PERSIAPAN NUQABA’ CEMERLANG


MUQADDIMAH
Sesebuah Harakah Islamiyah perlu didukungi oleh para da’ie yang berkemampuan dan sentiasa bersedia dalam melakukan usaha-usaha ta’rif (dakwah), takwin (tarbiyah), tanfiz (pelaksanaan tugas) dan tamkin (pengukuhan). 

Dalam menjalankan kegiatan dakwah, setiap da’i hendaklah memiliki beberapa persiapan yang perlu untuk memastikan mereka akan terus istiqamah di atas jalan perjuangan ini. 

Di antara persiapan-persiapan yang perlu diberikan perhatian ialah:

PERSIAPAN ILMU
 
Senjata pertama yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah persiapan ilmu.
Secara keseluruhannya, setiap da’ie perlu memahami persoalan aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh serta persoalan dakwah dan jihad yang mencakupi proses pembentukan jamaah, pelaksanaan dakwah, proses mengambil alih kuasa pemerintahan, penggubalan perlembagaan, pelaksanaan sistem pendidikan, sosialisasi masyarakat, penguatkuasaan undang-undang dan konsep hubungan antarabangsa Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran, al-Sunnah dan sejarah Islam. 

Sekurang-kurangnya setiap da’ie berkewajipan mengetahui ajaran dan sistem hidup Islam secara umum, pendekatan dakwah yang sesuai digunakan dalam menghadapi masyarakat, perkembangan politik semasa. 

Sebagai para pendokong jamaah Islam, setiap da’ie hendaklah memahami penubuhan, perlembagaan, pengurusan dan pentadbiran Jamah yang diperjuangkannya. 

Demi kebebasan dakwah, setiap da’ie perlu mengetahui ilmu dan selok-belok dakwah seperti uslub dakwah, sasaran dakwah, kandungan dakwah, strategi dakwah, perancangan dakwah dan pengurusan dakwah. 

Sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu di atas, seseorang da’ie juga perlu menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti bahasa Arab, ilmu Usuluddin, Usul al-Fiqh, ilmu Maqasid al-Syariah, Fiqh al-Awlawiyat, al-Siyasah al-Syar’iyyah serta sejarah pemerintahan dan pembinaan hukum Islam. 

Kemantapan ilmu akan menjadikan para da’ie lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran yang jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran Islam dan hukum-hukum Islam yang bersifat ilmiah dan semasa seperti tahaluf siyasi, konsep negara Islam, kedudukan non-muslim di dalam negara Islam, hubungan antarabangsa Islam dan lain-lain. 



PERSIAPAN MENTALITI
 
Antara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah sifat bijaksana (fatanah) iaitu mempunyai daya berfikir yang tinggi dalam mengembangkan fikrah dakwah, membahagikan tugasan, menyelesaikan masalah,mengenalpasti kelemahan, mencari sasaran, membuat keputusan dan mengambil peluang daripada sesuatu kesempatan yang berkaitan dengan kepentingan dakwah Islam yang diperjuangkannya. 

Seseorang da’ie yang telah memiliki persiapan ilmu yang memadai, mempunyai banyak pengalaman daripada usaha-usaha dakwahnya, bijaksana dalam memupuk daya kepimpinannya secara langsung akan memiliki mentaliti yang tinggi dalam mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman, taktik dan strategi yang berkesan dalam memimpim gerakan dakwah Islamiyyah ke arah mencapai visi, misi dan objektif yang telah ditetapkan.

PERSIAPAN JASMANI
 
Setiap da’ie berkewajipan menjaga kesihatan jasmani dengan cara mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. 

Lantaran itu, setiap da’ie berkewajipan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada dirinya seperti serap meminum minuman yang manis, makan banyak dan merokok. 

Setiap da’ie juga berkewajipan mempertingkatkan kekuatan dan ketangkasan anggota jasmaninya melalui latihan-latihan yang tertentu seperti bersenam, berenang, menembak dan mendaki gunung.

PERSIAPAN ROHANI, AKHLAK DAN DAYA KEPIMPINAN
 
Di antara persiapan rohani yang perlu dimiliki oleh para da’ie ialah meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat, mempertingkatkan kesucian jiwa dengan sifat wara’ dan amalan ketaatan, sabar dalam menanggung ujian dakwah serta merindui keampunan dan keredhaan Allah. 

Manakala akhlak pula perlu dipersiapkan dengan cara membersihkannya daripada sifat marah dan keras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan adab-adab yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasulullah s.a.w. 

Berhubung dengan persiapan daya kepimpinan pula, setiap da’ie mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman dan daya kepimpinan orang lain. 

Seseorang da’ie yang memiliki persediaan di atas adalah diharapkan lebih berjaya dalam mempengaruhi masyarakat berbilang kaum dan seterusya mencapai matlamat dakwah dan politik.


KESIMPULAN

Selaras dengan visi jemaah untuk melahirkan ahli yang ramai dan berkualiti,kitalah yang berperanan untuk merealisasikan.Diibaratkan seangkatan tentera yang menuju ke medan pertempuran,tetapi tidak ada atau kurang persediaan dari segi kesedaran,semangat,strategi, modus operandi dan kemahiran, pastinya mereka akan kecundang di tangan lawan. Oleh itu,kita yang sedang melangkah ke kancah dakwah,tidak boleh tidak,mempersiapkan dan meningkatkan kualiti serta keunggulan diri adalah elemen yang sangat perlu dititikberatkan.



Comments

  1. salam.. tahniah, post ini juga merupakan sisipan ilmu yg berguna sebagai daie cemerlang..insyaAllah..

    syukran atas perkongsian..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran