December 29, 2009

Hijrah Pemangkin Perubahan

Assalamualaikum WRBTH,

Berada di 12 muharram iaitu bulan pertama di dalam kalendar islam yang penuh dengan episod-episod perjuangan baginda Rasullulah S.A.W. memberi semangat bahawa Islam pasti akan menang. Namun, kesabaran dan ketabahan menghadapi setiap cabaran dan dugaan menjadi harga yang perlu dibayar bagi menanti sebuah kemenangan.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W.:
"Tiada hijrah selepas pembukaan kota mekah tetapi jihad dan niat"

Bersandarkan hadis ini, dapat kita rungkaikan bahawa hijrah bukanlah hanya memberi maksud perjalanan daripada mekah ke madinah kerana ingin menyelamatkan umat Islam. Tetapi, lebih daripada itu bahkan Nabi Muhammad S.A.W. juga pernah bersabda bahawa hijrah yang ada ialah hijrah meninggalkan perkara buruk kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik.

Tetapi perlu kita persoalkan mengapa jihad dan niat ini begitu penting dan apakah kaitannya dengan hijrah? Hal ini kerana kita jarang sekali memikirkan bahawa hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat baginda merupakan suatu jihad yang memerlukan niat yang betul. Cuba kita lihat hadis yang pertama di dalam matan arbain karangan Imam An-Nawawi bahkan di dalam Al-Bukhari juga turut dicatatkan hadis ini.

وعن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب بن نفيل بن عبد العزى بن رياح بن قرط بن
رزاح بن عدى بن لؤى ابن غالب القرشى العدوى. رضي الله عنه، قال: سمعت رسول الله صلى
الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله
ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها، أو امرأة ينكحها فهجرته إلى

ما هاجر إليه "  ((متفق على صحته. رواه إماما المحدثين: أبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم

القشيرى النيسابورى رضي الله عنهما في صحيحهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة

Maksudnya:
"Hanyasanya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan hanyasanya bagi
setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah
dan RasulNya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya
itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak
dikawininya, maka hijrahnyapun kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu." (Muttafaq atas keshahihannya Hadis ini)

Maka, kesimpulan yang kita dapat ialah amalan tanpa niat yang ikhlas kepada Allah S.W.T. maka ianya dikira sebagai sia-sia sahaja. Begitu juga dengan jihad yang membawa makna bersungguh-sungguh, kesungguhan pada semua ibadah terutamanya ibadah khusus yang menjadi kerutinan diri seorang hamba. Tetapi kita perlu ingat bahawa setinggi-tinggi jihad ialah mati syahid ketika berperang di jalan Allah S.W.T.

Oleh itu, kita seharusnya jelas tentang kepentingan niat dalam setiap amalan yang kita lakukan seharian. Bersempena dengan tahun baru ini 1431H, perbaharuilah niat kita moga-moga kita mencapai keredhaan Illahi dan mendapat balasan syurga di akhirat kelak.

WAllahu'alam...

December 24, 2009

Kem Penghayatan Islam dan Motivasi

Assalamualaikum WRBTH,

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat illahi, dengan keizinanNya sekali lagi Rakan Motivasi berjaya bertapak ke negeri Darul Takzim. Bermula 17 Disember (Khamis) sehingga 20 Disember (Ahad), Rakan Motivasi menghantar tiga orang wakil fasilitator iaitu Mu'min (pelajar UTP), zaiyinul ain (pelajar UTP) dan Helmi (pelajar UITM Seri Iskandar) ke Maahad Tahfiz Al-Muhammadi, Parit Medan, Kundang Ulu, Johor Darul Takzim.

Perjalanan kami (fasilitator) bermula seawal 4.30 pagi daripada UTP terus ke Klang bagi mengambil seorang fasilitator (zaiyinul ain) dan sampai ke tempat program pada pukul 11.30 pagi, selama 7 jam dengan menaiki kereta. Program ini dianjurkan pada 6-20 Disember, maka kami sebagai pengganti fasilitator pada giliran yang terakhir. Antara aktiviti yang dibuat ialah :
1) Ta'aruf
2) Muhasabah
3) Qiamullail
4) Bacaan Mathurat
5) Modul-modul
6) Latihan Dalam Kumpulan (LDK)
7) Riadah

Sesampainya kami disana, kami disambut mesra oleh Dato' Dr Mahfuz (PJ Johor), Ustaz Zarul, Abg Naufal dan beberapa kakitangan Maahad Al-Muhammadi. Kemudian, perbincangan dilakukan bersama dengan fasilitator yang telah mengendalikan program, Hj Abu Bakar Bin Thambi yang merupakan lulusan B.A. Biochemist di U.S. Agenda utama perbincangan ini adalah untuk memastikan keselarian aktiviti berdasarkan objektif program yang telah ditetapkan memandangkan persediaan kami yang agak kekurangan. Akhirnya, kami diberikan kepercayaan penuh untuk mengendalikan program ini hingga ke majlis penutup yang akan turut dihadiri oleh ibubapa peserta.






Jumlah peserta seramai 114 orang yang terdiri daripada pelajar Maahad dan peserta luar dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri dalam pelbagai peringkat umur (12-17 tahun). Pada awalnya, kehadiran kami agak sedikit kekok kerana berlaku pertukaran fasilitator dan terpaksa mengadakan kembali sesi ta'aruf ringkas bersama para peserta. Namun, keceriaan para fasilitator membuatkan para peserta tidak berasa segan untuk turut bersama dalam aktiviti yang dijalankan. Selain itu, kami juga mendapat bantuan fasilitator muslimat iaitu malehah (USIM) dan Kasmah (UKM) yang turut hadir memberikan khidmat.

Objektif program ialah untuk membina anak-anak yang soleh dan penghafal Al-Quran. Oleh itu, semua peserta diwajibkan untuk menghafal surah Al-Mulk, As-Sajdah dan Surah Yasin selama program ini dijalankan dan Tasmi' akan dilakukan oleh Ustaz-ustaz daripada Maahad ini. Ada diantara peserta yang telah berjaya mengahafal kesemua surah tersebut dalam masa 8 hari sahaja. Selain itu, pada hari khamis salah seorang daripada pelajar Maahad telah berjaya mengkhatamkan 30 juz Al-Quran yang mengambil masa selama 3 tahun.

Antara aktiviti yang menarik sepanjang program ialah modul "Demo Hijrah" yang bertemakan "Pembebasan Palestin". Di dalam modul ini, para fasilitator menerangkan tentang cara-cara membuat memorandum tuntutan dan perarakan beramai-ramai. Sebanyak 12 tuntutan berjaya dikeluarkan dan ditujukan kepada pemerintah U.S., Israel, dan Dunia tentang pembebasan Palestin. Perarakan dibuat di padang berdekatan bersama laungan takbir, "Bebas, Bebas, Bebas Palestin" dan "Hancur, Hancur, Hancur Israel" dilaungkan beramai-ramai dengan penuh semangat.


Selain itu, bersempena dengan konsep maal hijrah iaitu membawa perubahan, para fasilitator mengadakan muhasabah khusus yang mengabungkan tenaga pengajar dan warden Maahad pada malam terakhir program dijalankan. Antara elemen yang diterapkan ialah peranan anak soleh dalam keluarga, kelebihan pelajar yang menghafal Al-Quran dan adab-adab seorang pelajar.

Pada hari ahad, upacara penutup dijalankan dengan montaj khas, penyampaian hadiah kumpulan terbaik dan peserta terbaik, persembahan nasyid, persembahan silat dan bacaan Al-Quran oleh peserta terbaik kem. Majlis juga diserikan dengan ucapan daripada Dato' Dr Mahfuz yang juga selaku mudir Maahad Al-Muhammadi yang memberikan galakan dan semangat kepada para peserta untuk menghafal Al-Quran serta menerima masuk peserta terbaik program ke Maahad sebagai pelajar Maahad.

Tepat jam 12.30 tengahari, Kem Penghayatan Islam dan Motivasi melabuhkan tirainya pada tahun 2009. InsyAllah pada masa-masa akan datang, Dato' Dr Mahfuz mencadangkan untuk diadakan sekali lagi kem ini bagi tujuan membentuk anak-anak muda dan membina generasi jil-ul Quran seperti generasi para sahabat.

Wallahu'alam...

December 5, 2009

Memperingati tragedi Memali

Memperingati tragedi Memali

 

Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama' yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii'tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai 'Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi 'mimpi ngeri' kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata 'orang kampung' disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata 'orang kampung' berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut 'Ops Komunis' ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato' Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama'ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama'ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, "ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur." Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah 'Allahu Akbar' berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan- kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi'e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi'e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama', pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, "abang kena apa?". Si isteri menjawab, "abang ditembak."

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus menghadapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada'. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, "ada lagi yang belum mati". Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada' dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada' dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato' Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah.

Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada' dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada' ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua'lam.

Al-Fatihah Untuk Para Syuhada' Memali


December 2, 2009

1Malaysia Hanya Retorik

1Malaysia Hanya Retorik
www.iluvislam.com
oleh: sahalfikri
editor: deynarashid

Pelbagai reaksi diberikan apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan Dato' Seri Najib Tun Razak pada awal pemerintahannya sebagai kepala negara. Ada yang memuji gagasan ini dan ada yang mengkritiknya.

Sesetengah rakyat merasakan 1Malaysia adalah gagasan yang cuba mewujudkan satu bangsa Malaysia hingga melenyapkan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia. Mungkin anda sendiri juga tidak memahami maksud sebenar gagasan ini. Sila baca booklet ini untuk kefahaman asas tentang gagasan ini agar perbincangan seterusnya lebih mudah difahami.

Sudah menjadi rentak dan rutin seorang pemimpin politik untuk perkenalkan suatu yang baru dalam siri pemerintahannya. Ini bertujuan memberi semangat baru dan bukti kerja yang dilakukannya. Kerana itulah juga, 1Malaysia pun diwujudkan.

Jika dibaca dan diteliti gagasan ini, saya akui ianya sangat baik. Ia tidak membawa kepada penghapusan etnik dan bangsa yang pelbagai. Fahaman untuk mewujudkan bangsa Malaysia itu adalah salah. Namun Dato' Seri Najib sendiri pun tersalah faham akan gagasan yang diwujudkannya apabila dia mengucapkan kenyataan berikut semasa mengumumkan gagasan ini, "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia."

Maka tidak hairanlah nilai-nilai yang terkandung di dalam booklet tadi sehingga ke hari ini tidak nampak diperjuangkan pemimpin negara. Silaplah jika pemimpin kita mengambil formula lapuk dalam menjayakan sesuatu. Formula lapuk yang saya maksudkan ialah 'meninggikan sesuatu dengan cara merendahkan sesuatu yang lain atau bertentangan dengannya'.

Sebagai contoh, seorang arkitek inginkan pujian kliennya atas rekaannya dengan cara memburukkan rekaan arkitek lain. Formula ini mungkin berjaya jika kliennya tidak bijak dalam menilai arkitek itu.

Kini saya percaya ramai rakyat Malaysia sudah bijak. Tidak seperti zaman dahulu, rakyat tidak mendapat pendidikan sempurna hinggakan paradigma pemikiran agak sempit dan mudah dipermainkan.

