November 6, 2009

Pencuri Dan Abid (orang yang kuat ibadat)

Di zaman Nabi Musa a.s. ada seorang hamba Allah yang kerjanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu hari, dia terlihat Nabi Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa a.s. Katanya; " Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku."

    Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, "Aku ini pencuri. Manalah layak pencuri macam aku ini berjalan bersama seorang nabi." Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa a.s. dari belakang. Si abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang. Si pencuri itu berkata di dalam hatinya, "Baik aku berjalan bersama si abid ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku."

    Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rosak segala kebaikan dan amalanku."

    Si abid terus berlari laju supaya si pencuri tidak dapat ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa a.s.
    Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, " Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan baik dan buruk kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi. Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah. Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.

    Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.

    Si abid pula, amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia membuat ibadah. Hingga dia rasa tidak layak bergaul, inikan pula berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

    Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya.

November 5, 2009

Antara Aisyah dan Asiah

Aisyah binti Abu Bakar r.a., siapa yang tidak mengenalinya? Cerdas, cantik, nasab keturunan yang utama dan isteri dari manusia paling utama, Muhammad SAW. Pada diri beliau berkumpul segala keutamaan dan kebaikan. Keshalihan bertemu keshalihan. Beliau memperoleh kemuliaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Harapan dan tauladan bagi segenap manusia.

Asiah, mungkin hanya sedikit yang mengenalinya. Beliau adalah isteri kepada Fir’aun laknatullah. Beliau mempunyai peranan yang penting dalam scenario dan kisah penjagaan Allah terhadap Rasul-Nya. Bayi Musa a.s. membesar dan selamat dari kezaliman Fir’aun sehingga dilantik menjadi Rasul Allah bagi menyampaikan ajaran-Nya yang agung dan membebaskan manusia daripada tirani jahiliyyah yang zalim. Asiah pun turut beriman kepada Tuhannya dan Tuhan Musa. Namun keimanan itu harus berhadapan dengan hukum thaghut suaminya. Beliau berani kehilangan nyawanya demi keimanan kepada Allah S.W.T. Beliau redha atas takdir dirinya dan merasakan kepedihan di dunia untuk memperolehi kemuliaan di akhirat. Keshalihan bertemu dengan kezaliman. Sebuah wacana indah bagi mereka yang mencintai keimanan.

Aisyah r.a. dan Asiah, dua watak wanita utama di zamannya. Namun kedua-duanya mempunyai kisah hidup yang berbeza. Allah S.W.T. mengabadikan kedua-duanya di dalam Al Qur’an untuk dijadikan ibrah dan iktibar. Allah ingin mengajarkan kita tentang sebuah kenyataan. Bahawa tidak selalu keshalihan bertemu dengan keshalihan. Sebagai contoh, realiti hidup Aisyah r.a., di mana Allah S.W.T. mempertemukan keshalihan dengan keshalihan. Keshalihan peribadi bertemu dengan keshalihan kolektif.

Namun ada realiti yang sebaliknya, di mana hidup kita mungkin tidak semanis kehidupan Aisyah r.a. Realiti hidup seperti Asiah, (syuhada’ dari kalangan wanita). Di mana keshalihan bertemu dengan kekufuran dan kezaliman. Keshalihan peribadi tidak bertemu dengan keshalihan kolektif. Bahkan keshalihan kita harus bertahan dalam kezaliman kolektif yang sistemis dan telah membudaya di dalam pentas masyarakat. Seperti keshalihan Asiyah di antara kezaliman suami dan kaumnya. Asiyah mampu membuat pilihan yang cerdas dalam keshalihannya yang merupakan minoriti dalam masyarakat ketika itu. Keshalihan peribadinya mampu mengatasi hidup di dunia untuk kemuliaan hidup di akhirat. Kehidupan yang abadi, bertetangga dengan Allah S.W.T., dalam sebuah rumah di syurga-Nya . Inilah pilihan dan do’a Asiyah:

Wahai Rabbku bangunkanlah bagiku di sisi Engkau sebuah rumah bagiku di syurga. Dan selamatkannlah diriku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah diriku dari kaum yang zalim”(QS.At Tahrim :11).

Dari sinilah kita dapat mempelajari daripada Asiah tentang hakikat keshalihan. Sesungguhnya, setiap dari kita semoga sampai kepada kesedaran bahawa kita perlu shalih secara peribadi. Keshalihan yang mengakar kuat dalam diri kita. Keshalihan yang memiliki imuniti terhadap keadaan luaran yang boleh jadi tidak selalu shalih. Keshalihan yang tidak terpengaruh oleh usikan orang-orang di sekitar kita.

Kita perlu keshalihan yang cerdas, yang mampu menghadapi pilihan-pilhan hidup dengan neraca Ilahiyah. Hidup yang sulit dan pelik tidak seharusnya meluruhkan keshalihan kita. Keshalihan kita juga keshalihan yang kuat kerana kadang-kadang, orang lain tidak selalu bersama kita dan mendukung keshalihan kita. Keshalihan yang mandiri, yang mampu mendorong kita selalu bergiat dan beramal ketika sendirian atau bersama orang lain. Kerana kita masing-masing akan bertanggungjawab atas setiap detik dari hidup kita. Sebagaimana kelak di yaumul hisab, kita harus bertanggung jawab secara peribadi di hadapan Allah SWT. Tidak terwakilkan atau diwakilkan.

Akhir kalam, kita sedar bahawa untuk mendapatkan keshalihan peribadi kita harus berjuang. Apatah lagi, bagi kita yang ternyata hidup bersama ketidakshalihan. Teguhlah selalu kerana bagi kita itu adalah ujian untuk meningkatkan darjat keshalihan kita. Sedangkan bagi yang hidup bersama keshalihan, semoga tetap waspada dan terus istiqamah di jalan-Nya. Merupakan kecelakaan besar, di mana seseorang hidup dalam komuniti yang shalih namun tidak mampu mengambil pelajaran untuk mencapai keshalihan peribadi. Semoga kita terhindar dari keshalihan yang demikian, keshalihan yang melenakan. Dan kita terus belajar dari Aisyah dan Asiyah tentang sebuah keshalihan, keshalihan yang menyelamatkan. Dan hanya kepada Allahlah kita sandarkan keshalihan kita. Tidak kepada siapapun , selain-Nya.

Wallahu a’lam.