March 31, 2010

MENEGAKKAN DAULAH KHILAFAH ADALAH WAJIB


"We must put an end to anything which brings about any Islamic unity between the sons of the Muslims. As we have already succeeded in finishing off the Khilafah, so we must ensure that there will never arise again unity for the Muslims, whether it be intellectual or cultural unity… The situation now is that Turkey is dead and will never rise again, because we have destroyed its spiritual strength, the Khilafah and Islam".

(Kita mesti hapuskan apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada penyatuan di kalangan umat Islam. Memandangkan kita telah berjaya menghancurkan Khilafah, jadi kita mesti pastikan yang umat Islam tidak akan bersatu kembali, samada secara intelektual atau kebudayaan… Faktanya sekarang adalah bahawa Turki telah mati dan ia tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan ruhnya (yakni) Khilafah dan Islam) - [Lord Curzon, Menteri Luar British, di hadapan House of Commons setelah Perjanjian Lausanne pada 24 Julai 1924].


Itulah kata-kata yang penuh dengan keyakinan dan keegoan si kafir laknatullah, Lord Curzon setelah mereka berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah secara rasmi, tepatnya pada 3 Mac 1924, jam 6.30 pagi. Pihak kuffar Barat benar-benar memahami bahawa kekuatan dan penyatuan umat Islam yang hakiki adalah di bawah Daulah Khilafah. Kerana itulah mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dan menggunakan segala kekuatan, tipu helah, kelicikan dan agen-agen mereka bagi menghancurkan umat Islam. Bukan setakat itu sahaja, setelah mereka berjaya dan bergembira menyaksikan kehancuran Islam, mereka tidak pernah lalai dan berhenti dari usaha mereka seterusnya untuk memastikan umat Islam tidak akan bangkit dan bersatu kembali. Tidak cukup dengan itu, mereka malah melakukan serangan fizikal secara besar-besaran ke atas umat Islam, merogol, membunuh, memerangi, menangkap, memenjara, menyiksa dan melakukan pelbagai bentuk kekejaman lainnya yang benar-benar tidak berperikemanusiaan. Umat Islam diperlakukan umpama binatang, malah jauh lebih buruk dari itu. Ya, mereka telah melakukan semua itu dan mereka telah melakukannya dengan begitu mudah sekali! Kenapa? Kerana umat Islam telah kehilangan perisainya yang selama ini menjaga dan melindungi mereka – Khalifah!


Apa yang kita saksikan saban hari sejak kejatuhan Khilafah hinggalah ke hari ini adalah penderitan demi penderitaan yang tidak berkesudahan menimpa umat Islam. Kesatuan umat Islam telah berkecai dan persaudaraan mereka telah hancur. Segala ini berlaku setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah di mana umat Islam mula dihadiahkan kemerdekaan oleh pihak kuffar Barat untuk menubuhkan negara bangsa (nation states). Maka dari sini, masing-masing mula berjuang untuk bangsa dan berebut-rebut bersengketa sesama sendiri untuk berkuasa dan mengekalkan kekuasaan, tanpa menghiraukan lagi apa yang terjadi kepada saudara mereka di negara lain. Yang penting, perlu bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati di negara sendiri. Bangsa lain, negara lain... itu masalah mereka, tidak ada kena mengena dengan kita. Itu masalah dalaman negara mereka dan kita tidak boleh dan tidak perlu campurtangan. Kita berkecuali. Inilah antara kata-kata yang lahir dari sebahagian umat Islam, khususnya pemimpin mereka!


Wahai kaum Muslimin! Demikianlah secebis kisah bagaimana bermulanya segala penderitaan dan kehinaan yang menimpa umat ini, umat yang pernah satu ketika dulu memimpin dunia dan membawa rahmat ke setiap penjuru alam. Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa Sistem Pemerintahan Khilafah yang telah diamalkan oleh umat Islam semenjak zaman Khalifah Rasyidah hinggalah ke zaman Uthmaniyyah, telah menjaga dan melindungi umat Islam. Apa yang telah dilakukan oleh para Khulafa’ Rasyidah dan diteruskan oleh pengganti-pengganti mereka ini telah terpahat dalam sejarah dan memenuhi ribuan lembaran kitab. Walaubagaimanapun, kita perlu memahami dengan sebenar-benar pemahaman bahawa apa yang telah terpahat itu bukan sekadar sejarah, tetapi ia adalah sebuah kewajiban yang telah ditunaikan oleh para pendahulu kita, yang juga merupakan kewajiban yang sama yang diletakkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas kita untuk melakukannya. Umat Islam itu hanya akan meraih kemulian dengan mematuhi perintah dan larangan Allah. Apabila sistem pemerintahan dari Allah tidak diterapkan, sebaliknya diganti dengan diterapkan sistem kufur dari Barat, bagaimanakah kemuliaan Allah akan bersama kita?


Mendirikan Khilafah Adalah Wajib


Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan hukum-hukum syariat Islam dan mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia. Kata lain dari Khilafah adalah Imamah di mana keduanya mempunyai makna yang sama. Hal ini diterangkan di dalam banyak hadis sahih yang menunjukkan persamaan makna kedua-dua lafaz ini [Syeikh Taqiyyuddin An Nabhani, Nizhamul Hukmi Fil Islam]. Perlu difahami bahawa, Khilafah itu adalah Sistem Pemerintahan Islam dan Khalifah itu adalah ketua negaranya (head of the State). Ringkasnya, ketua negara Daulah Khilafah adalah Khalifah. Juga, tidak salah jika ketua negara itu digelar Imam atau Amirul Mukminin kerana gelaran semacam ini terdapat di dalam Hadis dan Ijma’ Sahabat. Dari definisi ini, jelas bahawa Daulah Khilafah wujudnya hanya satu untuk seluruh dunia. Ini kerana nas-nas syara’ memang menunjukkan kewajiban umat Islam untuk bersatu dalam satu institusi negara sahaja dan haram bagi umat Islam mempunyai lebih dari satu negara. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Dan berpeganglah kalian semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai berai…” [Ali-’Imran (3):103].


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam masalah persatuan umat ini bersabda: “Barangsiapa mendatangi kalian, sedang urusan kalian ada di bawah kepemimpinan satu orang (Imam/Khalifah), dan dia hendak memecah belah kesatuan kalian dan mencerai-beraikan jemaah kalian, maka bunuhlah dia” [HR Muslim].


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jika dibai’at dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” [HR Muslim]


Selain al-Quran dan as-Sunnah, Ijma’ Sahabat juga turut menegaskan prinsip kesatuan umat di bawah kepemimpinan seorang Khalifah. Abu Bakar Ash Shiddiq suatu ketika pernah berkata, “Tidak halal bagi kaum Muslimin mempunyai dua pemimpin”. Perkataan ini didengar oleh para sahabat dan tidak seorang pun dari mereka yang mengingkarinya, sehingga menjadi ijma’ di kalangan mereka.


Bahkan sebahagian fuqaha menggunakan Qiyas untuk menetapkan prinsip kesatuan umat. Imam Al Juwaini berkata, “Para ulama kami (mazhab Syafi’i) tidak membenarkan akad Imamah (Khilafah) untuk dua orang. Kalau ini terjadi, ini sama halnya dengan seorang wali yang menikahkan seorang perempuan dengan dua orang laki-laki” Maksudnya, Imam Juwaini mengqiyaskan keharaman adanya dua Imam bagi kaum Muslimin dengan keharaman wali menikahkan seorang perempuan dengan dua orang lelaki yang akan menjadi suaminya. [Lihat Dr. Muhammad Khair, Wahdatul Muslimin fi Asy Syari’ah Al Islamiyah]


Dalil Al-Quran


Di dalam al-Quran memang tidak terdapat istilah ‘Daulah’ yang bererti ‘Negara’. Tetapi di dalam al-Quran terdapat ayat yang menunjukkan wajibnya umat memiliki pemerintahan/negara (ulil amri) dan wajibnya menerapkan hukum dengan hukum-hukum yang diturunkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kalian kepada Allah dan taatlah kalian kepada Rasul(Nya) dan ulil amri di antara kalian.” [An-Nisaa` (4):59]


Ayat di atas memerintahkan kita untuk mentaati Ulil Amri, iaitu Al Haakim (Penguasa). Perintah ini, secara dalalatul iqtidha`, bererti perintah pula untuk mengadakan atau mengangkat Ulil Amri, jika Ulil Amri itu tidak ada. Ini adalah kerana tidak mungkin Allah memerintahkan kita untuk mentaati orang yang tidak wujud. Tatkala Allah memberi perintah untuk mentaati Ulil Amri, bererti Allah memerintahkan pula untuk mewujudkannya Oleh itu, jelas bahawa mewujudkan Ulil Amri itu adalah wajib. Tambahan lagi, adanya Ulil Amri menyebabkan terlaksananya kewajipan menegakkan hukum syara’, sedangkan mengabaikan terwujudnya Ulil Amri menyebabkan terabainya hukum syara’. Inilah apa yang berlaku sekarang di mana hukum syara’ tidak lagi diterapkan kerana tiadanya Ulil Amri di kalangan umat Islam.


Di samping itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mengatur urusan kaum Muslimin berdasarkan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah. Firman Allah,

“Maka putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” [Al-Ma’idah (5):48].


“Dan putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [Al-Ma’idah (50:49].


Dalam kaedah usul fiqh dinyatakan bahawa, perintah (kitab) Allah kepada Rasulullah juga merupakan perintah kepada umat Islam selama tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah ini hanya untuk Rasulullah. Berhubung dengan ayat di atas, tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah tersebut hanya kepada Rasulullah. Oleh kerana itu, ayat-ayat tersebut bersifat umum, iaitu berlaku juga bagi umat Islam. Dan menegakkan hukum-hukum yang diturunkan Allah tidak mempunyai makna lain kecuali menegakkan hukum dan pemerintahan, sebab dengan pemerintahan itulah hukum-hukum yang diturunkan Allah dapat diterapkan secara sempurna. Dengan demikian, ayat-ayat ini menunjukkan wajibnya ada sebuah ‘Negara’ untuk menjalankan semua hukum Islam, dan ‘Negara (Islam)’ itu adalah Negara Khilafah.


Dalil As-Sunah


Abdullah bin Umar meriwayatkan, “Aku mendengar Rasulullah mengatakan, ‘Barangsiapa melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya dia akan menemui Allah di Hari Kiamat dengan tanpa hujah. Dan barangsiapa mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’ah (kepada Khalifah) maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah” [HR Muslim].


Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mewajibkan adanya bai’at pada pundak setiap Muslim dan mensifati orang yang mati dalam keadaan tidak berbai’at seperti matinya orang-orang jahiliyyah. Padahal bai’at hanya dapat diberikan kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Jadi hadis ini menunjukkan kewajipan mengangkat seorang Khalifah, yang dengannya dapat terwujud bai’at di pundak setiap Muslim. Sebab bai’at akan ada di pundak kaum Muslimin jika ada Khalifah/Imam yang memimpin kaum Muslimin.


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR Muslim]


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Dahulu Bani Israel diuruskan (dipimpin) oleh para nabi. Setiap kali wafat seorang nabi diutuslah nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada lagi nabi sesudahku, tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya banyak.” Para sahabat bertanya, apa yang engkau perintahkan kepada kami (dalam keadaan itu)? Nabi menjawab, “Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja dan berilah kepada mereka hak-hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang mereka uruskan.” [HR Muslim]


Hadis-hadis ini merupakan pemberitahuan (ikhbar) dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa seorang Khalifah adalah laksana perisai, dan bahawa akan ada penguasa-penguasa yang memerintah kaum Muslimin. Pernyataan Rasulullah bahawa seorang Imam itu laksana perisai menunjukkan pemberitahuan tentang adanya fungsi keberadaan seorang Imam, dan ini merupakan suatu tuntutan (thalab). Ini adalah kerana, setiap ikhbar yang berasal dari Allah dan Rasul-Nya, apabila mengandungi celaan (adz-dzamm) maka yang dimaksudkan adalah tuntutan untuk meninggalkan (thalab at-tarki), atau merupakan larangan (an-nahy); dan apabila mengandung pujian (al mad-hu) maka yang dimaksudkan adalah tuntutan untuk melakukan perbuatan (thalab al-fi’li). Dan sekiranya pelaksanaan perbuatan yang dituntut itu menyebabkan tegaknya hukum syara’ atau jika ditinggalkan mengakibatkan terabainya hukum syara’, maka tuntutan untuk melaksanakan perbuatan itu bersifat pasti (fardhu). Oleh itu hadis-hadis ini menunjukkan wajibnya Khilafah, kerana tanpa Khilafah banyak hukum syara’ yang akan terabai.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Bila seseorang melihat sesuatu yang tidak disukai dari amirnya (pemimpinnya), maka bersabarlah kerana barangsiapa memisahkan diri dari penguasa (pemerintahan Islam/Khilafah) walau sejengkal saja, lalu ia mati, maka matinya adalah mati jahiliyah.” [HR Muslim].


Hadis ini menjelaskan keharaman kaum Muslimin keluar memberontak terhadap penguasa (Khalifah). Ini bererti bahawa adanya Daulah Khilafah adalah suatu kewajiban, sebab tidak mungkin Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam begitu tegas sekali menyatakan bahawa orang yang memisahkan diri dari Khilafah akan mati jahiliyah. Maka, wujudnya pemerintahan Islam bagi kaum Muslimin statusnya adalah wajib.


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda: “Barangsiapa membai’at seorang Imam (Khalifah), lalu memberikan genggaman tangannya dan menyerahkan buah hatinya, hendaklah ia mentaatinya semaksima mungkin. Dan jika datang orang lain hendak mencabut kekuasaannya, penggallah leher orang itu.” [HR Muslim].


Dalam hadis ini Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan kaum Muslimin untuk mentaati para Khalifah dan memerangi orang-orang yang merebut kekuasaan mereka. Perintah Rasulullah ini bererti perintah untuk mengangkat seorang Khalifah dan memelihara kekhilafahannya dengan cara memerangi orang-orang yang merebut kekuasaannya. Semua ini merupakan penjelasan tentang wajibnya keberadaan penguasa kaum Muslimin, iaitu Imam atau Khalifah. Ini adalah kerana sekiranya ia tidak wajib, nescaya tidak mungkin Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam memberikan perintah yang begitu tegas untuk memelihara eksistensinya, iaitu perintah untuk memerangi orang yang ingin merebut kekuasaan Khalifah.


Dalil Ijma’ Sahabat


Sebagai sumber hukum Islam ketiga, Ijma’ Sahabat menunjukkan dengan sejelas-jelasnya kepada kita bahawa mengangkat seorang Khalifah sebagai pemimpin umat Islam adalah wajib. Para sahabat telah sepakat mengangkat Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan, dan Ali bin Abi Thalib ridhwanullah ‘alaihim, sebagai Khalifah yang memimpin dunia Islam.


Ijma’ Sahabat yang membuktikan kewajiban pengangkatan seorang Khalifah diambil dari peristiwa yang berlaku di Saqifah Bani Sai’dah di mana para sahabat dan ahlu halli wal aqdi saat itu sibuk bermesyuarat bagi mengangkat seorang Khalifah. Walaupun jenazah Rasulullah masih belum dikebumikan, tetapi keseluruhan sahabat masih sibuk berbincang soal pengangkatan Khalifah. Mereka ternyata telah menunda kewajipan menanam jenazah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan mendahulukan pengangkatan seorang Khalifah pengganti baginda. Hal ini berlaku walhal mereka mengetahui bahawa menguburkan mayat secepatnya adalah suatu tuntutan, apatah lagi jenazah itu adalah jenazah Rasulullah sendiri, namun, para sahabat tetap mendahulukan usaha-usaha untuk mengangkat Khalifah daripada menanam jenazah Rasulullah. Sedangkan sebahagian sahabat lain pula (yang tidak terlibat) turut mendiamkan hal ini dan ikut pula bersama-sama menunda kewajipan mengebumikan jenazah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Peristiwa ini terjadi di dalam rentang waktu 3 hari 2 malam, padahal mereka mampu mengingkari hal ini dan mampu menanam jenazah Nabi secepatnya. Fakta ini menunjukkan adanya kesepakatan (ijma’) mereka untuk mendahulukan kewajipan mengangkat Khalifah daripada menguburkan jenazah. Hal itu tak mungkin terjadi kecuali status hukum mengangkat seorang Khalifah adalah lebih wajib didahului daripada menguburkan jenazah.


Demikian pula bahawa seluruh sahabat selama hidup mereka telah bersepakat mengenai kewajipan mengangkat seorang Khalifah. Walaupun sering muncul perbezaan pendapat mengenai siapakah yang lebih layak untuk dipilih dan diangkat menjadi Khalifah, namun mereka tidak pernah berselisih pendapat sedikit pun mengenai wajibnya mengangkat seorang Khalifah, baik ketika wafatnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mahupun ketika pergantian masing-masing Khalifah yang empat. Oleh kerana itu Ijma’ Sahabat merupakan dalil yang jelas dan kuat bagi kita bahawa mengangkat seorang Khalifah sebagai pemimpin bagi seluruh kaum Muslimin adalah wajib.


Dalil Dari Kaedah Syar’iyyah


Dilihat dari sudut usul fiqh, mengangkat Khalifah juga adalah wajib. Dalam usul fiqh terdapat satu kaedah syar’iyah yang disepakati para ulama, “Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu adalah wajib.” Menerapkan hukum-hukum yang berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam segala aspeknya adalah wajib. Hal ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kekuasaan Islam yang dipimpin oleh seorang Khalifah. Maka dari itu, berdasarkan kaedah syar’iyyah tadi, eksistensi Khilafah hukumnya menjadi wajib.




March 28, 2010

Qasidah


يَا طَيْبَةْ يَا طَيْبَةْ

يَا طَيْبَةْ يَا طَيْبَةْ  يَا دَاوَ العَيَانَا اشْتُقْنَلِكْ
وَالهَوَى نَدَانَا

سَيِّدِيْ يَا أَبَا بَكْرٍ ٠    حُبُّكُمْ فِي القِيَامِ ذُخْرِى
يَا عُمَرْ إِقْضِيْهِ بِعُمْرِي  ٠    وَكَذَا سَيِّدِيْ عُثْمَانَ
صَاحِبَ القَبْضَةِ الأَصْلِيَّةْ  ٠    وَذَوِى البَحْجَةِ السَّنِيَّةْ
وَلَهُ الرُتْبَةُ العَليَّةْ    ٠    مَنْ إِليهِ بَابُ الرَّيَانَ
يَا عَلِي يَا ابْنَ أَبِيْ طَا لِبْ    ٠    مِنْكُمُ المَصْدَرُ المَوَاهِبْ                                                                   
هَلْ تُرَى هَلْ أُرَى لِحَابِبْ      ٠    عِنْدَكُمْ أَفْضَلُ الغِلْمَانَ
أَسْيَدَ الْحَسَنْ وَ الْحُسَيْنِ     ٠     إِلَى النَّبِيِ قُرَّةُ عَيْنِيْ
وَيَا شَبَابَ الْجَنَّتَيْنِ     ٠    جَدُّكُمْ صَاحِبُ الْقُرْآنَ
وَصَلاَةُ الله تَعَالَى       ٠      عَلَى مَنْ كَلَّمْهُ الْغَزَلَةْ
وَاْلآلِ أَصْحَابِ الْكَمَلَ     ٠     وَالأَصْحَابِ عَلَوْ شَانَ

March 21, 2010

WANITA CONTOH DI DALAM ISLAM

1.Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik ALLAH SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.

2.Ramai juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.

3.Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. ALLAH telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. ALLAH juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, ALLAH telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan deen ISLAM dalam dirinya.

4.Ramai pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada ALLAH SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.

5.Ramai juga yang telah terlupa kepada Si Suci Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, ALLAH memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih ALLAH untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada ALLAH, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian.

6.Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah RAH? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku. Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, Bangun wahai anakku. Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah yang melihat peristiwa itu bersabda. Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan? Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, Ini dia orang yang telah melukakan anakmu. Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya, kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya.

7.Siapakah yang mengingati Ummu Imarah ini? Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu Sulaim? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman. Maka islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim. Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini? Siapakah pula yang mengingati isteri kedua Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya dia, bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, Kenapakah berlaku begitu? Ummu Salamah berkata, Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.

8.Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada ALLAH SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada ALLAH SWT bila ditimpa dugaan. Siapakah pula yang mengingati Asma binti Abu Bakr? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.

9.Siapakah pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan ALLAH Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati mereka? Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka? Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji?

Oh masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi? Oh perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi? Oh lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gila-gilai untuk jadikan isteri? Siapa? Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sirah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan. Dan hari in saya teringatkan perempuan-perempuan itu.

Posted on the November 29th, 2009 under Agama by johnjimat
http://berita-harian-online.com/wanita-contoh-di-dalam-islam/

10 ORANG SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA

10 ORANG YANG DIJANJIKAN SYURGA ini lebih terkenal daripada selain mereka kerana ianya merupakan para sahabat ( r.a ) yang amat terkenal ( popular ) dan satu lagi, ianya diriwayatkan oleh hadis yang menyenaraikan nama-nama mereka secara sekelompok ( 10 orang sekaligus ), berbeza pula dengan selain mereka – yang juga dijanjikan syurga – akan tetapi , nama-nama para sahabat (r.a) selain mereka itu disebut secara berasingan oleh Rasulullah s.a.w , bukannya disebut secara sekaligus @ sekolompok sebagaimana 10 orang yang dijanjikan memasuki syurga. Dan kebanyakan mereka yang dijanjikan dengan syurga adalah Generasi Pertama Islam , iaitu para sahabat (ra) yang telah banyak berkorban untuk mengembangkan dan mempertahankan agama Allah Ta’ala ini !.

10 Orang yang dijanjikan syurga sebagaimana disebut secara sekaligus oleh Baginda Rasulullah s.a.w ialah sebagaimana hadis berikut :


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ سَعِيدَ بْنَ زَيْدٍ حَدَّثَهُ فِي نَفَرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ وَعُثْمَانُ وَعَلِيٌّ وَالزُّبَيْرُ وَطَلْحَةُ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ فَعَدَّ هَؤُلَاءِ التِّسْعَةَ وَسَكَتَ عَنِ الْعَاشِرِ فَقَالَ الْقَوْمُ نَنْشُدُكَ اللَّهَ يَا أَبَا الْأَعْوَرِ مَنِ الْعَاشِرُ قَالَ نَشَدْتُمُونِي بِاللَّهِ أَبُو الْأَعْوَرِ فِي الْجَنَّةِ قَالَ أَبُو عِيسَى أَبُو الْأَعْوَرِ هُوَ سَعِيدُ بْنُ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو

Ertinya : “ Daripada Abdul Rahman Bin Humaid, daripada bapanya : Sesungguhnya Said Bin Zaid pernah menceritakan kepadanya mengenai satu kumpulan , dengan katanya : Pernah Baginda RasululLah s.a.w bersabda : 10 orang yang akan memasuki syurga iaitu (1)- Abu Bakar , (2)- Umar, (3)-Utsman , (4)- Ali , (5)- Zubair , (6)-Tolhah , (7)-Abdul Rahman , (8) – Abu ‘Ubaidah , (9) Sa’ad Bin Abu Waqqas ~ maka beberapa orang yang mengira-ngira jumlah semua yang dijanjikan dengan syurga itu , di manakah lagi seorang ?. Lalu mereka bertanya kepada Said Bin Zaid : Demi Allah Wahai Abu A’awar ! Siapakah dia orang yang kesepuluh itu ?. Maka Said Bin Zaid pun menjawabnya : Bukahkah kamu sendiri telah bersumpah bahawa Abu A’awar itu pun adalah di kalangan mereka yang dijanjikan syurga ? “. – Imam Abu ‘Isa (At-Tirmidzie) menyatakan : “ Abu A’awar itu sendiri adalah Said Bin Zaid Bin ‘Amru “ . ~ ( Hadis Sahih riwayat Imam At-Tirmidzie , di dalam Kitab Al-Manaqib : 3681 ) dan hadis seumpama ini diriwayatkan juga oleh Imam Abu Dawud rh di dalam sunannya – Kitab As-Sunnah : 4031 dan juga Imam Ahmad – Musnad Al-Ansar : 21, 088 )


1. Abu Bakar Siddiq ra.

Beliau adalah khalifah pertama sesudah wafatnya Rasulullah saw. Selain itu Abu bakar juga merupakan laki-laki pertama yang masuk Islam, pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga didalam Quran (Surah At-Taubah ayat ke-40) sebagaimana berikut : Jikalau tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seseorang dari dua orang (Rasulullah dan Abu Bakar) ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya:Janganlah berduka cita, sesungguhya Allah bersama kita.

Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Abu Bakar Siddiq meninggal dalam umur 63 tahun, dari beliau diriwayatkan 142 hadis.

