licik, untuk merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari perjuangan Islam. Lantaran itu ucaplah tahniah kepada pesaing kita yang menang dan katakan kepadanya: "Tahniah atas kejayaan anta demi jamaah, dan ana akan bantu anta dalam urusan ini". Kata-kata begini dan seumpamanya akan melemahkan hawa nafsu jahat dan mengecewakan syaitan dari merosakkan kita.

Jawatan bukan untuk direbut

Jawatan bukanlah sesuatu yang perlu direbut, tetapi menerima penyelesaian secara syura adalah baik. Sama ada untuk jamaah atau untuk diri penerima jawatan.

Kita perlu menyedari bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita:
"Sesiapa yang menghendaki jawatan, sedang jamaah tidak meredainya, maka ia tidak akan ditolongi Allah dalam mengatasi masalahnya, dan sesiapa yang menerima jawatan sedang jamaah mengharapkannya, maka Allah akan membantunya dalam segala urusannya." (mafhum dari Hadis rasulullah s.a.w.)

Menerima kaedah syura bermakna redha dengan keputusan yang dibuat oleh jamaah ke atas diri kita, dan tidak dianggap redha seandainya kita meluahkan rasa kecewa di luar majlis itu. Demikian juga adalah malang bagi pimpinan seandainya menyatakan bangkangan kepada apa yang telah diputuskan oleh jamaah.

Apa makna berada dalam jamaah seandainya kita tidak boleh redha dengan keputusan jamaah? Lebih malang lagi bilamana kita merasa bahawa kita lebih penting dari jamaah atau merasai jamaah akan lemah kerana tiadanya kita.

Tidak boleh lari dari amanah

Menolak sesuatu jawatan yang diamanah juga merupakan suatu yang bertentangan dengan sifat jamaah. Seseorang pendokong jamaah hendaklah meletakkan kepentingan jamaah lebih dari kepentingan dirinya dan keluarganya, kerana itu ia tidak boleh lari dari menerima jawatan yang diamanah kepadanya.

Kita bukan berhadapan dengan budaya merebut jawatan, sebaliknya kita berhadapan dengan sikap ahli yang tidak mahu menerima jawatan. Sikap ini juga tidak membantu jamaah dalam membina kekuatan.

Terkadang sikap ahli dan sebahagian pendokong jamaah yang enggan menerima jawatan diamanahkan kepadanya, menyebabkan timbul dua keadaan:

1) Jamaah kehilangan tenaga yang berwibawa, dan keadaan ini melambatkan kejayaan dalam perjuangan Islam.

2) Tindakannya mendedahkan jamaah kepada mehnah, fitnah sama ada akan ada yang menganggap jamaah membelakangkan orang yang dianggap layak; atau ia menjadi golongan yang suka komplen dan kritik kelemahan jamaah. Kerana mereka yang berada diluar padang sangat senang mengkritik pemain yang bermengah-mengah di tengah padang.

August 12, 2010

Ramadhan: Penyucian diri kembali kepada fitrah

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bertarikh: 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

August 6, 2010

Persediaan menuju tirai Ramadhan Al-Mubarak

Segala pujian ke hadrat illahi kerana masih lagi mengurniakan nikmat rezekiNya yang tidak mampu dikira atau dihitung apatah lagi membalasnya, selawat dan salam kepada junjungan mulia Muhammad Ibn Abdullah yang telah lama meninggalkan kita tetapi hasil tarbiyahnya masih lagi kelihatan di dalam sebahagian umatnya, tidak lupa buat para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in yang menjadi generasi pewaris perjuangan yang mulia ini.
Secara sedar atau tidak, tirai Ramadhan sudah mula menunjukkan dirinya. Tidak lama lagi, pintu tirai ini akan terbuka luas bagi setiap hamba-hambaNya yang mengharapkan redha dan rindu untuk bersua denganNya. Rasa letih yang ada sedikit demi sedikit hilang, apabila memikirkan betapa banyaknya nikmat yang diberikan kepada kita.

Kelmarin, ada perjumpaan bersama beberapa pelajar UTP international di bilik VIP room di Masjid an-nur. Antara agenda utamanya iaitu perlantikan imam terawikh di bulan Ramadhan. Sementara menunggu kedatangan Us Zuriat, sempat ana ber'taaruf' dengan pelajar-pelajar international. Ada diantara mereka yang mula menghafal Al-Quran bermula usia 13 tahun, malah yang bermula pada usia 18 tahun pun ada.
Terkenang kembali semasa belajar di perantauan (Springs, SA) suatu masa dahulu, dalam kelas yang ana belajar ada seorang adik yang usianya baru sahaja 8 tahun. Bagi ana, usia tersebut masih begitu muda, malah ana dulu pun pada usia yang sama baru belajar tajwid dengan Ustazah Halwani. Namun begitu, adik ini nampaknya tiada masalah untuk menghafal, lebih2 lagi usia 8 tahun tetapi sudah hafal 8 juzuk.

Di SA, menghafaz Al-Quran merupakan silibus rutin bagi anak-anak kecil disana. Bilamana mereka pergi ke peringkat sekolah menengah, mereka akan teruskan dengan minat yang mereka ingin ceburi, antaranya jurutera, peniaga dan lain2. Sebab itu, tidak hairanlah kalau terjumpa dengan peniaga emas yang huffaz. Sambil2 jaga kedai, sempat lagi mengulang hafazan.

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak ini, "ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan".

Firman Allah SWT :
“ Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”                                             ( Al- Baqarah 2 : 185)

Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."


Bersama kita imarahkan bulan Ramadhan...