Jadikan Buah Lemon Itu Minuman yang Manis





Orang cerdik akan berusaha untuk mengubah sesuatu kerugian menjadi sebuah keuntungan. Sedangkan orang yang bodoh akan membuat suatu musibah hanya menjadikan kerugian bertambah dan berlipat kali ganda.

Ketika Rasulullah S.A.W. diusir dari Makkah, beliau memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian baginda telah berjaya membangunkannya menjadi sebuah negara yang menjadi sebutan ramai dan terpahat di dalam sejarah.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah dihukum penjara dan didera, tetapi kerananya ia menjadi imam dalam salah satu mazhab Feqah. Ibnu Taimiyyah pernah dipenjara, lantaran itu terhasillah karya-karyanya. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar telaga selama bertahun-tahun, tetapi di dalam lubang itulah beliau mengarang kitab sebanyak 20 jilid.

Ketika Ibnul Atsir dipecat daripada jawatannya, beliau telah menghasilkan karya agungnya yang berjudul Jami'ul Usul dan An-Nihayah yang merupakan salah satu kitab yang terkenal di dalam ilmu hadith. Demikian jugalah halnya dengan Ibnul Jawzy, apabila beliau diusir daripada Baghdad, namun hal ini membolehkan beliau untuk menguasai qiraah sab'ah.

Malik ibn Ar-Raib adalah seorang yang menderita akibat penyakit yang tidak ada penawarnya, tetapi ia mampu melahirkan karya yang sangat indah dan setanding dengan karya-karya para penyair besar zaman Abbasiyah.

Ketika semua anak Abi Dzuaib Al-Hudzali mati meninggalkannya seorang diri, beliau mampu mencipta nyanyian yang puitis serta mampu membekam mulut zaman, membuat pendengarnya tersihir, memaksa sejarah untuk selalu bertepuk tangan saat mendendangkan nyanyiannya.

Begitulah, ketika sedang ditimpa musibah. Kita harus melihat sisi yang paling terang darinya. Cuba bayangkan, ketika seseorang memberikan anda segelas air lemon, apa yang perlu anda lakukan ialah hanya menambah beberapa sudu gula ke dalamnya. Ketika seseorang memberikan anda hadiah seekor ular, apa yang perlu anda lakukan ialah ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian yang lain. Jika anda disengat oleh kala jengking, maka sedarlah bahawa sebenarnya bisa itu mampu memberikan antibodi yang mampu melawan sengatan ular yang berbisa.

Sebelum terjadi revolusi besar di Perancis, kononnya negara itu pernah memenjarakan dua orang sasterawannya yang terkenal. Salah seorang daripadanya, sangat optimis manakala seorang lagi sangat pesimistik. Setiap hari, kedua-duanya mendongakkan kepala melihat jeriji sel tersebut. Namun, si optimis selalu mendongak dan melihat ke atas untuk merenung ke arah langit, lantas ukiran senyuman terpalit di bibirnya. Manakala, si pesimistik selalu mendongakkan kepalanya tetapi melihat ke bawah lantai daripada tanah yang hitam sambil menangis mengenang kesedihan yang dialaminya.

"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah : 216)

Kesimpulannya, pada sudut manakah yang perlu kita lihat apabila kita mendapat sesuatu musibah atau ujian daripadaNya. Bukankah setiap yang mengaku beriman itu pasti diuji keimanannya... Lantas, terus beristiqomahlah kita dalam memperjuangkan agamanya...

"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" (Al-Insyirah : 5)


Comments

  1. salam...benar seperti yg nta kemukakan diatas..kita seharusnya lebih optimis dalam memperjuangkan agama Allah ini. kesusahan adalah satu tarbiyah.dan tarbyah itu perlu dirasa sendiri oleh mereka yg bersama 2 berintima' didalam perjuangan ini...wallahu alam

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran