JANGAN REMEHKAN KEHORMATAN ORANG LAIN

Kebijaksanaan adalah sikap yang sudah menjadi amalan. Kebijaksanaan itu ialah bahawa memuji dengan sopan dengan apa adanya boleh memenangi hati orang lain. Siapapun orang itu, yang sewarak dan sezuhud mana pun, tetapi ketika menghadapi pujian maka hatinya akan luluh dan berasa sejuk, bergantung kepada banyak atau sedikitnya pujian yang dihadiahkan kepadanya.


Kata-kata yang lembut mempunyai kesan yang sangat kuat di dalam hati dan aturan yang benar yang kita perolehi daripada Baginda Nabi menyuruh kita untuk menempatkan manusia sesuai dengan tempatnya dalam bentuk penghormatan. Kemampuan diri untuk membuat orang lain dan diri kita sendiri bahagia dan komunikasi yang baik, merupakan anugerah Allah yang besar.

“ Maka dengan sebab rahmat yang (melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai, Muhammad!), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”
(Al-Imran: 159)

“ Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”
(At- Thalaq:3)

Ayat ini menegaskan bahawa seseorang tidak boleh memuji bukan pada tempatnya, tidak boleh terlalu sering dan tidak boleh pula terlalu sukar memberi pujian. Tetapi sepatutnya dilakukan dengan cara bermoral, etika yang tinggi dan kejujuran terhadap nilai-nilai kebaikan.

Mungkin kita pernah bersungut dan bermuram di depan orang lain. Tetapi risikonya, kita akan merugi kerana kita kehilangan mereka dan mereka tidak akan merugi sedikitpun kerana mereka akan mendapat orang lain yang lebih tawadhuk kepada mereka, yang tersenyum kepada mereka dan yang lebih merendah di hadapan mereka.

“ Dan merendah hatilah kamu terhadap orang-orang beriman”
(Al-Hijr: 88)

Satu hal yang membuat kebahagiaan ialah kemampuan menarik hati orang lain. Bagi kita, orang lain ialah pihak yang akan memuji, mendoakan, mencintai dan yang berterima kasih terhadap diri kita. Orang lain ialah saksi-saksi Allah di muka bumi.

“ Serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia”
( Al-Baqarah: 83)

Sangat terbuka pintu bagi siapa sahaja supaya boleh diterima oleh orang lain, yang tidak sepatutnya membelinya dengan harta senilai harta Qarun, tidak dengan yang senilai kerajaan Sulaiman, dan tidak pula dengan yang senilai khilafah Harun Ar-Rasyid. Siapa pun boleh diterima orang lain asalkan niatnya diasaskan keikhlasan hati kepada Allah, kerana kecintaaan kepada Allah dan RasulNya, dan kerana keengganan untuk memanjakan jiwa.

Sikap terpuji dan baik itu meletihkan. Mengapa? 

 

Sebab sifat-sifat seperti itu mengangkat darjat. Sebaliknya, sifat-sifat buruk dan tabiat yang kasar, sangat mudah dilakukan oleh siapa sahaja yang mahu. Sebab tabiatnya membawa turun. Logikanya, naik itu sukar dan turun itu mudah sekali.

Orang yang memperkecil akan diperkecil, dan mayat itu tidak akan berasa sakit kalau dilukai. Dalam hidup ini, ada sesuatu yang menunjukkan kepada kita dan sesiapa sahaja kebahagiaan. Iaitu menghormati bakat orang lain, mendorong cita-cita orang lain, dan tidak memperkecilkan kerja kuat dan peranan orang lain.
Manakala sesuatu yang boleh membuat hidup seseorang menderita dan membuat jiwanya tertekan ialah sikapnya yang hanya melihat kepada dirinya sendiri, menganggap bahawa dirinyalah bintang terang satu-satunya.

Pada hakikatnya, berhati-hati agar tidak sampai memperkecilkan kedudukan orang lain, jangan merendahkan orang lain, dan memandang sebelah mata terhadap kemampuan mereka.

“ Wahai, orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum wanita mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana ) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”
(Al-Hujurat:11)

Suatu hal yang membuat diri kita dicintai orang lain ialah motivasi dalam diri untuk mengembangkan potensi yang ada, bukti perhatian kita kepada mereka, dan sikap kita yang selalu terbuka menerima mereka. Justeru, pujilah hal-hal baik dalam hidup orang lain, tanamkan kepada mereka sifat-sifat kebaikan, dukung tindakan positif mereka dan tutup mata kita rapat-rapat terhadap keburukan dan kekurangan mereka.

"Tidak hijrah selepas pembukaan Mekah, tetapi jihad dan niat" (Al-Hadith)

Benarlah kata pepatah, satu jari yang ditunjuk kepada orang lain, maka empat jari lagi kembali kepada diri sendiri. Biarlah kebaikan diri sendiri kelihatan di mata orang lain tetapi keburukan diri biarlah di mata sendiri...

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran