October 28, 2010

Yudi tenang berzikir

Tidak sebagaimana lazimnya, azan subuh yang berkumandang di dinihari yang hening hari itu menyebabkan hati seorang paderi bagai disayat-sayat, begitu menyakitkan. 

Jantung turut berdegup dengan lebih deras dan kencang sehinggakan Yudi Mulyana bagaikan 'lumpuh' sekujur badannya. 



Benar-benar beliau tidak mampu bangun. Hatta untuk mengangkat tangan pun dirasakan sangat berat. Seolah-olah semuanya keras bertukar seperti batu. 

"Saya tidak tahu apa yang terjadi pada diri saya pada pagi itu," katanya yang menceritakan kembali kejadian yang disifatkan aneh pada awal Ogos tahun 2008.

Lazimnya, Yudi sudah terbiasa bangun seawal subuh untuk beribadat iaitu membaca doa pagi dan membaca kitab Injil sebagai pembuka hari.

Namun pada pagi itu, tidak semena-mena beliau bagaikan 'lumpuh' kesan azan subuh yang berkumandang dari masjid berhampiran. 

Meskipun agak panik, Yudi kembali bertenang dengan mengatur nafas memulihkan semula ingatan.

Apabila dia mampu melangkahkan kaki, Yudi terus menghidupkan televisyen yang kebetulan sedang menyiarkan program berzikir yang dipimpin oleh Ustaz Arifin Illham. 

Lantas tanpa dia sedari, bibirnya terus kumat kamit mengikuti zikir yang dibacakan oleh ustaz itu. 

Apabila tersedar ekoran apa yang dilakukan, dia merasakan dirinya lebih tenang.
Yudi terus bicara sendiri: "Tuhan, apa yang telah terjadi pada ku ini! Sedangkan aku seorang paderi Kristian tetapi hati ini lebih tenang selepas berzikir memuji-muji Allah, tuhan yang disembah oleh umat Muhammad yang sekian menjadi musuhku selama ini!" 

Dia yang juga seorang tenaga pengajar Kristian di sebuah sekolah rendah di Cirebon, Jawa Indonesia masih tidak beroleh jawapan daripada persoalan itu. Namun kejadian yang sama hampir berulang tiap kali dia mendengar azan berkumandang. 

Dia tidak benci pada seruan memanggil untuk mengerjakan solat itu.
Tetapi sekujur tubuhnya bergetar dengan kuat dan setiap kali cuba mencapai kitab Injil. Bukan sahaja hatinya gelisah namun yang lebih peliknya tangannya juga turut menggeletar menyebabkan Injil itu tidak dapat disentuhnya. 



Lalu Yudi terpaksa menemui Ustaz Nudzom, iaitu anak ketua Majlis Ulama (MU) Cawangan Kabupaten Cirebon bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Ini kerana apa yang dialaminya sangat berkaitan dengan soal agama. 

Lalu diceritakan segala pengalamannya kepada Nudzom dan akhirnya terkejut apabila ustaz itu berkata: "Anda sebenarnya telah mendapat hidayah (Islam) dari Allah!"
Mendengarkan itu, Yudi terus terdiam namun hatinya memberontak berkata: "Tuhan, saya tidak ingin menjadi Muslim!" 

Namun apa yang berlaku setiap kali azan berkumandangnya itu tetap menghantui fikiran Yudi. Malah dia sendiri dapat merasakan gereja bukan tempat yang menjanjikan ketenangan di jiwanya. 

Ini kerana ketenangan itu akan hanya menjadi miliknya setiap kali dia melalui masjid atau kadang kala apabila Yudi curi-curi masuk sehingga ke halaman masjid. 

Sekadar lalu di hadapan masjid sahaja, dia bagai dihembus angin nyaman lagi menenangkan.
Sehinggalah pada 7 Ogos 2008, sedang Yudi mengajar anak-anak muridnya, tiba-tiba dia terdengar suara azan yang semakin merdu berkumandang di telinganya di saat masih belum masuk waktu solat. 

"Saat itu juga rasanya saya ingin terus mengucapkan syahadah namun saya berjaya tahan sehinggalah saya mengadu sendiri kepada Guru Besar, Dr. Sri Hayatun mengenai hidayah Allah yang begitu memburu diri ini," katanya. 

Ini menyebabkan guru besar menjadi sangat hairan kerana sepanjang pengetahuannya, Yudi merupakan seorang paderi yang sangat tegar.

Namun tekad Yudi untuk memeluk Islam sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi dengan terlebih memberitahu kepada ibu yang melahirkannya ke dunia ini.

October 20, 2010

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Sekiranya kita mengamati dan menghayati isi kandungan al-Quran, kita akan menemui lafaz-lafaz yang mempunyai lebih dari satu makna. Lafaz-lafaz ini dikenali oleh ulama-ulama usul fiqh sebagai lafaz musytarak.

Lafaz musytarak adalah lafaz yang mempunyai dua maksud yang berbeza antara satu sama lain. Ia juga mungkin menunjukkan lebih dua maksud.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terdapatnya kepelbagaian makna terhadap sesuatu lafaz dalam al-Quran dan Sunnah.

Faktor yang pertama adalah kerana wujudnya makna yang sebenar dan makna majaziy (kiasan atau perumpamaan).

Sesuatu perkataan atau lafaz itu digunakan dengan makna asalnya, tetapi akhirnya ia turut digunakan untuk tujuan majaziy.

Apabila makna majaziy ini sering digunakan, akhirnya ia akan mendorong masyarakat melazimi penggunaannya seolah makna majaziy tersebut adalah juga makna asal bagi lafaz berkenaan. Justeru, masyarakat akan menerima dua makna dari perkataan tersebut.

Faktor kedua adalah kerana perbezaan penggunaan terhadap bahasa Arab mengikut kabilah atau kaum-kaum tertentu.

Ia merujuk kepada kefahaman suku-suku bangsa Arab terhadap sesuatu lafaz. Di mana berkemungkinan lafaz tersebut difahami dan digunakan oleh sesuatu kabilah mengikut kebiasaan mereka dan sebaliknya digunakan oleh kabilah yang lain mengikut kefahaman dan kebiasaannya.

Suasana ini juga berlaku sekiranya kita mengkaji penggunaan bahasa Melayu yang mungkin mempunyai pemahaman yang berbeza mengikut negeri dan konteks penggunaan.

Faktor ketiga berlakunya lafaz musytarak adalah kerana sesuatu lafaz itu mempunyai makna yang ditentukan dari segi bahasa dan istilah.

Biasanya ia berlaku dalam disiplin ilmu tertentu yang mana setiap perkataan mempunyai makna tersendiri dari sudut bahasa (lughawi) dan istilah (istilahi).

Sebagai contohnya, pengertian 'hukum' daripada sudut bahasa adalah pelaksanaan. Namun, dari sudut istilah adalah: "Perkara yang dituntut oleh kata-kata syarak yang bersangkutan dengan perbuatan orang yang bertanggungjawab, sama ada permintaan, memberi pilihan mahupun penetapan".

Demikian juga perkataan zakat yang mempunyai maknanya dari sudut bahasa dan istilah. Daripada sudut bahasa, zakat bermaksud kesuburan, kesucian dan pertambahan.

Daripada sudut istilah, zakat bermaksud "mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya apabila telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan".

Justeru, faktor-faktor inilah yang membentuk lafaz-lafaz dalam al-Quran dan hadis menjadi lafaz musytarak.

Inilah sebenarnya antara titik-tolak berlakunya ikhtilaf dan kepelbagaian pandangan di kalangan ulama. Mereka mempunyai pentafsiran yang berbeza terhadap kalimah dan lafaz yang terkandung dalam al-Quran.

Sebagai contoh, para ulama berselisih pandangan dalam menentukan makna yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam ayat ke 228, Surah Al-Baqarah yang bermaksud: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali quru'.

Kalimah quru' dalam ayat berkenaan adalah lafaz musytarak yang mengandungi dua makna iaitu suci dan haid.

Dalam mentafsirkan lafaz ini, menurut majoriti ulama mazhab Syafie dan beberapa ulama lain, makna yang dikehendaki melalui lafaz tersebut adalah suci.

Ulama mazhab Hanafi dan beberapa ulama lain pula berpandangan bahawa makna yang dikehendaki dari lafaz quru' adalah haid. Kedua-dua pandangan ini mempunyai hujah dan alasan masing-masing.

Oleh kerana lafaz musytarak mempunyai pelbagai maksud, maka persoalannya adakah kita dibenarkan untuk menggunakan salah satu daripadanya atau boleh untuk menghimpunkan makna-makna berkenaan.

-SUMBER-

October 19, 2010

Harakah tanpa tarbiyah, maka pincanglah fikrahnya...

Assalamualaikum wrbth,

Semalam telah diadakan usrah bersama sahabat2 sebagai ganti minggu lepas yang agak kesibukan. Rupa-rupanya, banyak perkara perlu sentiasa diingatkan supaya nadi istiqamah sentiasa berdenyut selari dengan dengupan perjuangan yang mencari-cari erti kemenangan yang sebenar.

Merujuk kepada buku 'Al-Mutasaqitun ala tariq ad-dakwah' karya Al-Fadhil allahyarham Fathi Yakan yang merupakan mujahid yang telah meninggalkan seribu satu mutiara ilmunya untuk dipelajari. Di antara sebab2 berlakunya keciciran dalam medan perjuangan ini ialah kelemahan sudut tarbiyah yang mana berhubung kait dengan sesebuah harakah (gerakan) itu sendiri.

Biasanya apabila ahli itu semakin lama berada di dalam harakah, maka ahli itu akan mempunyai persepsi bahawa perkara2 @ amal2 asas yang dipelajarinya atau yang dilakukannya dahulu adalah perkara2 kecil sahaja. Persoalan mudah apabila seseorang itu ditanya, dimana letaknya tarbiyah di dalam harakah tersebut...

Mungkin ada yang berkata, taklifan yang diberikan... Ibadah yang dilaksanakan... Ukhuwah yang terbina...

Inilah akibatnya , apabila melihat tarbiyah sebagai satu sudut yang kecil tanpa melihat keseluruhan ruang yang ada. Akibatnya tindakan dan cara mu'amalah (perhubungan) mereka jauh sekali dari akhlak Islam. Mu'amalah yang berbentuk rabbaniyah dan tidak mempunyai 'uzubah ar-ruhaniyah (kesedaran rohani).

Memang betul, setiap perkara ada ahlinya (kepakaran masing2) maka perlulah diserahkan tugasan itu kepada ahlinya. Tetapi, adakah ini bermaksud hal2 siasah bagi pada ahli siasah dan hal2 tarbiyah bagi pada ahlinya sahaja. Malah, yang lebih teruk lagi bilamana siasah itu siasah dan tidak boleh bercampur dengan tarbiyah. Inilah elemen2 yang mampu merosakkan sesebuah harakah, kalaulah dia tidak menyedari perkara ini dan tidak segera mengambil langkah memperbaiki dirinya maka dia pasti akan jatuh...

Sesungguhnya sifat iman itu ada naik dan turunnya kerana itulah lumrah insan yang diciptakanNya. Sabda Rasulullah S.A.W.

"Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamu menjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu, mohonkanlah dari Allah Ta'ala supaya Dia membaharui iman di dalam hati kamu" (Riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim)

Oleh itu, perlulah diingat bahawa harakah hanyalah wasilah (alat) dan bukan ghayah (matlamat), ianya adalah wasilah untuk melaksanakan perintah Allah dan berusaha memperolehi keredhaanNya; bukanlah wasilah untuk mencapai kepentingan diri. Atas dasar itu, tidak kira sama ada pimpinan atau ahli, jika berlaku kecacatan dalam takwin (pembinaan syakhsiyyah), maka akan pincanglah fikrah dan kepentingan yang seharusnya diletakkan kepada Allah semata-mata.


Sesungguhnya hati orang2 Mu'min adalah berada di antara dua jari Ar-Rahman. Fitnah akan sentiasa melanda hati. Seseorang mu'min mestilah sentiasa berjaga-jaga dari su'ul munqalib dan sentiasa memohon dari Allah supaya dimatikan di dalam husnul khatimah (kesudahan yang baik).

Oleh itu, tunjang tarbiyah adalah usrah. Bilamana ahli merasakan bahawa usrah sesuatu keterpakasaan maka ruh tarbiyahnya sudah mula dirosakkan. Apatah lagi, jika perkara2 yang lebih besar.

Satu soalan yang menarik telah dibincangkan bersama sahabat2... Adakah kebaikan yang kita lakukan itu boleh diumumkan pada khalayak ramai?... Sebagai contoh, dalam event atau aktiviti yang kita laksanakan biasanya kita akan ambil gambar untuk dimuat turun ke dalam portal atau blog supaya dapat dibaca oleh orang umum atau mad'u. Hatta, bantuan yang diberikan pun perlu didedahkan berapa jumlahnya... Agak2 adakah ini akan menggugat ikhlas dalam beribadah?...


Oleh itu, berdasarkan firman Allah S.W.T. :

"Jikalau kamu menzahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka Yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh Yang baik). dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa Yang kamu lakukan" (Al-Baqarah : 271)

Merujuk kepada kisah khulafa Ar-Rasyidin, bilamana Saidina Abu Bakar r.a. hendak melaksanakan ibadah qiamullail maka dilaksanakan dalam suasana yang sunyi dan tenang (bacaan yang perlahan). Akan tetapi, bagi Saidina Umar, ibadah qiamullail dibuat dalam suasana yang terang dan dijaharkan (dikeraskan suara) bacaannya supaya dapat mengejutkan sahabat2 yang lain untuk sama2 beribadah. Hal ini diketahui oleh Rasulullah S.A.W., lantas Rasulullah S.A.W. mengiyakan ibadah kedua-dua orang sahabatnya.

Hikmah yang dapat diambil disini, kebaikan yang diumumkan kepada orang ramai mestilah mempunyai 2 syarat :
1) Mengajak kepada amar ma'ruf
2) Tidak menimbulkan fitnah

Sebagai contohnya, seorang suka bersedekah maka harus untuknya menyatakan amalannya jika dapat mengajak orang2 di sekelilingnya untuk bersedekah, namun jika perkara ini akan menimbulkan keraguan dalam amalnya itu, maka tidak perlu untuk dia menyatakan sedekahnya itu. Tetapi, jika dia memberi sedekah hasil daripada peruntukan organisasi, maka dia perlu untuk menyatakan sedekah (pemberian) itu kerana jika dia menyembunyikannya maka ada pihak akan menyatakan bahawa duit tersebut telah 'digelapkan'.

Wallahu'alam...

October 12, 2010

Pemimpin bukan Islam iktiraf Al-Quran

GEORGETOWN, 11 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggangap para huffaz merupakan harta yang tidak ternilai pada negara kerana memerlukan kepimpinan berketrampilan dan mempunyai cara hidup beragama yang tinggi.

Katanya, jika tidak mengamalkan cara hidup beragama yang tinggi beliau yakin negara boleh musnah ekoran krisis moral yang semakin mengancam negara.

"Para huffaz sama ada yang hadir pada hari ini atau yang ada di luar negara adalah harta yang tidak ternilai pada negara. Kepimpinan yang berakhlak mulia akan mengemudikan negara dengan baik," ujarnya ketika berucap sempena Majlis Pengiktirafan Al-Hafiz dan Ijtimak Huffaz Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, pagi tadi.

Oleh itu, sambung beliau sejak tiga tahun lepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan sumbangan kepada golongan terbabit sebagai menghargai jasa mereka yang sanggup menghafal Al-Quran.

Kerajaan juga, ujarnya menyalurkan bantuan khusus kepada aktiviti keagamaan semata-mata memartabatkan Islam di negeri ini dan hasil program tersebut terhadap pertambahan 40 orang huffaz untuk tahun ini berbanding tahun lalu.

Ia juga, katanya selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mahu melahirkan 'satu keluarga satu hafiz'.

"Saya yakin hasil dari pengiktirafan itu menambahkan lagi para huffaz di negeri ini. Untuk tahun ini sahaja saya difahamkan 40 orang telah dilahirkan. Ini satu kebanggaan," tegasnya.

Selain memberikan pengiktirafan kepada para huffaz yang hadir kerajaan negeri juga memberikan sumbangan kepada Johan Program Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridwan yang telah menaikkan imej Negeri Pulau Pinang serta boleh dijadikan motivasi kepada para huffaz di sini.

Beliau merupakan seorang huffaz lulusan Maahad Tahfiz Al Quran Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Abdul Rahman Abas.

-SUMBER-


Sambil2 mengisi minda dengan masa yang terluang, terbaca keratan e-paper dari harakahdaily (bole rujuk kat atas)... Agak terkejut apabila pengiktirafan yang diberikan itu bukanlah dari pemimpin yang beragama Islam. Malah galakan juga turut diberikan kepada ahli2 keluarga yang ada supaya "1 keluarga, 1 tahfiz"...

Teringat kembali, ketika mana Rasulullah menghantar Jaafar bin Abdul Muttalib untuk bertemu dengan Raja Habsyah ketika mana Islam ditindas oleh kaum kafir Quraisy yang sentiasa dengki melihat perkembangan Islam. Walaupun Raja tersebut beragama Kristian, namun sikap toleransi dan keadilannya menjadikannya Raja yang disayangi oleh rakyatnya, hinggalah hidayah Allah masuk ke dalam hatinya.

Sungguh lembut hatinya dalam menerima hidayah Allah walaupun sejak kecil lagi diasuh di dalam keluarga yang beragama Kristian. Namun, kalau kita nak bandingkan dengan orang Islam zaman sekarang, walaupun dilahirkan di dalam keluarga yang beragama Islam, tapi nampaknya hatinya lebih keras daripada batu dalam menerima seruan Islam.

Mengapa perkara ini boleh terjadi, mungkin ini perkara yang boleh kita fikirkan bersama. Indahnya Islam kerana agama Illahi, namun manusia yang banyak mengingkari... Doakan supaya pemimpin yang minat kepada Islam dibuka hatinya untuk menerima hidayah Allah S.W.T.



"Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya." (Ali-Imran : 19)



October 10, 2010

Pertahan al-Quran satu kewajipan

SAAT paderi tua, Terry Jones mengumumkan untuk membakar beratus-ratus kitab suci al-Quran di Dove Otreach Center, Florida Amerika Syarikat (AS) sebagai memperingati tahun kesembilan kejadian serangan 11 Sept 2001, umat Islam tidak boleh sekadar berdiam diri membiarkan ia berlaku.

Ekoran tindakan Jones itu, umat Islam telah tampil menemui paderi tersebut dengan tawaran untuk membeli kitab-kitab al-Quran tersebut bagi mengelakkannya dibakar.

"Tuan Jones, daripada al-Quran itu dibakar, adalah lebih baik jika kitab itu tuan jualkan sahaja kepada saya. Berapa pun harganya saya sanggup bayar, malah ia memberikan untung yang besar kepada Tuan dengan hanya menjual kitab-kitab yang tidak memberikan faedah kepada tuan ini!"

Dialog itu sebenarnya mengingatkan kita kepada bagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq menyelamatkan hamba abdi, Bilal bin Rabah daripada terus diseksa oleh majikannya, Umaiyyah bin Khalaf yang begitu marah apabila hambanya itu memeluk Islam.

Abu Bakar menawarkan harga yang jauh berlipat kali ganda tinggi untuk membeli Bilal dan majikannya itu pasti beroleh untung luar biasa jika menjualkan sahaja Bilal itu kepada Abu Bakar.

"Saya mungkin tidak dapat apa-apa untung pun dengan membeli Bilal. Malah sangat rugi kerana pastinya hamba ini akan mati tidak lama lagi. lihatlah betapa teruknya kamu menyeksa dia," kata Abu Bakar yang akhirnya berjaya membeli dan menyelamatkan Bilal.

Malangnya peristiwa bagaimana Bilal diselamatkan itu tiada ulangannya, hanya tersimpan cantik dalam sejarah.

Hari Membakar al-Quran itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan ekoran bantahan, termasuk daripada pihak pentadbiran Rumah Putih. Namun rancangan jahat Jones untuk membakar al-Quran itu wajar mendapat perhatian serius daripada seluruh umat Islam.

Lebih-lebih lagi ada pihak mengambil baton daripada Jones untuk membakar al-Quran, iaitu ketika AS mengadakan sambutan majlis memperingati hampir 3,000 mangsa yang maut dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). Sekurang-kurangnya tiga insiden mengoyak dan membakar al-Quran dilapor berlaku di negara itu.

Umat Islam menjulang-julang al-Quran membantah tindakan Paderi Terry Jones

memperkenalkan Hari Membakar al-Quran setiap kali tibanya tarikh 11 September.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang membantah rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, mengoyakkan al-Quran sebelum membakarnya.

Pada insiden lain, seorang lelaki mengoyak dan menghina kitab suci Islam itu.

Di Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan Danny Allen menggunakan minyak pemetik api dan membakar sekurang-kurangnya dua naskah al-Quran di halaman rumahnya sambil Old menyifatkan Islam sebagai agama palsu.

"Jelas sekali daripada semua peristiwa-peristiwa ini, al-Quran perlu dipertahankan sepanjang masa. Umat Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berbuat demikian" kata Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Meeftah Anuar.

Tidak ada yang peliknya di sebalik perbuatan membakar al-Quran itu kerana kata Mohd. Meeftah semenjak Islam diturunkan, al-Quran sentiasa dimusuhi.

Semua itu tidak akan dapat memadamkan bukti-bukti pengkhianatan musuh-musuh terhadap Islam yang berlanjutan sehingga hari ini.

"Di zaman yang semakin canggih yang kononnya telah mencapai ketamadunan yang tinggi, musuh-musuh Islam hanya bertukar nama watak sahaja. Perwatakan tetap sama, sekadar penjenamaan semula.

"Sejak dari zaman Amr bin Hisham (Abu Jahal), Utbah bin Rabiah, Musailamah Al Kazzab adalah watak-watak antagonis yang kini menjelma kembali dengan muka-muka baru untuk lebih dahsyat lagi menghina dan memfitnah al-Quran.

"Gerakan yang sentiasa berlegar-legar sama ada kita menyedarinya mahupun tidak," kata Mohd. Meeftah.

Sedangkan mereka sendiri mengakui kebenaran mengenai segala isi kandungan al-Quran, persoalannya mengapa musuh-musuh Islam ini begitu paranoid sehingga sanggup membakar dan menghina al-Quran?

"Mereka menjadi paranoid apabila al-Quran itu boleh menjadi sumber kekuatan kepada sesiapa yang mempercayai dan mengimani kitab suci itu.

"Lalu supaya umat Islam tidak menjadi kuat disebabkan adanya al-Quran, maka kitab itu hendak dibakar supaya kononnya umat itu akan menjadi lemah," kata Mohd. Meeftah.

Kata Mohd. Meeftah, tindakan mereka itu bukan disebabkan kononnya al-Quran mendalangi keganasan sebagaimana yang mereka tuduh. Tetapi kerana al-Quran telah menyebabkan umat Islam tidak dapat dikuasai atau tunduk di bawah telunjuk mereka.

Tetapi pihak musuh begitu berani menghina al-Quran ekoran perpecahan dan kelemahan umat Islam masa kini.

"Pihak musuh mengambil pelbagai kesempatan kala umat Islam berpecah. Mereka mengambil kesempatan di saat umat Islam tidak mampu untuk membebaskan bumi Palestin dengan membakar masjid dan al-Quran.

"Benar, ayat-ayat al-Quran akan tetap terpelihara sehingga ke akhirat walaupun ia dibakar, direndam atau diperlakukan apa sahaja.

"Tetapi jangan kita salah konsep apabila dikatakan al-Quran tetap kekal terpelihara maka kita tidak perlu melakukan apa-apa, lebih-lebih lagi apabila al-Quran dipijak-pijak dan lain-lain penghinaan.

"Ini samalah apabila kita yakin bahawa rezeki itu daripada Allah, maka adakah itu bermakna kita tidak perlu keluar untuk bekerja? Begitu juga dengan al-Quran.

"Mempertahankannya daripada dihina, daripada dimalukan, daripada difitnah adalah menjadi satu kewajipan kepada umat Islam. Hatta dengan nyawa kita sendiri, sebagaimana kita wajib mempertahankan maruah diri, keluarga dan umat Islam yang lain," katanya.

SUMBER

October 9, 2010

Kisah Abu Lubabah satu pengajaran

          Selepas selesai solat subuh secara berjemaah, duduk sebentar mendengar mutiara ilmu oleh seorang murabbi Us Dawi Cahyono yang telah banyak menumpahkan jasanya. Jika mengimbau kenangan lama, Us Dawi lah antara As-Sabiqun Al-Awwalun yang menubuhkan institusi Rakan Masjid UTP bersama dengan Tuan Hj Muhammad Noor dan En Talhah.

Us Dawi mengingatkan diri ini tentang perjuangan Imam As-Syafie yang sepanjang masanya berjuang untuk mengumpulkan ilmu supaya ilmu itu mampu menggerakkan setiap nadi masyarakat ketika itu yang ketandusan ilmu. Kalaulah bukan beliau yang mengumpulkan ilmu2 agama khususnya dalam ilmu fiqh, nescaya generasi zaman sekarang sudah tidak mampu mengenali syariat Islam dengan lebih jelas. Itulah sebaik-baik amal jariah (amal yang berterusan) yang patut dicontohi.

Agenda yang seterusnya ialah usrah. Ana diberikan tugasan untuk membentangkan kisah Abu Lubabah yang merupakan antara salah seorang sahabat yang turut serta dalam Perang Badar Al-Kubra. Sesiapa yang menyertai Perang Badar Al-Kubra diberi ganjaran oleh Allah iaitu diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang. Begitu hebat ganjaran yang Allah berikan sesuai dengan kesusahan dan dugaan yang menimpa tentera Badar.

Kisahnya begini, ketika Abu Lubabah Ibn 'Abdul Munzir dihantar oleh Rasulullah untuk berunding dengan Bani Quraizah, sesudah Bani Quraizah mengkhianati perjanjian dan membuat pakatan jahat ke atas orang-orang Islam, jelas perbuatan mereka dianggap pengkhianatan terhadap Rasulullah S.A.W. Oleh itu, Rasulullah telah menghantar Abu Lubabah sebagai wakil rundingan untuk bertemu dengan Bani Quraizah. 

Namun, Abu Lubabah merupakan saudara kepada Bani Umru yang merupakan sekutu puak Aus. Sewaktu Abu Lubabah tiba, orang lelaki semuanya bangun berdiri, orang perempuan dan kanak-kanak datang kepadanya dalam keadaan sedih dan menangis. Melihat situasi ini, Abu Lubabah menjadi lembut hati. Lantas, mereka bertanya kepada Abu Lubabah apakah mereka patut mengikut hukum Nabi Muhammad? Abu Lubabah mengisyaratkan tangan ke tengkoknya yang membawa maksud mereka akan disembelih.

Tiba2, sebelum sempat Abu Lubabah meneruskan percakapannya dia merasa begitu bersalah kerana telah mengkhianati Allah dan Rasulnya apabila dia melakukan perkara tersebut. Sememangnya, Abu Lubabah mencari jalan rundingan yang damai bukannya mencetuskan kemarahan atau peperangan.

Dengan segera Abu Lubabah meninggalkan tempat tersebut dan mengikat dirinya di salah satu tiang masjid, serta mengatakan bahawa dia tidak akan meninggalkan tempat ini sehinggalah Allah mengampuninya dan tidak akan berpijak di bumi Bani Quraizah yang merupakan tempat dia mengkhianati Allah dan Rasulnya.

Berikut merupakan ayat dari surah (Al-Anfal : 27) yang menceritakan teguran daripada Allah terhadap perbuatannya. Abu Lubabah mengikat dirinya selama 6 hari, kemudian barulah turunnya wahyu yang menerima taubat Abu Lubabah. Sehinggalah, Rasulullah sendiri yng membuka ikatan tali tersebut. (At-Taubah :102)

Ibrah dari kisah ini, bagaimana sahabat2 Nabi begitu cepat mengakui kesalahan mereka sebaik sahaja mereka menyedari kesalahan tersebut. Sebab itu, jika dilihat terlalu sedikit orang tercicir sepanjang perjuangan Nabi. Tetapi, jika dibandingkan dengan zaman sekarang angkanya naik dengan melonjak.

Agak2nya mengapa terjadi begitu...


Jika zaman dulu bakteria menjangkiti sistem badan, maka badan akan sakit. Zaman sekarang, virus pula yang telah wujud malah saiz yang lebih halus dan struktur yang kompleks sehingga susah untuk dihapuskan. Hanya sistem imunasi badan yang kuat mampu menangani jangkitan virus tersebut.



Mungkin itulah jawapannya, sistem imunasi perjuangan = iman & taqwa. Moga dipelihara iman ini dan diberikan sebaik-baik pakaian (taqwa). (Al-'Araf : 26)

Wallahu'alam...