Tarbiyah Fasa Jahriyah-Jamahiriyah (جهرية جماهيرية) : Pertingkat Kualiti, Perbanyak Kuantiti!


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Maha Penyayang.  Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan dan seluruha keluarga dan sahabatnya.
Selagi mana ikhtiar da’awi yang kita lakukan berjalan selaras dengan sunnah syar’iyyah dan sunnah kauniyah, hal-hal yang berat pada pandangan sesetengah manusia akan menjadi ringan kerana pertolongan Allah SWT. Pertumbuhan dan pengembangan kualiti mestilah mendahului kuantiti. (نمو النوعية مقدم على نمو الكمية )   Bilamana kualiti kader baik, maka mudah untuk menarik banyak kuantiti.
Harakah Nukhbawiyah  (نخبوية)
Perlu difahami bahawa da’wah kita adalah harakah nukhbawiyah. Ertinya da’wah yang menempatkan amilin atau kader terpilih sebagai aset utama gerakan dan sebagai mata tombak yang mendepani seluruh aktiviti da’wah. Ketika da’wah sepatutnya mampu menjangkau dan menggerakkan seluruh lapisan masyarakat, maka pembesaran jumlah kader sebagai anasir da’wah menjadi suatu yang amat diperlukan. Dan ketika mana risalah da’wah mampu menghasilkan perubahan-perubahan besar di berbagai aspek kehidupan, maka peningkatan kualiti kader menjadi suatu kemestian. Kesepaduan antara aspek kuantiti dan kualiti inilah yang digambarkan Allah SWTdalam ayat 146 Surah Ali Imran, maksudnya:
“Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa (  ربانيين rabbaniyyin). Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka dijalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh.  Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (Ali Imran: 146).
Keperluan Kualiti dan Akibat Mengabaikannya
Kualiti kader dalam kehidupan da’wah hendaklah sentiasa berkembang mengikut keperluan marhaliyah dan (محور)  mihwar atau orbit da’wah. Semakin meningkat marhalah dan semakin meluas mihwar da’wah, maka kualiti kader juga dituntut supaya semakin dinamis. Bila yang terjadi adalah sebaliknya, maka akan muncul bencana  (آفات)bagi da’wah. Antara bencana itu:
Pertama, akan muncul kader-kader yang tidak mampu istiqamah didalam mengikuti rentak perjalanan da’wah yang terus berkembang. Ia akan disibuk oleh masalah-masalah peribadi dan tersisih dari aktiviti da’wah. Ingatlah, ayat yang membuat rambut nabi Muhammad SAW beruban adalah: “Maka istiqamahlah kamu (pada jalan yang benar), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat bersama kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. ” Maksud Al-Quran :Hud:112).  Kesabaran untuk meraih janji-janji Allah adalah kunci rahsianya. “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya dipagi  dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”Maksud Al-Quran :Al-Kahfi:28).
Kedua, munculnya sebahagian kader yang inginkan kehidupan da’wah sebagai sesuatu yang ringan dan menyenangkan secara duniawi. Mereka menjadi enggan bila perjalanan da’wah ini kelihatan begitu panjang dan memerlukan pengorbanan yang banyak. Mereka lebih cenderung menjadi orang yang “hidup dari da’wah” dan bukan “menghidupkan da’wah”. Perhatikan peringatan Allah SWT yang bermaksud: “Kalau apa yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu. Tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami mampu, tentulah kami berangkat keluar bersamamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka sesungguhnya orang yang berdusta.”maksud Al-Quran: At-Taubah:42).
Ketiga, munculnya ketidak mampuan didalam menjalankan risalah da’wah ditengah-tengah masyarakat. Ini kerana adanya kelonglaian pada kader seperti ini, tidak seimbang dengan keperluan dan tuntutan da’wah yang semakin terbuka. Allah SWT mengarahkan Rasulullah SAW untuk menyiapkan diri sedemikian rupa agar mampu mengembang risalah da’wah yang besar dan berat. “Hai orang yang berselimut. Bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah, Dan pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa tinggalkanlah. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah.”  Maksud Al-Quran : Al-Muddaththir: 1-7).
Keempat, akibat dari ketiga hal ini, da’wah menjadi sibuk oleh masalah dalaman yang memakan habis tenaga atau energi da’wah, sehingga tidak mampu lagi menjalankan risalah perubahan secara efektif. Padahal risalah utama da’wah sebenarnya adalah melakukan perubahan dan islah (إصلاح) secara nyata. “...Dan aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkemampuan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nyalah aku kembali.” Maksud Al-Quran: Hud:88).
Kelima, akibat ketidak mampuan ini, timbul jurang pemisah antara harapan besar masyarakat dengan apa yang boleh diberikan oleh da’wah. Maka terjadilah krisis keboleh-percayaan (kredibiliti) dan krisis kesahan (legitimasi). Krisis ini boleh jadi akan diserabuti oleh sejumlah kes-kes negatif yang muncul dipermukaan dawah. Perhatikan peringatan Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.” Maksud Al-Quran:As-Saf:2-3).
Akhirnya, pada saat semacam inilah, akan muncul fikiran/idea dikalangan sebahagian kader yang lemah, untuk menarik da’wah ke belakang/gostan. Mereka merasa lebih selesa ketika da’wah ini belum berhadapan langsung dengan masyarakat secara terbuka. Cukuplah pengajaran dari kisah perang Uhud berikut ini:
“Bergembiralah orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut berperang) itu, dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Dan mereka berkata:“Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini”. Katakanlah: “Api neraka Jahannam itu lebih dahsyat panasnya”, jikalau mereka mengetahui.”Maksud Al-Quran:At-Taubah: 81).
Inilah bencana yang boleh terjadi pada da’wah andainya aspek kualiti diabaikan.
Perluasan Da’wah Memberi Kesan Kepada Penurunan Kualiti?
Bilamana tuntutan da’wah mengarahkan kerja kita pada perluasan wilayah da’wah dengan peningkatan latihan kader, mungkin ada disetengah kalangan berpandangan bahawa kualiti kader-kader baru tentu akan menurun. Secara zahir,  mungkin penilaian itu benar. Tetapi jika dihalusi, kita boleh menguji kembali keabsahan penilaian itu. Ada beberapa prinsip yang mesti difahami.
Pertama, perluasan da’wah bererti memperluas wilayah interaksi da’wah, meliputi berbagai unsur dan lapisan masyarakat yang sangat kompleks. Ketakseragaman sosio-demografi, tentu akan mengakibatkan kepelbagaian standard kualiti penerimaan da’wah. Dalam sunnah da’wah, as-sabiqunal awwalun  (السابقون الأولون) selalunya memiliki standard kualiti lebih tinggi dari generasi berikutnya. Sehingga usaha tajdid (pembaharuan) perlu dilakukan keatas kualiti generasi berikutnya.
“Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah). Berada dalam syurga keni’matan. Segolongan besar dari orang-orang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang kemudian.”Maksud Al-Quran:Al-Waqi’ah:11-14).
Generasi awal da’wah ini direkrut dari unsur pemuda terdidik yang memiliki persiapan optima untuk menjadi anasir da’wah yang produktif (منتج  - muntij). “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri, lalu mereka berkata: “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”Maksud Al-Quran:Al-Kahfi13-14).
Hari ini, perluasan da’wah telah menghasilkan rekrut dari pelbagai segmen dengan kepelbagaian tahap penerimaan Islam dan tingkat interaksi da’wahnya. Dan tidak mustahil di antara mereka ada orang-orang seperti yang digambarkan dalam ayat:
“Orang-orang Arab Badwi itu berkata:“Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah “Kami telah Islam/tunduk”. Kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (pahala) amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”Maksud Al-QuranS. Al-Hujurat:14).
Kedua, perluasan wilayah da’wah juga menuntut pengembangan pada uslub, wasilah (sarana) dan mekanisma (-إجراآتijra’at) perkaderan dan pembinaan. Di zaman generasi awal da’wah, wujud keperluan mempercepatkan proses pembinaan ke arah takwin. Sehingga dalam waktu agak singkat, komitmen Islam dan komitmen da’wah yang kuat telah berlaku, lalu dimatangkan pula dengan interaksi da’wah secara langsung. “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.”Maksud Al-Quran:Ali-Imran:104).
Ketika berlaku perluasan da’wah, proses pengklasan(تصنيف)  dan saringan (غربلة) da’wah akan mengambil masa  lebih panjang. Ini penting, untuk mengukur tahap kesediaan penerimaan da’wah agar kita tidak meletakkan beban melampaui kadar kemampuan sasaran da’wah. Uslub, sarana dan mekanisme rekrutmen serta pembinaan pun dikembangkan sedemikian rupa, supaya dapat mencakup dan mengurus sasaran da’wah secara lebih baik. “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan.”Maksud Al-Quran:Al-Maidah:35).
Ketiga, da’wah Islam sesungguhnya amat memerlukan ramai anasir dengan berbagai keadaan dan kemampuannya. Di antara mereka ada yang dijadikan  (قاعدة) qaidah siyasiyah(pelapis kepemimpinan), qaidah fikriyah (pelapis pemikiran), qaidah harakiyah (pelapis gerakan) dan juga qaidah ijtima’iyah (pelapis kemasyarakatan). Bahkan dalam sunnah da’wah, qaidah ijtima’iyah mesti jauh lebih besar dari qaidah-qaidah da’wah lainnya. Perbezaan setiap qaidah semestinya berasaskan kepada perbezaan standard kualiti yang dimiliki. Sehingga yang diperlukan dalam melihat kepelbagaian standard kualiti ialah pada siasah/maslahah untuk menempat dan memanfaatkan anasir tersebut dalam bangunan amal jama’i da’wah. Perhatikan firman Allah SWT: “Katakanlah: Hai kaumku, bekerjalah kamu sesuai dengan keadaanmu. Sesungguhnya aku akan bekerja (pula), maka kelak kamu akan mengetahui...” Maksud Al-Quran:Az-Zumar:39)
Terakhir, Allah SWT telah meletakkan kriteria ‘am ( معيار عام-standard/piawaian umum) dalam menilai keimanan dan kesolehan seseorang. Ini disebut dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an. Agar bingkai besar kita dalam menilai dan menimbang kualiti kader adalah pada timbangan Islam itu sendiri. Tidak lebih dan tidak kurang. Firman Allah SWT: “Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan). Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kami mengurangi neraca itu.”Maksud Al-Quran:Ar-Rahman:7-9). Jadi selama aspek-aspek kualiti kader da’wah tidak keluar dari bingkai umum ajaran Islam, maka mereka adalah kader yang berkualiti.
Tiga Agenda Tarbiyah “Banyak dalam Kuantiti, Baik dalam kualiti”.
Ungkapan ini adalah hasrat dan keinginan semua orang dalam da’wah ini. Ini bukan khayalan yang retorik. Allah SWT memberikan isyarat kemungkinannya berlaku dalam Surah Ali-Imran:146-148, yang ertinya: “Dan berapa banyak para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada do’a mereka selain ucapan: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami, dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Ada tiga kandungan penting dari ayat ini.
  • Pertama, kenyataan bahawa para nabi memerlukan pengikut dalam jumlah besar sebagai barisan mujahid fi sabilillah.
  • Kedua, mereka itu (rabbaniyyin) memiliki kualiti yang handal dalam medan perjuangan.(عدم الوهن)  ‘Adamu al-wahn (tidak mudah lemah) dalam menghadapi ujian dunia,(عدم الضعف) ‘Adamu adh-dha’f (tidak mudah lesu) dalam menghadapi kesulitan perjuangan dan (عدم الاستكانة)‘Adamu al-Istikanah (tidak mudah menyerah) kepada musuh-musuh Allah.
  • Ketiga, mereka adalah orang-orang yang menyedari kelemahan dan kesalahan dirinya. Mengambil sikap sentiasa memohon ampun dan bertaubat dari kesalahan dan kekeliruan, serta menggantungkan diri semata-mata kepada Allah SWT dalam menghadapi musuh.Tiga kandungan inilah yang menggambarkan agenda tarbiyah sekarang ini. Iaitu usaha-kerja bersistem dalam merekrut dan mencetak kader sebanyak-banyaknya. Kedua, mentarbiyah mereka secara bermanhaj agar memiliki kualiti yang mantap. Ketiga, membangun sistem dan iklim da’wah yang baik. Iaitu yang mampu menghidupkan semangat --      قوة الصلة بالله)  - quwwatu ash-shilah bil-lah) kekuatan hubungan dengan Allah, semangat مراقبة الله ومحاسبة النفس) - muraqabatullah wa muhasabatun-nafs), semangat  التعاون والتناصر)  - atta’awun watanasur( serta iklim احسان العمل)ihsanul-‘amal) )melakukan kerja dengan cemerlang .

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran