October 24, 2011

3 ciri2 Orang Soleh

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu golongan yang yang mendapat rahmat Allah SWT adalah golongan solihin iaitu orang mukmin yang sentiasa beramal soleh semata-mata kerana Allah SWT. Terdapat tiga ciri-ciri atau tanda-tanda seseorang itu layak menjadi orang soleh.

Sabda Nabi SAW kepada kepada Saidina Ali kwj : "Wahai Ali ! Tanda-tanda (ciri-ciri) orang soleh itu ada tiga :
Pertama : Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. melalui amal soleh.
Kedua : Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.
Ketiga : Selalu reda terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya."


Huraiannya :

Pertama : Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. melalui amal soleh.

Orang mukmin sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT. salah satu cara adalah dengan berzikir kepada Allah SWT . Zikir adalah merupakan amalan yang dapat dilakukan tanpa mengira masa, suasana, dan ketika tertentu kerana di dalam pengertian yang seluas-luasnya, zikir adalah merangkumi segala perbuatan yang menggambarkan ketaatan kepada Allah S.W.T dan dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya.

Mengikut Imam An-Nawawi, zikir merangkumi segala aspek gerak hati, sebutan dan amalan dan beliau menganggap semua majlis yang dianjurkan di atas dasar ketaatan kepada Allah adalah termasuk di dalam majlis zikir. Contohnya, majlis ilmu, majlis mengingati Allah dan Rasul-Nya dan majlis mengingati kisah perjuangan para salaf as-soleh. Said bin Jabir berkata, zikir itu ibadat yang menghampirkan seseorang itu kepada Allah SWT. Imam Hassan Al-Banna pula menyebut bahawa setiap urusan yang dilakukan di dalam rangka menghampirkan diri kepada Allah adalah zikir.

Membaca al-Quran adalah merupakan salah satu ibadat zikir yang utama. Setiap perkataan dan huruf yang disebut akan diberikan pahala.

Ibadat zikir mempunyai pelbagai fadhilat. Ia dapat dirasakan secara rasa dan perasaan lahiriah dan sebahagiannya pula hanya dapat dirasakan oleh perasaaan batiniah. Setiap orang dikurniakan fadilat yang berbeza-beza. Ia bergantung kepada tingkat keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT.

Semakin banyak kita berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan solat tahajjud maka akan terjalinlah hubungan yang rapat dengan Allah SWT.

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman:'Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni'.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memberi nasihat yang baik untuk mentaati Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya adalah juga satu cara untuk kita menghampirkan diri kepada Allah SWT .

Maksud Hadis Qudsi: Berkata Abu Umamah Al-Bahili r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah telah berfirman:"Sebaik-baik persembahan yang dapat diberikan hamba-Ku kepada-Ku ialah menyampaikan nasihat kerana Aku." (Hadis Riwayat: Ahmad, Hakim dan Abu Nu'aim)

Kedua : Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.

Orang mukmin sentiasa memperbaiki agamanya iaitu dengan menuntut ilmu dan mengikuti proses tarbiah. Dengan peningkatan ilmunya dia akan meningkatkan amalan-amalan solehnya dan menyampaikan dakwah kepada orang lain.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(Surah Fathir : 28)

Ilmu tidak akan bermanfaat apabila ilmu tersebut tidak diamalkan. Allah SWT. berfirman menegur orang-orang yang tidak mengerjakan apa yang ia katakan atau ajarkan,

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (Surah Ash Shof : 2-3)
Dan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Usamah bin Zaid r.a ia berkata,

“يؤتى بالرجل يوم القيامة فيلقى فى النار فتنتدلق اقتاب بطنه فيدور بها كما يدور الحمار فى الرحى، فيجتمع إليه أهل النار، فيقولون: يافلان، مالك؟ ألم تكن تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر؟ فيقول بلى، كنت أمر بالمعروف ولا آتيه وأنهى عن المنكر وأتيه”

“Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya, “Di hari kiamat didatangkan seseorang lalu dicampakkan ke dalam Neraka maka terburailah usus-ususnya, dia berputar-putar dengan ususnya seperti seekor keledai berputar-putar pada ikatannya. Maka penghuni Neraka mengerumuninya, mereka berkata, ‘Hai fulan, ada apa denganmu? Bukankah dulu engkau mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?’ ia menjawab, ‘Benar, aku mengajak kepada kebaikan tetapi aku tidak mengerjakan dan aku melarang dari kemungkaran tetapi aku melakukannya”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kita sampaikan ilmu kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Ketiga : Selalu reda terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya.

Sifat reda, bersyukur dan qanaah dengan apa yang ada , adalah salah satu sifat orang soleh yang mukmin.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Qanaah ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal solih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meningkatkan amal soleh kita, banyakkan berzikir dan beribadah. Sesungguhnya Allah SWT menyediakan syurga seluas langit dan bumi adalah untuk orang-orang mukmin yang sentiasa beramal soleh ketika di dunia ini.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Sungguh orang yang beriman dan beramal soleh untuk mereka disediakan Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal” (Surah al-Kahfi ayat 107)


October 18, 2011

Ganjaran bagi orang yang menghafal Al-Quran


Bagi penghafaz al-Quran (Hamlatul Quran), atau secara umumnya masyarakat lebih mengenali penghafaz al-Quran dengan gelaran “al-Hafiz”, akan mendapat 2 ganjaran :

  • Ganjaran di dunia.
  • Ganjaran di akhirat.

Ganjaran di dunia

Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang dijanjikan dalam Hadis Nabi S.A.W terhadap golonganHamlatul Quran, terdapat juga ganjaran di dunia yang diberikan terhadap mereka. Rakan sayaUstaz Asraff menyatakan bahawa :

  • Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)

  • Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.

“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

  • Al-Quran menjanjikan kebaikan.

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

  • Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

  • Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

Oleh itu tidak hairanlah ramai ibu bapa berlumba-lumba mengimpikan anak-anaknya menjadi penghafaz al-Quran. Marilah kita berdoa agar dalam keluarga kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang penghafaz al-Quran.

Pelihara Amanah Al-Quran


Diriwayatkan daripada Abu Umamah ra, katanya:

Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
Bacalah Al-Qur’an kerana dia akan datang pada hari Kiamat sebagai juru syafaat bagi pembacanya.

Jadi berapa lamakah masa yang kita ambil untuk khatam atau hafaz 30 juzuk Al-Quran? Cuba lihat jadual dibawah…

Hurmm~ Itulah dia… Kalau kita terlampau sibuk sekali pun, sekurang-kurangnya kalau kita baca 1 ayat Al-Quran setiap hari, maka dalam 17 tahun akan datang, Insya’Allah kita akan khatam juga. Tapi kalau ya pun, takkan lah nak baca 1 ayat jer, ye tak? Paling kurang pun kalau kita baca 1 atau 2 mukasurat setiap hari dengan istiqomah, sekurang-kurangnya dalam masa setahun, kita sudah pun boleh khatam Al-Quran…

Tidak mengapalah kalau kita Baca Al-Quran Tapi Tak Faham Apa Pun, kerana membaca Al-Quran itu saja pun, sudah boleh Di Jadikan Penenang Jiwa… Tapi kalau faham, lagi bagus!

Dibawah ini saya sediakan juga tips-tips yang boleh kita ikuti untuk Menghafaz Al-Quran. Semoga ianya boleh dijadikan panduan kepada diri saya, dan kepada sesiapa saja yang bercadang untuk cuba Menghafaz Al-Quran…

TIPS MENGHAFAL QURAN

  • Mestilah dimulakan niat untuk menghafaz ayat-ayat al Quran itu kerana Allah.
  • Menggunakan naskhah al Quran yang sama setiap kali membaca, menghafaz, dan membuat rujukan (semakan bacaan). ini bertujuan mengelakkan kekeliruan tempat (kedudukan) ayat yang dihafaz. temoat ayat atau posisi memainkan peranan penting dan amat berpengaruh dalam memberi kesan kepada hafazan anda.
  • Gunakan naskhah al Quran mushaf Uthmani kerana kedudukan, sruktur, dan susunan ayat nya di atur dalam bentuk yang mudah untuk dihafaz, dirujuk, dan di ingati.
  • Ayat atau surah yang hendak di hafal hendaklah di lancarkan bacaanya terlebih dahulu. pastikan tajwidnya dengan betul. sebagai contoh hendak hafal surah ali-imran. mulakan dari muka surat yang pertama surah tersebut. lancarkan muka surat yang pertama itu dahulu.
  • Bacaan hendaklah diulang-ulang sehingga betul-betul lancar. pastikan tidak mula menghafaz ayat sebelum bacaan betul-betul lancar kerana ini akan menjadikan anda mudah lupa semula ayat tersebut dan mungkin juga mengakibatkan hafalan anada bercelaru.
  • Mulakan hafalan dari ayat ke ayat. pastikan hafazan mengikut langkah. hafaz dahulu ayat yang pertama sehingga hafaz (baca ayat pertama berulang-ulang kali sebagai satu cara menghafaz yang baik), barulah berpindah ke ayat yang kedua. kemudian hafaz ayat ke kedua , ulang balik dari ayat yang pertama. kemudian baru masuk ayat yang seterusnya.
  • Pastikan ada kawan atau ustaz yang dipercayai ilmu tajwidnya dan baik bacaannya untuk anda tasmi’ (memperdengarkan atau semak) bacaan dan hafazan anda.
  • Amalkan membaca ayat-ayat yang telah anda hafaz dalam solat-solat yang anda lakukan. banyakkan solat sunat sebagai satu cara yang baik bagi melatih bacaan ayat-ayat yang telah dihafaz. ini bertujuan membiasakan ayat-ayat yang telah di hafaz ke dalam amalan harian anda.
  • Amalkan membaca ayat-ayat Quran yang telah anda hafaz di mana-mana sahaja sebagai zikir atau nyanyian hati atau mulut. contohnya, ketika menunggang motorsikal, ketika termenung, ketika hendak tidur, dan lain-lain yang di fikirkan baik. hal ini akan menambahkan lagi keupayaan anda untuk anda mengingati ayat-ayat hafazan tersebut.
  • Amalkan memakan manisan seperti kurma atau madu bagi tujuan menguatkan daya ingatan.
  • Jauhi amalan maksiat. jaga bicara lidah, jaga kewajipan dan adab sebagai muslim.
  • Tanamkan semangat yang kuat untuk menghafaz bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. cuba hafaz sebanyak mungkin. InsyaALLAH sehingga hafiz. walaupun memakan masa yang lama.
  • Banyakkan memohon doa kepada ALLAH supaya di permudahkan hati dan minda untuk menerima al Quran.
  • Pilih waktu yang sesuai untuk menghafaz. sebagai contoh, waktu selepas solat fardhu. utamakn SEBELUM WAKTU SUBUH atau SELEPAS SUBUH kerana waktu ini tenang dan damai. pastikan waktu yang anda gunakan untuk menghafaz adalah istiqamah.
  • Tidak perlu menghafaz secara terburu-buru. biar sedikit-sedikit, asalkan istiqamah dan berkesan.

Tips Hafaz Al-Quran dirujuk dari;
ILuvIslam

October 16, 2011

Fahami apa itu ikhtilat

Ikhtilat

Realiti hari ini menyaksikan manusia lelaki dan wanita telah cuai daripada pegangan agamanya sebagaimana tersasarnya anak panah dari busarnya. Sifat, sikap, adab dan disiplin pergaulan jauh sekali daripada ajaran Islam. Dalam fenomena seperti ini perkataan ikhtilat “pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi” tentu sekali menjadi persoalan yang mengancam kesejahteraan masyarakat dan keutuhan agama.

Oleh kerana itu ulama-ulama Islam satu masa dahulu secara tegas merrghukumkan masalah ikhtilat di sekolah, di pasar dan di mana-mana tempat adalah haram. Wanita lslam pula dididik agar mengutamakan rumah daripada pekerjaan. Oleh kerana itu isu wanita bekerja dan apatah lagi berpolitik adalah satu isu yang ditegah pada satu masa dahulu. Sejajar dengan Firman Allah yang bermaksud; Dan tetaplah di rumah-rumah kamu.

Apakah ikhtilat itu haram?

Fiqh semasa pada kali ini akan menghuraikan hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam berbagai sempena dari segi dalil, skop perbincangan dan batas-batas pergaulan. Contohnya wanita di tempat kerja, di pasar, di pentas dan bergelut di bidang politik. Adakah ia harus melakukan kerja-kerja yang seperti itu padahal dia terpaksa bergaul, bercakap dan bersemuka dengan bukan muhram dan bukan kaum sejenis mereka. Fenomena seperti ini diistilahkan oleh ulama kini sebagai: “ikhtilat”. Oleh itu untuk menghurai persoalan ini kita perlu terlebih dahulu menghurai perkataan iktilat dari segi bahasa dan syariat.

Bahasa

Dari segi bahasa, ikhtilat bererti: meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya.

Istilah Syariat

Yang dimaksudkan dalam perbahasan ini ialah: Percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian. Percampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandangan dan bertegur sapa. Apa hukum ikhtilat dalam konteks yang seperti?

Ikhtilat seperti yang dijelaskan pada asalnya adakah haram atau halal? Untuk mengetahui jawapan, kita utarakan pertanyaan berikut: Adakah wanita sepenuhnya seperti lelaki dalam bercampur dengan lelaki ajnabi? Yakni adakah percampuran mereka dengan lelaki sama dengan percampuran lelaki dengan lelaki, tanpa ada perbezaan?

Jawapannya ialah; Tidak, secara pastinya tidak. Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa pergaulan wanita dengan lelaki sama dengan pergaulan lelaki dengan lelaki. Kerana asasnya pergaulan lelaki sesama lelaki adalah harus, tetapi pergaulan lelaki dengan wanita tidak begitu. Maka kalau itu asasnya, pergaulan lelaki dan wanita adalah haram, bukan harus.

Percampuran yang diharamkan

Setelah kita mengetahui asal hukum pergaulan antara leiaki dan perempuan adalah haram, maka la adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya `al-mufassat fi al-mar'ah’ yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan tersebut seperti di bawah:

Pertama: Harus kerana terpaksa (dhorurah) Ikhtilat yang berlaku kerana tekpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya: Berkata ahli mazhab Syafei: Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini kedaaan-keadaan dhorurat, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu wajib tanpa khilaf. Antara contoh dhorurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu-satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.

Kedua:Harus kerana keperluan(hajat) Ulama berkata, hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.

  1. Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.
  2. Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
  3. Ikhtilat kerana menjadi saksi. Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
  4. Ikhtilat kerana amar ma’ruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya ‘al-Muhalla’ bahawa Umar al-Khattab (r.a) telah melantik al-Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
  5. Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'i seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah (SAW) dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda (SAW).
  6. Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'i. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama baginda. Ini bererti bahawa orang ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.
  7. Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syarei.
  8. Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya: Kami bersama Nabi SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.
  9. Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayat­kan bahawa Rasulullah (s.a.w.) keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.
  10. Ikhtilat dalarn suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalam kitab Muwatta persoalan: Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan mahramnya? Berkata Malik: Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebaginya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.

Pengecualian Bagi Hukum Asal

Unsur Darurat

pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan itu daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram.

Apabila Wujud Keperluan atau Hajat

Muamalat Maliyyah (urusan harta)

Perempuan dibenarkan bergaul dengan lelaki dalam urusan yang melibatkan harta seperti jual beli atau lain-lain transaksi. Ini adalah kerana urusan sebegini memerlukan interaksi antara dua pihak sebelum berlaku aqad.

Penyaksian (urusan mahkamah)

Penyaksian wanita diterima syara. Di dalam kes-kes tertentu seperti dalam kes harta dan berkaitan.

Urusan kerja

Wanita diharuskan keluar rumah untuk bekerja dengan izin suami atau penjaganya. Urusan kerja kebiasaannya melibatkan pergaulan wanita dengan lelaki. Tambahan pula bilangan tempat kerja yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan secara total amat terhad.

Melayani tetamu

Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.

Keperluan lain yang tidak bertentangan dengan syariat

Oleh itu pergaulan yang berlaku contohnya dalam kenderaan awam dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada syarat perempuan itu keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak syarie seperti untuk berpoya-poya. Ia mestilah bertujuan syarie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya. Begitu juga keadaannya jika seseorang wanita perlu ke tempat-tempat awam seperti stesen bas, keretapi, pasaraya dan sebagainya.

Pergaulan menurut kebiasaan adat dalam majlis-majlis

Pergaulan antara lelaki dan perempuan di dalam majlis-majlis keramaian yang tidak bertentangan dnegan syarak seperti kenduri kendara atau majlis-majlis keraian, ziarah keluarga atau jiran serta sahabat, melayan tetamu dan sebagainya dibolehkan.

Pergaulan semasa belajar

Umum mengetahui bahawa situasi keadaan di Malaysia di mana semua rakyatnya berhak untuk mendapatkan pendidikan. Walaubagaimanapun, mungkin timbul dalam usaha menuntut ilmu ini, persoalan tentang pergaulan yang mungkin wujud semasa proses pembelajaran tersebut. Sebagai pelajar sudah tentu akan wujud bentuk komunikasi antara rakan sekelas seperti bertanya soalan, study group dan tugasan secara berkumpulan dan sebagainya. Semua ini jelas menunjukkan betapa pergaulan tidak dapat dielakkan semasa proses pembelajaran.

Adab-Adab Ikhtilat dalam Islam

> Tidak bersentuhan antara perempuan dan lelaki ajnabi.

> Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat.

> Memelihara aurat dan kehormatan. Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tangan.

> Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang mendorong kepada melakukan maksiat.

> Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap.

October 7, 2011

Pendidikan Politik

Assalamualaikum wrbth,

Untuk mengurus pendidikan politik ini , perlunya melalui proses dan tahap tertentu. Proses pertama adalah Proses Perencanaan (Planning). Dalam proses ini, saya melihat pendidikan kefahaman tentang Islam dan massa itu sendiri patut digerakkan. Jangan bermimpi perjuangan kita, mahasiswa akan disambut oleh mahasiswa lain kecuali mereka faham dengan idealism kita. Jika golongan jahil(tidak faham) mengikuti kita sekalipun, ia hanya berteraskan lantunan perasaan semata-mata dan suatu hari tentu dibelenggu oleh pelbagai penyakit perjuangan.


Proses kedua adalah Pembentukan Organisasi (Organizing) Dalam fasa ini, pemilihan ketua dan jentera sesuai dengan kemahiran/leperluan organisasi sangat penting. Elakkan memilih mereka yang mempunyai sifat-sifat munafik (hipokrit) kerana mereka inilah akan menjadi liability organisasi kita kelak.

Proses ketiga adalah Proses Pergerakkan (auctioning) iaitu mengguruskan dan memotivasi aktivis bawahan agar melaksanakan persiapan satu-satu aksi sebaik mungkin dan satu-satu aksi tersebut patut dibedah (post moterm) selepas aksi tersebut selesai..

Proses keempat, Proses Mengawasi (controlling). Dalam proses ini, satu-satu aksi disaring sesuai dengan satu-satu suasana dan massa.

Tahap-tahap ini juga dapat di fahami seperti mana yang terdapat dalam kertas kerja oleh Mantan Ketua Pengarah Siasah PMIUM merangkap YDP MPMUM sesi akademik 2001/2002 sebelum ini, Sdr. Muhd Hisommuddin Bakar pernah menulis suatu kertas kerja l Strategi Mobilisasi Massa dan Mobilisasi Masyarakat: Saranan Kepada Gerakan Mahasiswa Nasional. Penulis telah menyusun modus operandi Mobilisasi Massa secara tertib dan berperingkat. Berikut adalah tertib-tertib dan peringkat-peringkat tersebut:-

Fasa Awal 1: Pemilihan Isu, Pembahagian Isu, Penyusunan Perancangan Strategik

1. Menetapkan isu yang hendak dikaji dan diperjuangkan.

2. Membuat kajian mendalam terhadap potensi isu yang hendak dipilih.

3. Membuat penyelidikan asas, review literatur berhubung isu berkenaan.

4. Membuat pembahagian isu iaitu membahagikan kepada isu utama dan isu sampingan;

5. Dan menyusun kerangka pelan tindakan strategik isu yang hendak dibawa.

6. Menubuhkan panel penasihat atau perunding isu. [iaitu (i) Panel Undang-undang; (ii) Panel Penasihat Politik;( iii) Panel Memantau Isu; (iv) Panel Tindakan Khas; (v) Panel teknikal dan kewangan; dll]

7. Penubuhan unit media dan rakaman.

Fasa Awal 2: Memperkenalkan Isu

8. Menulis makalah yang berorientasikan akademik dalam media cetak dan portal laman elektronik (web site).

9. Meminta pandangan ahli akademik dan pihak yang mempunyai maklumat berkaitan isu.

10. Membuat tinjauan/kajian lapangan untuk mendapatkan respon/ pandangan awal masyarakat.

Fasa Pertengahan 1: Menyatakan Pendirian

11. Menulis surat memohon penjelasan kepada pihak berwajib.

12. Mengadakan dialog dengan pihak berwajib untuk memohon/memberikan penjelasan berhubung isu.

13. Mengadakan sidang media menyatakan pendirian mahasiswa.

14. Mengeluar dan mengedarkan kenyataan akhbar kepada media tempatan dan antarabangsa.

15. Menulis rencana khas di dalam majalah dan akhbar.

16. Menulis surat bantahan rasmi.

Fasa Pertengahan 2: Pengembangan Isu.

17. Menganjurkan bengkel, kolokium, simposium, forum dan seminar khas.

18. Melaksanakan siri ceramah/syarahan penerangan dan roadshow

19. Melancarkan kempen.

20. Mengadakan pameran khas

21. Mencetak poster khas dan sepanduk propaganda terhadap isu.

22. Mengedarkan surat pekeliling meminta sokongan dari orang awam, NGO, dan individu berpengaruh.

23. Menubuhkan badan bertindak di kalangan komuniti terlibat untuk menyelesaikan isu

Fasa Akhir 1: Penegasan Tindakan

24. Penyediaan memorandum

25. Merangka model penyelesaian mahasiswa

26. Penyediaan referendum

27. Menyediakan soalan atau pendirian kepada pihak ADUN dan Ahli Parlimen.

28. Melancarkan boikot

29. Mengadakan piket, demontrasi aman, dan mogok

30. Mendapatkan pandangan dan pendirian melalui bidang undang-undang

31. Membuat laporan kepada pihak berkuasa

32. Mengambil tindakan undang-undang

Fasa Akhir 2: Penilaian Akhir

33. Menyediakan kronologi peristiwa.

34. Menghasilkan Dossier (laporan lengkap isu) untuk diedarkan kepada masyarakat awam

35. Laporan lengkap diserahkan kepada pihak yang berkenaan seperti kementerian, agensi dan pihak pentadbiran universiti.

Kesimpulanya Pendidikan politik gerakan mahasiswa adalah bertujuan untuk membentuk keperibadian, menumbuhkan kesedaran, dan memberikan partisipasi politik . Ianya perlu melaui proses dan tindakan yang tersusun dan kemas sehingga segala apa yang ingin diperjuangkan difahami oleh semua sasaran. Dalam masa yang sama Universiti perlu menjadi “kilang” mencetak semula generasi kepimpinan yang bersifat global bagi menghadapi cabaran yang lebih terbuka ,mencabar dan berdaya saing.

Sekadar Pandangan...

SUMBER