July 26, 2011

Jauhi Barah Ego Dalam Qiadah Islam


Ego, antara sifat Iblis dan kerana sifat - Ana khairun minhu - itulah dia dilucutkan Allah menjadi sehina-hina makhluk di sisi-Nya. Sifat ego atau boleh dibahasakan sebagai takabbur ini pasti akan meresapi mana-mana individu apatah lagi jika menurut persepsinya dia mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain. Apabila sifat ini menguasai diri seseorang, maka ia akan menyebabkan wujudnya masalah khususnya di dalam tanzim (organisasi) itu. Oleh itu, mari kita semak adakah ada pada diri kita ciri-ciri penyakit tersebut.



(1). Bila jawapan yang diberi betul, dia akan rasa terhibur, senang hati dan bangga

Jawapan yang betul itu adalah menurut pengetahuannya sendiri apatah lagi jika dia ditanya oleh individu-individu yang berpangkat besar atau ilmunya tinggi lalu dia dapat memberikan jawapan dengan baik. Apa sahaja yang dipersoalkan akan cuba dijawabnya biarpun pada hakikatnya dia itu jahil akan pengertiannya yang sebenar. Tiada padannya istilah 'Ana tak tahu', 'nanti ana rujuk balik', 'Wallahu'alam' dan segala jawapan yang padanya seolah-olah boleh menjatuhkan martabat keilmuannya. Adalah merupakan suatu jenayah yang besar di sisi Islam apabila seseorang itu berlagak tahu walhal dia tidak tahu lalu menyebabkannya mengeluarkan pandangan dan fatwa-fatwa yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan orang ramai dan pihak yang meminta pandangannya terjerumus ke arah perkara yang batil.

(2). Jika tidak dilantik memegang sesuatu jawatan, dia akan rasa kecewa dan resah

Sikap gilakan jawatan antara sikap yang buruk. Nabi pernah bersabda yang mafhumnya,“Kami tidak memberi jawatan kepada sesiapa yang memintanya”. Seseorang yang memegang jawatan bermakna dia telah memegang amanah dan ini merupakan adalah suatu perkara yang amat dipandang berat di sisi Islam. Seseorang yang EGO pastinya akan merasa ‘panas’ jika namanya tidak naik menjadi pimpinan walhal sebelum ini dia telah banyak ditaklifkan dengan pelbagai jawatan yang lebih besar daripada itu. Dia akan menganggap seolah-olah kemampuannya tidak dihargai oleh mana-mana pihak sedangkan dia menganggap reputasinya lebih baik daripada orang lain.

(3). Jika dia seorang ketua, dia selalu bersikap kasar ketika memberi arahan kepada orang lain

Ketua seharusnya bersifat memimpin ahli yang berada dibawahnya. Ahli dibawah akan dipimpin dengan baik supaya matlamat sesebuah tanzim itu tidak tersasar dan segala gerak kerja dapatlah dilaksanakan dengan sempurna. Jika ahli bawahan ada melakukan kesalahan, maka seharusnya seorang ketua itu menegur dengan cara yang berhikmah sebaliknya sikap ini membawa kepada menzalimi orang lain dengan menggunakan kuasanya yang ada. Dia akan menggunakan kuasa di tangan sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

(4). Jika dia orang bawahan, dia susah untuk taat kepada ketuanya dan bersikap degil

Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya. Sifat tersebut wujud apatah lagi jika sebelum ini merupakan seorang yang hebat kononnya tempatnya sebelum ini. Dia merasakan dia itu lebih ‘senior’ dalam segala aspek samada dari sudut umur, pengalaman, dan ilmunya berbanding dengan ketuanya yang muda daripadanya dalam aspek tadi.

Ulama yang beramal dalam medan harakah pernah menyebut, tiga golongan manusia yang payah untuk taat :-

  • Orang yang banyak umurnya (lebih senior) ;
  • Orang yang banyak pengalamannya ;
  • Orang yang banyak ilmunya (banyak ilmu tetapi tidak berakhlak).

Ketaatan hanya akan lahir daripada sifat thiqah sesama sendiri antara pimpinan dan ahli yang kedua-duanya memegang taklifan masing-masing dengan penuh ikhlas dalam semua keadaan walaupun dalam perkara yang tidak disukainya (selagi ia tidak bercanggah dengan syara’).

(5). Mudah marah bila dinasihati dan tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain

Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah. Teguran yang diberikan oleh pihak lain bukan sahaja tidak dapat diterima.

(6). Emosional dan mudah tersinggung

Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Islam adalah agama nasihat. Sesiapa sahaja pasti dia itu tidak terlepas dari serba kekurangan dan melakukan kesilapan. Demikianlah betapa pentingnya peranan wujudnya nasihat dan teguran daripada pihak lain kepada dirinya untuk kemaslahatan bersama. Seharusnya teguran itu diterima dengan hati yang ikhlas terbuka. Soal perkara itu benar atau tidak adalah perkara kedua. Ciri orang beriman itu sendiri adalah saling memberi peringatan dan teguran kepada orang lain tidak kiralah siapa atau apapun pangkatnya. Setiap peringatan itu memberikan manfaat yang besar kepada orang yang beriman dan jika ianya tidak dapat dijadikan manfaat sudah pastinya dia itu tidak tergolong dalam ciri orang yang beriman.

(7). Suka dipuji

Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya (ketagih pujian). Apatah lagi jika dia itu dipuji di khayalak ramai dan sudah pastinya dia dirinya itu dipandang tinggi oleh pihak lain. Para Sahabat RA dahulu jika dia dipuji oleh seseorang, maka dia akan membaling capal, pasir atau batu kepada orang yang memujinya kerana bagi mereka ianya boleh menyebabkan amalan mereka ‘hangus’ dengan sifat riya’. Berlainan sekali dengan seseorang yang berikap EGO. Jika dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.

(8). Sangat suka berbahas (mencari musuh untuk melakukan perdebatan)

Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan. Tujuannya untuk menunjukkan bahawa dia itu lebih hebat daripada pihak lain. Hujah pihak lain akan ditolak mentah-mentah dan baginya hujahnya sahajalah yang betul. Yang penting baginya sudah ada kepuasan dengan mewujudkan suasana ‘panas’ dalam perbahasan demi menunjukkan dia itu petah berbahas dan berhujah.

(9). Memilih kawan di kalangan orang bawahan dengan tujuan tertentu

Tujuan dipilih kawan di kalangan orang bawahan adalah supaya dia itu merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Dengan tujuan demikian, dia menganggap bahawa tiada siapa yang dapat menandingi percakapannya dan pandangannya diterima oleh orang lain.

(10). Menonjolkan diri secara berlebihan

Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Ini kerana dia berbangga dengan taklifan yang pernah disandangnya. Jika dia menjadi orang nombor dua (2) sekalipun, penampilannya akan melebihi ketuanya dan orang-orang yang lain. Sudah pastinya orang lain akan menganggap bahawa mereka memiliki individu yang cukup berpotensi untuk menggantikan jawatan ketuanya pada masa yang akan datang.

(11). Memperlekehkan orang lain

Sikap memperlekehkan orang lain juga tidak akan wujud pada diri individu yang meraakan dirinya memiliki kekurangan dan kelemahan namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada mereka yang EGO. Setiap sifat kekurangan yang wujud pada orang lain akan diperlekehkan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa dirinya itu lebih baik dan sempurna berbanding dengan lainnya. Orang yang merendah-rendahkan orang lain tergolongan dalam golongan yang fasiq dan seterusnya membawa kepada perbuatan zalim jika tidak bertaubat. Allah mengecam golongan ini sepertimana di dalam firman-Nya yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim” (Surah Al Hujurat:11)

(12). Suka menyampuk perbualan orang lain

Ketika pihak lain memberikan pandangan, amat mudah bagi orang yang EGO itu untuk mencelah dan menyampuk mengikut kehendaknya dengan membelakangkan adab-adab dalam bermesyuarat. Tanpa rasa bertanggunggjawab dan rasa menghormati pandangan pihak lain, dia mudah untuk memintas mana-mana percakapan yang dia rasa tidak bersetuju dengannya seterusnya menyebabkan pandangannya itu mendominasi perbincangan tersebut dan timbul rasa kurang senang dari pihak lain.

(13). Berburuk sangka terhadap orang lain

Sikap buruk sangka merupakan dosa yang amat besar dan kerananya boleh membawa kepada tajasus (mencari-cari kesalahan) dan ghibah (umpatan). Hal ini Allah telah dijelaskan di dalam surah Al Hujurat akan bibit-bibit yang membawa kepada buruk sangka. Firman Allah bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani” (Surah Al Hujurat:12)

Demikianlah bahayanya berburuk sangka kepada orang lain. Perkara sedemikian tidak disedari oleh golongan yang EGO yang lebih suka berburuk sangka apatah lagi jika kepada seseorang itu tidak dapat memenuhi tuntutannya.

(14). Suka meninggikan suara ketika bercakap

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya” (Surah Al Hujurat:2)

Al ‘ibrah bi’umumil lafdzi la bikhusus as sabab - menunjukkan bahawa sesuatu perintah itu adalah bersifat umum walaupun ia menunjukkan sebab yang khusus. Demikianlah juga dengan maksud firman Allah di atas. Larangan meninggikan suara bukanlah semata-mata dikhususkan kepada Rasulullah SAW tetapi ianya mengajar kita sebagai umatnya akan adab dan akhlak ketika berbicara dengan seseorang apatah lagi jika seseorang itu memiliki kedudukan.

Orang yang EGO akan apabila membicarakan sesuatu perkara, maka dia akan berusaha untuk meninggikan suaranya melebihi kadar yang sepatutnya dan dengan demikian seolah-olah tiada siapa yang berani mencabarnya. Nada percakapannya akan menjadi semakin tinggi apabila dia melihat pihak lain mendengar dengan khusyuk dan menghayati percakapannya.

July 7, 2011

Bersih: Ada baca cerita Hilful Fudhul

Seorang Professor daripada sebuah universiti memberi amaran dengan katanya: “Sebelum anda menyertai Himpunan Bersih, lihat terlebih dahulu siapa ketuanya. Ketuanya adalah seorang Hindu, sudahlah Hindu, dia juga merupakan penyokong kuat kepada ideologi kesamarataan agama”.

Itu dia amaran daripada seorang professor. Tak sangka ramai juga rupanya profesor-profesor kangkung di Malaysia.

Saya ingin menjelaskan dengan tegas di sini bahawa, andainya ditakdirkan Abu Jahal yang digelar sebagai Firaun Umat Nabi Muhammad sekalipun mengetuai Himpunan Bersih, itu tidak menjadi masalah kepada orang Islam untuk menyertainya.

Ya, saya ulangi, andainya Abu Jahal sekalipun yang memimpin Himpunan Bersih, itu tidak menjadi masalah untuk disertai.

Ada baca cerita dengan Hilful Fudhul?

Zaman Jahiliyyah dulu sebelum Nabi diutuskan, berlaku Hilful Fudhul, satu himpunan kaum untuk menyatakan kata sepakat menuntut semua kaum untuk menjaga kebajikan tetamu yang bertandang ke Makkah. Tiada kezaliman boleh dilakukan terhadap mana-mana individu yang datang menziarahi kaabah. Mana-mana kaum yang buat kacau maka kaum itu layak diambil tindakan oleh kaum lain.

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pada zaman mudanya menyertai himpunan tersebut. Setelah diutuskan sebagai seorang rasul, Nabi dengan banggannya mengatakan:

شَهِدْتُ حِلْفَ بَنِي هَاشِمٍ ، وَزَهْرَةَ ، وَتَيْمٍ ، فَمَا يَسُرُّنِي أَنِّي نَقَضْتُهُ وَلِيَ حُمْرُ النَّعَمِ ، وَلَوْ دُعِيتُ بِهِ الْيَوْمَ لأَجَبْتُ عَلَى أَنْ نَأْمُرَ بِالْمَعْرُوفِ ، وَنَنْهَى عَنِ الْمُنْكَرِ وَنَأْخُذَ لِلْمَظْلُومِ مِنَ الظَّالِمِ

Maknanya: Kalau Nabi diajak menyertai himpunan tersebut setelah Islam datang pun Nabi akan pergi.

Soalnya, siapa yang ada dalam himpunan di Mekkah tersebut??? Mereka yang ada di Mekkah menyertai himpunan tersebut termasuklah Abu Jahal, Abu Lahab, dan segala bangsawan Quraish yang berada di Mekkah yang menentang Islam kemudiannya.

Nabi sanggup pergi? Ya Nabi sanggup walau dalam himpunan tersebut ada Abu Jahal dan segala kepala-kepala puak Quraish yang lain.

Takder hal langsung bro. Nabi pandai membezakan keadaan. Letakkan sesuatu isu di tempatnya. Ketika berhadapan dengan isu yang menjejaskan Islam, mereka adalah musuh. Tetapi ketika berhadapan dengan isu kebajikan tetamu yang bertandang ke Makkah, maka mereka adalah rakan.

Lihat bagaimana Nabi seorang yang cerdik dapat membezakan sesuatu perkara mengikut tajuk dan isu mengikut tempat. Bukan semberono bermusuhan tanpa tahu tajuk dan tempat.

Itu beza antara orang yang jahil dengan orang yang cerdik.

Orang jahil ni, dia melihat semua perkara sama. Dia tak mampu membezakan masalah mengikut tajuk. Pendek kata tak profesional langsung.

Orang cerdik pula, dia melihat sesuatu perkara itu mengikut keadaan dan tempat. Tidak semua sama. Dan dia mampu membezakan perkara mengikut tajuk. Pendek kata dia profesional.

Tapi sayangnya di Malaysia, status dah tahap profesor, tapi gagal membezakan masalah mengikut tajuk.

Apa sebenarnya isu dalam soal himpunan bersih ini??? Isunya adalah tuntutan berkenaan pilihan raya. Yang pergi campur aduk pasal islam dengan kafirlah, pasal orang melayu berpecahlah, pasal komunislah apa kejadahnya???

Soalnya adalah pilihan raya. Tajuk yang perlu dibincangkan adalah tajuk tentang pilihan raya. Sejauh mana bersihnya sistem pilihan raya di Malaysia?

Ada orang berkata pilihan raya dah bersih dah pun, pembangkang dah menang 5 buah negeri lagi pilihan raya umum lepas.

Soalnya, kalau anda yakin pilihan raya dah bersih sekalipun, kenapa anda begitu takut dengan himpunan dan tuntutan yang dibuat tersebut? Sampai baju kuning pun nak diharamkan apa kes?

Orang yang tak bersalah, biasanya tak takut, orang yang bersalah jer biasa yang gabra. Ni siapa yang bersalah dan siapa yang tak bersalah ni?

MASALAH SERATUS PERATUS

Berkata pula seorang ustaz: “Saya tidak menyokong dan tidak akan menyertai Himpunan Bersih sebab himpunan tersebut melibatkan perkara-perkara mungkar. Perempuan tak tutup aurat pun ikut perhimpunan tu, orang yang tak sembahyang pun ikut, bla bla bla”.

Katanya lagi “Kalau himpunan itu 100 peratus bersih daripada perkara mungkar, dijamin tiada huru-hara, dijamin tiada itu dan ini…ba bla bla, barulah saya akan sokong dan ikut”.

Ada jugak rupanya ustaz yang buat poyo. Ustaz-ustaz macam ni elok dinasihatkan hidup di hutan belantara jer lah senang.

Yalah, tak nak terpalit walau satu dosa pun kan, Pergi duduk kat hutan sorang-soranglah.

Ni adalah contoh masalah mentaliti mereka yang nak jadi malaikat, bukan nak jadi manusia yang baik.

Maslahah yang besar, lebih diutamakan daripada maslahah yang kecil. Mana besar antara maslahah untuk umat dan negara dengan maslahah untuk diri sendiri?

Sedangkan dalam muamalat pun, ulama mengharuskan apa yang dipanggil sebagai “gharar yasir” atau kalau diterjemahkan sebagai penipuan yang sedikit yang berlaku dalam jual beli yang susah nak dielakkan.

Contoh 1:

Anda beli buah-buahan seperti durian mengikut kilo, anda beli kulit atau beli isi? Tentunya anda membeli isi yang boleh dimakan, tapi anda membayar harga termasuk harga kulit yang langsung tidak anda makan?

Bukankah itu satu penipuan??? Bukankah jual beli yang sah adalah jual beli tanpa penipuan??? Ya jual beli yang sah adalah jual beli yang tiada penipuan, tapi penipuan yang sedikit sebegitu dimaafkan.

Contoh 2:

Anda masuk Hammam dengan membayar 10 Dirham. Anda mempunyai hak untuk mandi menggunakan sebanyak mana liter air sekalipun, untuk berada beberapa jam sekalipun dalam Hammam tersebut. Orang lain yang hanya mandi beberapa ketika dan terus keluar pun turut membayar harga yang sama seperti anda.

Tidakkah ini satu ketidak adilan dan penipuan dalam urus niaga? Bolehkah seorang berkata kepada anda bahawa ini tidak adil dan merugikan tuan punya Hammam. Tidak, ulama mengharuskan hal tersebut.

Contoh 3:

Anda menaiki bas ke bandar dan membayar tambang sebanyak 4 dirham. Jarak rumah anda ke bandar adalah 20 km. Mereka yang menaiki bas tersebut dari jarak 30 km pun turut membayar 4 dirham, juga mereka yang menaikinya dari jarak 5 km sekalipun.

Tidakkah ini merupakan satu penipuan dan ketidak adilan dalam urus niaga? Tetapi hal sebegini dimaafkan oleh ulama kerana termasuk dalam bab Al-gharar Alyasir.

Justeru, kalau ada ustaz yang berkata: “Saya takkan berurus niaga kecuali urus niaga itu 100 peratus bersih daripada sebarang penipuan”, maka saya anggap ustaz begitu hanya memalukan title ustaz yang dipegangnya. “Ek’eleh buat poyo pulak mamat ni” bak kata budak-budak muda.

Saya teringat kepada Abdullah Bin Umar yang menjawab seorang lelaki daripada Iraq yang datang bertanyakan hukum darah nyamuk. Abdullah Bin Umar dengan penuh sindiran terhadanya berkata:

“Kamu sibuk bertanya soal hukum darah nyamuk, tapi darah cucu Nabi yang dibunuh di Iraq tidak pula kamu mahu tanyakan hukum”.

Perumpamaan mudah lainnya adalah orang lain sibuk membincangkan soal kahwin dan bagaimana perkahwinan itu mendatangkan manfaat kepada pemuda dan pemudi, menggalakkan pemuda supaya berkahwin dan sebagainya, tetapi dia sibuk membincangkan soal perkahwinan itu bakal dicampuri kemungkaran seperti bersanding bla bla bla…

“Ana nasihatkan enta jangan kahwin sebab akan ada kemungkaran dalam majlis kahwin nanti, sepupu perempuan enta yang tak pakai tudung tu mesti datang, budak-budak muda kampung yang tak sembahyang pun confirm datang jugak, banyak kemungkaran tu, enta bersubahat sekali. Jadi janganlah kahwin, kalau nak kahwin pun buat senyap-senyap jerlah ataupun kahwin lari”.

Kah kah kah…alangkah tempangnya pemikiran ustaz-ustaz hingusan ini.

AKHIRNYA…

Banyak lagi sebenarnya yang mahu saya ulas setelah membaca dan mengumpul hujah-hujah dangkal yang keluar di dada-dada akhbar, tetapi lain kali sajalah apabila terasa rajin.

Renungkanlah kata-kata Serikandi Islam ini kepada pemuda-pemuda Islam:

قَالَتِ الشِّفَاءُ ابْنَةُ عَبْدِ اللَّهِ، وَرَأَتْ فِتْيَانًا يَقْصِدُونَ فِي الْمَشْي وَيَتَكَلَّمُونَ رُوَيْدًا، فَقَالَتْ: مَا هَذَا؟ فَقَالُوا: نُسَّاكٌ، فَقَالَتْ : كَانَ وَاللَّهِ عُمَرُ "إِذَا تَكَلَّمَ أَسْمَعَ، وَإِذَا مَشَى أَسْرَعَ، وَإِذَا ضَرَبَ أَوْجَعَ، وَهُوَ النَّاسِكُ حَقًّا".

Berkata Syifa’ Binti Abdullah setelah dia melihat pemuda yang berjalan secara lemah dan bercakap secara perlahan dengan katanya siapa mereka ini? Mereka berkata : Kami adalah golongan ahli ibadah.

Lalu Syifa’ berkata: “Umar Al-Khattab demi Allah merupakan seorang yang, apabila dia bercakap, tajam sekali ucapannya. Apabila dia berjalan, laju sekali langkahnya, Apabila dia memukul, perit sekali pukulannya, tetapi dialah yang paling hebat ibadahnya berbanding kalian”.

Itu teguran daripada seorang serikandi Islam pada zaman tersebut kepada pemuda-pemuda Islam yang lembik longlai. Buat malu kaum jer.

Buat mereka yang menentang mana-mana himpunan aman yang ingin diadakan oleh mana-mana rakyat Malaysia walau siapapun mereka, maka saya katakan kepada mereka…….

Do or Die,

You’ll never make me,

Because the world will never take my heart,

Go and try,

You’ll never break me,

We want it All,

We want to play this part,

I won’t explain, or say I’m sorry,

I’m unashamed, I’m gonna show my scars

Give a cheer for all the broken,

Listen here, because it’s who we are.

I’m just a man, I’m not a hero,

Just a boy, whose meant to sing this song.

I DON’T CARE!!!!

SUMBER