2. Umar Bin Khatab ra.

Beliau adalah khalifah ke-dua sesudah Abu Bakar, dan termasuk salah seorang yang sangat dikasihi oleh Nabi Muhammad Saw semasa hidupnya. Sebelum memeluk Islam, Beliau merupakan musuh yang paling ditakuti oleh kaum Muslimin. Namun semenjak ia bersyahadat dihadapan Rasul (tahun keenam sesudah Muhammad diangkat sebagai Nabi Allah), ia menjadi salah satu benteng Islam yang mampu menyurutkan perlawanan kaum Quraish terhadap diri Nabi dan sahabat. Dijaman kekhalifaannya, Islam berkembang seluas-luasnya dari Timur hingga ke Barat, kerajaan Persia dan Romawi Timur dapat ditaklukkannya dalam waktu hanya satu tahun. Beliau meninggal dalam umur 64 tahun karena dibunuh, dikuburkan berdekatan dengan Abu Bakar dan Rasulullah dibekas rumah Aisyah yang sekarang terletak didalam masjid Nabawi di Madinah.

3. Usman Bin Affan ra.

Khalifah ketiga setelah wafatnya Umar, pada pemerintahannyalah seluruh tulisan-tulisan wahyu yang pernah dicatat oleh sahabat semasa Rasul hidup dikumpulkan, kemudian disusun menurut susunan yang telah ditetapkan oleh Rasulullah Saw sehingga menjadi sebuah kitab (suci) sebagaimana yang kita dapati sekarang. Beliau meninggal dalam umur 82 tahun (ada yang meriwayatkan 88 tahun) dan dikuburkan di Baqi.

4. Ali Bin Abi Thalib ra.

Merupakan khalifah keempat, beliau terkenal dengan siasat perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Selain Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib juga terkenal keberaniannya di dalam peperangan. Beliau sudah mengikuti Rasulullah sejak kecil dan hidup bersama Beliau sampai Rasul diangkat menjadi Nabi hingga wafatnya. Ali Bin Abi Thalib meninggal dalam umur 64 tahun dan dikuburkan di Koufah, Iraq sekarang.

5. Thalhah Bin Abdullah ra.

Masuk Islam dengan perantaraan Abu Bakar Siddiq ra, selalu aktif di setiap peperangan selain Perang Badar. Didalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Rasulullah saw sehingga terhindar dari mata pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau. Thalhah Bin Abdullah gugur dalam Perang Jamal dimasa pemerintahan Ali Bin Abi Thalib dalam usia 64 tahun, dan dimakamkan di Basrah.

6. Zubair Bin Awaam

Memeluk Islam juga karena Abu Bakar Siddiq ra, ikut berhijrah sebanyak dua kali ke Habasyah dan mengikuti semua peperangan. Beliau pun gugur dalam perang Jamal dan dikuburkan di Basrah pada umur 64 tahun.

7. Saad bin Abi Waqqas

Mengikuti Islam sejak umur 17 tahun dan mengikuti seluruh peperangan, pernah ditawan musuh lalu ditebus oleh Rasulullah dengan ke-2 ibu bapanya sendiri sewaktu perang Uhud. Meninggal dalam usia 70 (ada yang meriwayatkan 82 tahun) dan dikuburkan di Baqi.

8. Said Bin Zaid

Sudah Islam sejak kecilnya, mengikuti semua peperangan kecuali Perang Badar. Beliau bersama Thalhah Bin Abdullah pernah diperintahkan oleh rasul untuk memata-matai gerakan musuh (Quraish). Meninggal dalam usia 70 tahun dikuburkan di Baqi.

9. Abdurrahman Bin Auf

Memeluk Islam sejak kecilnya melalui Abu Bakar Siddiq dan mengikuti semua peperangan bersama Rasul. Turut berhijrah ke Habasyah sebanyak 2 kali. Meninggal pada umur 72 tahun (ada yang meriwayatkan 75 tahun), dimakamkan di baqi.

10. Abu Ubaidillah Bin Jarrah

Masuk Islam bersama Usman bin Mathuun, turut berhijrah ke Habasyah pada periode kedua dan mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah saw. Meninggal pada tahun 18 H di urdun (Syam) karena penyakit pes, dan dimakamkan di Urdun yang sampai saat ini masih sering diziarahi oleh kaum Muslimin.

Sumber- Halaqah-online.com