Oleh itu, saya menyeru agar 1Malaysia mengambil formula baru iaitu 'jika ingin dipandang tinggi, hendaklah tunjukkan kehebatan yang ada pada diri'. Dalam erti kata lain, 1Malaysia harusnya menunjukkan bagaimana perpaduan yang jitu dapat dihasilkan, bukannya memaparkan kisah-kisah perpecahan agar rakyat bersatu.

Paparan kisah-kisah penentangan antara kaum, perselisihan faham antara etnik dan seumpamanya adalah satu tindakan bahaya yang mengundang kepada perpecahan. Inilah yang nampaknya cuba dimainkan oleh pemimpin politik.

Saya berpandangan 1Malaysia seolah-olah dijadikan umpan untuk rakyat merasa keperluan untuk bergantung dan menyokong pemerintah yang kian kekurangan sokongan. Isu-isu perkauman dimainkan dan dipaparkan agar masyarakat jadi takut dan gelisah lantas mengambil semangat 1Malaysia supaya kembali bersatu.

Tidak perlu perpecahan untuk perpaduan

Pada hemat saya, rakyat Malaysia tidak berpecah langsung. Cuma masing-masing banyak bersikap individualistik. Keakraban sesama kaum sendiri adalah lumrah sepertimana akrabnya abang dengan adik kandungnya. Cuma jambatan penyatuan dalam pelbagai bidang antara berbilang kaum masih belum utuh.

Tambahan pula, pemimpin politik mengapi-apikan semangat perkauman dengan cara memaparkan isu perpecahan atau mewujudkan isu tersebut. Ahli akademik di Fakulti Pendidikan UKM, Puan Sri Prof Dr Rohaty Mohd Majzub juga tidak bersetuju dengan kewujudan 1Malaysia sebagai jawapan kepada perpaduan yang terlerai di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya,"Dahulu kita ukur sejauh mana seseorang itu bersikap perpaduan seperti adakah orang akan berdiri jika Negaraku dimainkan? Tetapi sekarang pengukuran perpaduan lebih kompleks daripada itu kerana kita perlu mendalami pemikiran dan dasar hati manusia."

"Saya tidak berani hendak kata perpaduan kurang kecuali telah ada data kuantitatif dan kualitatif untuk menyokongnya. Jika ukuran telah berubah tentu apa yang kita ingin lihat juga telah berubah."

Apakah tindakan mengheret kepala lembu adalah suatu perkara yang boleh diterima akal dalam usaha menyatukan rakyat? Perlakuan sebegini mampu mengundang tragedi berbunuhan jika kaum India pula menghina keesaan Allah Maha Kuasa.

Ini adalah perlakuan menyalahi pesan Allah:

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan."(Surah Al-An'am: 108)

Walaupun perlakuan ini didakwa dilakukan oleh sekumpulan ahli NGO, kerajaan Malaysia seharusnya mengutuk keras tindakan ini kerana ia merosakkan agenda 1Malaysia. Perlakuan ini kelihatan didorong oleh semangat politik kebencian orang Melayu berbanding semangat pertahan agama.

[Mereka kini didakwa bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948]

Jangan pula dalam pada kita mengibarkan bendera perpaduan kaum, kita sesama kaum Melayu pula cuba memutuskan tali bendera yang menarik bendera di tiangnya. Ketepikan faham politik, tegakkan kebenaran dan keadilan.

Adalah tidak bijak jika perpaduan yang cuba ditonjolkan dibuktikan dengan cara menimbulkan perpecahan terlebih dahulu. Bertindaklah sebijaknya dengan beri faham kepada rakyat setiap asas dalam gagasan 1Malaysia secara praktikal dan positif agar rakyat lebih optimis ke arah mengukuhkan jambatan penyatuan antara kaum dan sesama kaum.

Usah sibuk memikirkan undian terbanyak, fikirkan untuk berbuat terbanyak. Dengan cara inilah, rakyat akan berfikir untuk memberikan undi terbanyak untuk kalian.

Mencari isu sepakat

Saya sering terkenangkan contoh perpaduan antara PAS dan BN berdasarkan isu Palestin pada 8 Mei 2002 bertempat di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dr Mahathir boleh berjabat tangan dengan Allahyarham Fadzil Noor.

Isu-isu yang disepakati sebegini harus diperbanyakkan dan simbol perpaduan atas isu sebegini diperlihatkan. Forum, seminar, dan sebarang program yang membabitkan para pemimpin dari semua parti politik harus disemarakkan.

Jika diteliti semua nilai yang digariskan dalam 1Malaysia, ia jelas menunjukkan nilai-nilai sedia ada yang diajar oleh Islam dan agama lain. Bukankah perpaduan antara kaum juga melibatkan pelbagai agama? Maka, marilah kita menyikapi agenda 1Malaysia ini dengan teknik yang diajarkan Allah dalam menyantuni fahaman agama lain dengan mencari garis penyatuan dalam isu-isu tertentu.

"Katakanlah: "Wahai ahli kitab, marilah kamu kepada kalimat yang bersamaan antara kami dan antara kamu..."(Ali Imran 3:64)

Sejarah Dunia Islam

SEJARAH DUNIA ISLAM

?ui=2&view=att&th=1254e523040f5444&attid=0.1&disp=attd&realattid=ii_1254e523040f5444&zw


?ui=2&view=att&th=1254e523f6591c52&attid=0.1&disp=attd&realattid=ii_1254e523f6591c52&zw






November 6, 2009

Pencuri Dan Abid (orang yang kuat ibadat)

Di zaman Nabi Musa a.s. ada seorang hamba Allah yang kerjanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu hari, dia terlihat Nabi Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa a.s. Katanya; " Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku."

    Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, "Aku ini pencuri. Manalah layak pencuri macam aku ini berjalan bersama seorang nabi." Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa a.s. dari belakang. Si abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang. Si pencuri itu berkata di dalam hatinya, "Baik aku berjalan bersama si abid ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku."

    Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rosak segala kebaikan dan amalanku."

    Si abid terus berlari laju supaya si pencuri tidak dapat ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa a.s.
    Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, " Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan baik dan buruk kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi. Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah. Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.

    Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.

    Si abid pula, amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia membuat ibadah. Hingga dia rasa tidak layak bergaul, inikan pula berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

    Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya.

November 5, 2009

Antara Aisyah dan Asiah

Aisyah binti Abu Bakar r.a., siapa yang tidak mengenalinya? Cerdas, cantik, nasab keturunan yang utama dan isteri dari manusia paling utama, Muhammad SAW. Pada diri beliau berkumpul segala keutamaan dan kebaikan. Keshalihan bertemu keshalihan. Beliau memperoleh kemuliaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Harapan dan tauladan bagi segenap manusia.

Asiah, mungkin hanya sedikit yang mengenalinya. Beliau adalah isteri kepada Fir’aun laknatullah. Beliau mempunyai peranan yang penting dalam scenario dan kisah penjagaan Allah terhadap Rasul-Nya. Bayi Musa a.s. membesar dan selamat dari kezaliman Fir’aun sehingga dilantik menjadi Rasul Allah bagi menyampaikan ajaran-Nya yang agung dan membebaskan manusia daripada tirani jahiliyyah yang zalim. Asiah pun turut beriman kepada Tuhannya dan Tuhan Musa. Namun keimanan itu harus berhadapan dengan hukum thaghut suaminya. Beliau berani kehilangan nyawanya demi keimanan kepada Allah S.W.T. Beliau redha atas takdir dirinya dan merasakan kepedihan di dunia untuk memperolehi kemuliaan di akhirat. Keshalihan bertemu dengan kezaliman. Sebuah wacana indah bagi mereka yang mencintai keimanan.

Aisyah r.a. dan Asiah, dua watak wanita utama di zamannya. Namun kedua-duanya mempunyai kisah hidup yang berbeza. Allah S.W.T. mengabadikan kedua-duanya di dalam Al Qur’an untuk dijadikan ibrah dan iktibar. Allah ingin mengajarkan kita tentang sebuah kenyataan. Bahawa tidak selalu keshalihan bertemu dengan keshalihan. Sebagai contoh, realiti hidup Aisyah r.a., di mana Allah S.W.T. mempertemukan keshalihan dengan keshalihan. Keshalihan peribadi bertemu dengan keshalihan kolektif.

Namun ada realiti yang sebaliknya, di mana hidup kita mungkin tidak semanis kehidupan Aisyah r.a. Realiti hidup seperti Asiah, (syuhada’ dari kalangan wanita). Di mana keshalihan bertemu dengan kekufuran dan kezaliman. Keshalihan peribadi tidak bertemu dengan keshalihan kolektif. Bahkan keshalihan kita harus bertahan dalam kezaliman kolektif yang sistemis dan telah membudaya di dalam pentas masyarakat. Seperti keshalihan Asiyah di antara kezaliman suami dan kaumnya. Asiyah mampu membuat pilihan yang cerdas dalam keshalihannya yang merupakan minoriti dalam masyarakat ketika itu. Keshalihan peribadinya mampu mengatasi hidup di dunia untuk kemuliaan hidup di akhirat. Kehidupan yang abadi, bertetangga dengan Allah S.W.T., dalam sebuah rumah di syurga-Nya . Inilah pilihan dan do’a Asiyah:

Wahai Rabbku bangunkanlah bagiku di sisi Engkau sebuah rumah bagiku di syurga. Dan selamatkannlah diriku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah diriku dari kaum yang zalim”(QS.At Tahrim :11).

Dari sinilah kita dapat mempelajari daripada Asiah tentang hakikat keshalihan. Sesungguhnya, setiap dari kita semoga sampai kepada kesedaran bahawa kita perlu shalih secara peribadi. Keshalihan yang mengakar kuat dalam diri kita. Keshalihan yang memiliki imuniti terhadap keadaan luaran yang boleh jadi tidak selalu shalih. Keshalihan yang tidak terpengaruh oleh usikan orang-orang di sekitar kita.

Kita perlu keshalihan yang cerdas, yang mampu menghadapi pilihan-pilhan hidup dengan neraca Ilahiyah. Hidup yang sulit dan pelik tidak seharusnya meluruhkan keshalihan kita. Keshalihan kita juga keshalihan yang kuat kerana kadang-kadang, orang lain tidak selalu bersama kita dan mendukung keshalihan kita. Keshalihan yang mandiri, yang mampu mendorong kita selalu bergiat dan beramal ketika sendirian atau bersama orang lain. Kerana kita masing-masing akan bertanggungjawab atas setiap detik dari hidup kita. Sebagaimana kelak di yaumul hisab, kita harus bertanggung jawab secara peribadi di hadapan Allah SWT. Tidak terwakilkan atau diwakilkan.

Akhir kalam, kita sedar bahawa untuk mendapatkan keshalihan peribadi kita harus berjuang. Apatah lagi, bagi kita yang ternyata hidup bersama ketidakshalihan. Teguhlah selalu kerana bagi kita itu adalah ujian untuk meningkatkan darjat keshalihan kita. Sedangkan bagi yang hidup bersama keshalihan, semoga tetap waspada dan terus istiqamah di jalan-Nya. Merupakan kecelakaan besar, di mana seseorang hidup dalam komuniti yang shalih namun tidak mampu mengambil pelajaran untuk mencapai keshalihan peribadi. Semoga kita terhindar dari keshalihan yang demikian, keshalihan yang melenakan. Dan kita terus belajar dari Aisyah dan Asiyah tentang sebuah keshalihan, keshalihan yang menyelamatkan. Dan hanya kepada Allahlah kita sandarkan keshalihan kita. Tidak kepada siapapun , selain-Nya.

Wallahu a’lam.