Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Sekiranya kita mengamati dan menghayati isi kandungan al-Quran, kita akan menemui lafaz-lafaz yang mempunyai lebih dari satu makna. Lafaz-lafaz ini dikenali oleh ulama-ulama usul fiqh sebagai lafaz musytarak.

Lafaz musytarak adalah lafaz yang mempunyai dua maksud yang berbeza antara satu sama lain. Ia juga mungkin menunjukkan lebih dua maksud.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terdapatnya kepelbagaian makna terhadap sesuatu lafaz dalam al-Quran dan Sunnah.

Faktor yang pertama adalah kerana wujudnya makna yang sebenar dan makna majaziy (kiasan atau perumpamaan).

Sesuatu perkataan atau lafaz itu digunakan dengan makna asalnya, tetapi akhirnya ia turut digunakan untuk tujuan majaziy.

Apabila makna majaziy ini sering digunakan, akhirnya ia akan mendorong masyarakat melazimi penggunaannya seolah makna majaziy tersebut adalah juga makna asal bagi lafaz berkenaan. Justeru, masyarakat akan menerima dua makna dari perkataan tersebut.

Faktor kedua adalah kerana perbezaan penggunaan terhadap bahasa Arab mengikut kabilah atau kaum-kaum tertentu.

Ia merujuk kepada kefahaman suku-suku bangsa Arab terhadap sesuatu lafaz. Di mana berkemungkinan lafaz tersebut difahami dan digunakan oleh sesuatu kabilah mengikut kebiasaan mereka dan sebaliknya digunakan oleh kabilah yang lain mengikut kefahaman dan kebiasaannya.

Suasana ini juga berlaku sekiranya kita mengkaji penggunaan bahasa Melayu yang mungkin mempunyai pemahaman yang berbeza mengikut negeri dan konteks penggunaan.

Faktor ketiga berlakunya lafaz musytarak adalah kerana sesuatu lafaz itu mempunyai makna yang ditentukan dari segi bahasa dan istilah.

Biasanya ia berlaku dalam disiplin ilmu tertentu yang mana setiap perkataan mempunyai makna tersendiri dari sudut bahasa (lughawi) dan istilah (istilahi).

Sebagai contohnya, pengertian 'hukum' daripada sudut bahasa adalah pelaksanaan. Namun, dari sudut istilah adalah: "Perkara yang dituntut oleh kata-kata syarak yang bersangkutan dengan perbuatan orang yang bertanggungjawab, sama ada permintaan, memberi pilihan mahupun penetapan".

Demikian juga perkataan zakat yang mempunyai maknanya dari sudut bahasa dan istilah. Daripada sudut bahasa, zakat bermaksud kesuburan, kesucian dan pertambahan.

Daripada sudut istilah, zakat bermaksud "mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya apabila telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan".

Justeru, faktor-faktor inilah yang membentuk lafaz-lafaz dalam al-Quran dan hadis menjadi lafaz musytarak.

Inilah sebenarnya antara titik-tolak berlakunya ikhtilaf dan kepelbagaian pandangan di kalangan ulama. Mereka mempunyai pentafsiran yang berbeza terhadap kalimah dan lafaz yang terkandung dalam al-Quran.

Sebagai contoh, para ulama berselisih pandangan dalam menentukan makna yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam ayat ke 228, Surah Al-Baqarah yang bermaksud: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali quru'.

Kalimah quru' dalam ayat berkenaan adalah lafaz musytarak yang mengandungi dua makna iaitu suci dan haid.

Dalam mentafsirkan lafaz ini, menurut majoriti ulama mazhab Syafie dan beberapa ulama lain, makna yang dikehendaki melalui lafaz tersebut adalah suci.

Ulama mazhab Hanafi dan beberapa ulama lain pula berpandangan bahawa makna yang dikehendaki dari lafaz quru' adalah haid. Kedua-dua pandangan ini mempunyai hujah dan alasan masing-masing.

Oleh kerana lafaz musytarak mempunyai pelbagai maksud, maka persoalannya adakah kita dibenarkan untuk menggunakan salah satu daripadanya atau boleh untuk menghimpunkan makna-makna berkenaan.

-SUMBER-

Comments

Popular posts from this blog

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran

Fahami apa itu ikhtilat