HUKUM DEMONSTRASI BERSIH 2.0: ANTARA FATWA MENGHARAM DAN MENGHARUSKAN

PENDAHULUAN

Ini adalah penulisan separa ilmiah untuk menjawab beberapa pandangan yang dirasakan kurang tepat tentang hukum berdemontrasi. Ia merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan beberapa NGO untuk mengadakan demontrasi yang dipanggil “BERSIH” untuk mencapai matlamat yang telah digariskan. Tulisan ini bertujuan sebagai bahan perbincangan dalaman yang masih terbuka kepada penambahbaikan bagi memantapkan lagi tulisan ini.

DEMONSTRASI

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi empat mentakrifkan demonstrasi seperti berikut:

  1. Penerangan, pera­ga­an dan lain-lain tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain.
  2. Tunjuk perasaan dgn cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain.[2]

LATARBELAKANG BERSIH 2.0

  1. BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia.
  2. Hanya menerusi pilihanraya yang bebas dan adil sahajalah, rakyat Malaysia mampu untuk menentukan nasib mereka sendiri Malaysia dan mengharapkan mereka yang menjawat jawatan-jawatan awam untuk bertindak dengan pertanggungjawaban dan berkesan. Selagimana, rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir golongan jahat dalam pemerintahan negara, maka selagi itulah harapan untuk mendaulatkan undang-undang, melindungi hak asasi manusia, mengadakan urus-tadbir kerajaan yang baik dan menggalakkan pembangunan rakyat yang berterusan/lestari akan terus tertakluk kepada budibicara ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Matlamat utama untuk menukar kerajaan hari ini adalah merupakan kunci ‘semak dan imbang’ dalam menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah.
  3. Adalah amat malang bagi Malaysia kerana walaupun sudah 49 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihanraya yang bebas dan adil. Kesimpulan ini bukan sahaja dipersetujui oleh masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerhati antarabangsa, malah ia juga diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Selepas pilihanraya umum pada bulan Mac 2004 yang dihantui oleh pelbagai penyelewengan dan kontroversi yang jauh lebih serius daripada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya, maka, beliau merasakan perlu dan setuju dengan tuntutan awam untuk menjalankan penyiasatan bebas. Namun, amat mengecewakan penyiasatan bebas tersebut akhirnya tidak dijalankan.
  4. Proses pengendalian pilihanraya yang tidak telus ini menimbulkan pelbagai persoalan khususnya persoalan terhadap kuasa mutlak badan pemerintah negara ini. Keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan membawa petanda yang buruk untuk masa depan masyarakat dan boleh memusnahkan keutuhan sistem politik negara kita. Ini dapat dilihat pada negara-negara yang telah mengalaminya iaitu Thailand, Filipina dan Taiwan. Oleh yang demikian, BERSIH merasakan adalah perlu bagi semua rakyat Malaysia berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk membawa perubahan yang menyeluruh dalam proses pilihanraya yang mendatang. Justeru, kami mencadangkan agenda perubahan jangka-panjang dan tiga sasaran kerja dengan segera.

Matlamat Jangka Panjang

  1. 5. Dalam masa jangka-panjang yang akan membatasi batas pilihanraya akan datang, BERSIH yakin dan percaya bahawa kelapan-lapan aspek ini perlu dikaji dan diperbaharui secara keseluruhannya:


A. Sistem pilihanraya

i. Adalah perlu untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang tinggi antara undian rakyat dan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, dimana undi sebanyak 64% boleh diterjemahlkan kepada 91% kerusi bagi parti pemerintah. Ini adalah kerana berteraskan kepada prinsip asas ‘First-Past-The-Post’ atau ‘Yang-Pertama-Melepasi-Tiang’ dan juga manipulasi menerusi pembahagian kawasan pilihanraya yang bericirikan ‘agihan-timpang’ dan ‘curang’ atau ‘tipu-belit’;

ii. Adalah perlu untuk memperkenalkan satu sistem yang menyenaraikan semua perwakilan parti, supaya jumlah minima 30% perwakilan wanita di parlimen terjamin;

iii. Adalah perlu untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan dengan sistem pilihanraya yang lebih adil, termasuk memberikan ruang yang lebih kepada penglibatan wanita dan kelompok terpinggir dalam masyarakat.

B. Pentadbiran pilihanraya

i. Adalah perlu untuk merubah Suruhanjaya Pilihanraya sekarang yang ternyata gagal untuk bertindak sebagai sebuah institusi yang bebas dengan bergerak ke arah struktur perwakilan pelbagai parti sebagaimana yang dipraktikkan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi;

ii. Memperuntukkan undang-undang yang berkaitan dengan hak pemerhati-pemerhati antarabangsa dan tempatan.

C. Penamaan calon dan parti – bahawa ketimpangan ini mesti diperbetulkan

i. Kuasa berasaskan budibicara yang diberikan kepada Pendaftar Pertubuhan menyebabkan keputusan berkaitan pendaftaran dibuat secara sewenang-wenangnya. Ini dapat dilihat dalam kes Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Malaysian Dayak Congress (MDC);

ii. Keputusan berat sebelah dan sewenang-wenang oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya yang akhirnya menggugurkan kelayakan calon-calon pembangkang adalah tidak adil;

iii. Klausa kontroversi yang membenarkan calon menarik diri selepas penamaan yang akhirnya membawa kepada pertuduhan rasuah dan kemenangan tanpa bertanding yang menyangsikan;

iv. Wang deposit pilihanraya yang tertinggi di dunia yang secara langsung menghalang penyertaan warga Malaysia yang kurang sumber kewangannya, termasuk golongan wanita dan beberapa kumpulan terpinggir dalam masyarakat.

D. Kempen pilihanraya – peruntukan undang-undang bagi perkara-perkara berikut

i. Menetapkan satu tempoh berkempen wajib yang jauh lebih panjang daripada tempoh 8 hari berkempen dalam pilihanraya lepas yang nyata tidak bermakna langsung;

ii. Memberikan hak kebebasan bersuara dan berkumpul yang sebenar-benarnya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia;

iii. Pengawalan secara berkesan dan menyeluruh dalam proses pembiayaan kos untuk berkempen untuk membendung amalan rasuah;

iv. Pertimbangan untuk mengadakan pembiayaan awam bagi kos berkempen kepada parti-parti politik khususnya bagi calon wanita, kumpulan-kumpulan terpinggir dalam masyarakat dan latihan yang mesra gender.

E. Media

i. Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi Barisan Nasional;

ii. Peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta;

iii. Peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.


F. Kerajaan Sementara (Caretaker government)

i. Bahawa kerajaan lama adalah dilarang sama sekali untuk membuat sebarang polisi atau keputusan berkaitan dengan pembangunan bilamana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.;

ii. Bahawa menyalahgunakan semua sumber dan instrumen negara bagi tujuan memenangi pilihanraya atau untuk kepentingan parti adalah merupakan kesalahan jenayah;

iii. Bahawa penyediaan dan penyemakan daftar pemilih perlu dibuat secara telus dan tertakluk kepada semakan kehakiman.

G. Daftar Pemilih

i. Bahawa daftar pemilih perlu dikemaskinikan dan tepat, untuk mengelakkan (i) penyingkiran dan pemindahan secara tidak sukarela para pengundi yang sah dan (ii) penyamaran dan pengundian berganda oleh ‘pengundi hantu’;

ii. Bahawa semua rakyat yang layak mengundi perlu secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

H. Pengundian

i. Melaksanakan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) untuk menghalang pengundian berganda;

ii. Memansuhkan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi yang berada di luar negara memandangkan pertanggungjawaban dan kerahsiaan amat terancam dalam amalan semasa.

Matlamat Jangka Pendek

  1. Untuk jangka pendek, BERSIH menyeru kepada Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abd. Rashid bin Abd. Rahman dan Datuk Kamaruzaman bin Mohd Noor untuk melaksanakan tiga pembaharuan khusus yang berkaitan dengan daftar pemilih dan pengundian sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah pilihanraya yang bebas dan adil:

i. Penggunaan dakwat kekal (sebagaimana yang dilakukan di Indonesia dan India) untuk menghalang pengundian berganda;

ii. Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara;

iii. Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar pemilih yang sebenar-benarnya telus dan meyakinkan;

iv. Semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio. Iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang sikap pilih kasih. Media juga perlu memberi hak menjawab sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan seseorang ahli politik atau parti politik.

  1. Sekiranya BERSIH tidak melihat sebarang respon positif daripada Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya berkaitan dengan agenda jangka panjang tersebut, dan terutamanya, tiga agenda pembaharuan secara segera, maka BERSIH akan berkempen di seluruh negara untuk menuntut perubahan dalam pilihanraya serta turut menggesa perletakan jawatan mereka.[3]

Selain itu, himpunan BERSIH terpaksa dianjurkan setelah semua saluran yang diusahakan oleh PAS tidak dilayan[4]. Aduan berkenaan layanan yang tidak sama rata untuk akses kepada media, persempadanan semula yang dilihat sangat jelas jelas bertujuan memenangkan Barisan Nasional, laporan pendaftaran pengundi bukan rakyat Malaysia, rasuah dan banyak lagi telah banyak dilakukan, tetapi TIADA SATU pun mendapat respon yang baik daripada pihak berkuasa. Dari itu, apa lagi pilihan yang rakyat ada selain dari meluahkan melalui demonstrasi.

Untuk demonstrasi kali ini, BERSIH menuntut supaya[5]:

  1. Membersihkan senarai undi
  2. Reformasi kepada undi pos
  3. Guna dakwat kekal
  4. Tempoh kempen minimum 21 hari
  5. Akses media yang bebas dan adil
  6. Kukuhkan institusi awam
  7. Hentikan rasuah
  8. Hentikan politik kotor.

KOMENTAR BERKENAAN BERSIH 2.0

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertarikh 16 Jun 2011 sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia[6]:

..muslihat pihak tertentu untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang melanda pembangkang terutamanya mengenai perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia muslihat pihak tertentu, kenapa dibuat pada tarikh itu (9 Julai), kenapa tidak awal, kenapa tidak lewat. Apakah kerana mereka jangka kerana ada pilihan raya? Saya tidak fikir mereka boleh tahu bila pilihan raya. Jadi kenapa dirancang sebegitu.

….menempelak pembangkang yang menuduh kononnya sistem pilihan raya di Malaysia korup sehingga memaksa mereka mengadakan demonstrasi Bersih bagi menuntut sistem baharu yang lebih adil.

…jika pembangkang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dan memihak kepada kerajaan, ia bererti kemenangan pakatan ke atas lima negeri pada pilihan raya umum 2008 juga merupakan kemenangan kotor yang tidak layak untuk diraikan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bertarikh 12 jun 2011 sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia menyatakan[7]:

…perhimpunan seperti itu juga akan menimbulkan huru hara dan suasana tidak selesa kepada orang ramai serta pelancong asing.

..negara ada saluran untuk rakyat meluahkan sebarang permasalahan dan bukan dengan cara mengadakan demonstrasi seperti perhimpunan Bersih.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertarikh 22 Mei 2011 sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia menyatakan[8]:

…rakyat sedar kaedah yang dilakukan mereka semasa berdemonstrasi sudah lapuk kerana ia sekadar memaki hamun, menyumpah seranah dan fitnah-memfitnah, yang tidak memberi manfaat kepada orang ramai.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim bertarikh 18 Jun 2011 sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini menyatakan[9]:

Serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Anonymous dipercayai ada kaitan dengan penganjuran perhimpunan
aman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
pada 9 Julai ini.

Serangan itu dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak patriotik kepada negara dan memberi jaminan ia hanya bersifat sementara serta ia tidak akan mengakibatkan kelumpuhan keseluruhan sistem laman web yang digodam.

Pengerusi Gerak Aman, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali bertarikh 19 Jun sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia dan laman sesawang mereka menyatakan:

…..hari ini secara terbuka mengisytihar perang habis-habisan ke atas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

…puluhan ribu rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan anti-Bersih akan berkumpul di ibu kota pada malam menjelang 9 Julai, sebelum digerakkan secara besar-besaran keesokan harinya bagi menghalang perhimpunan Bersih. [10]

“Jika perhimpunan itu berlaku,kami akan tentang habis-habisan. Ini bererti pada hari tersebut akan berlaku pertembungan. Ini adalah untuk kebaikan,”[11]

“Ini bukan isu demokrasi tapi isu cari pasal. Ia berupa hasutan. Kalau bercakap mengenai demokrasi, ada bermacam cara kita boleh buat seperti menghantar memorandum atau membawanya ke parlimen, atau buat secara tertutup di stadium. Mengapa mesti buat di jalanan? Ini mesti ada niat jahat.

“Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.

“Apa sahaja boleh berlaku,”[12]

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bertarikh 20 Jun 2011 sebagaimana dilaporkan oleh malaysiakini menyatakan[13]:

…tidak bersetuju dengan pendapat Ibrahim yang disifatkannya sebagai pandangan “gila.”

“Saya tidak bersetuju juga dengan Ibrahim Ali. Ini membakar perkauman. Ini gila. Kita buat benda yang baik bukan benda yang menghasut,”

RESPON BALAS TERHADAP TUDUHAN

Rentetan daripada BERSIH yang pertama dahulu, pihak Suruhanjaya telah bersetuju untuk melaksanakan penggunakan dakwat hitam untuk pihanraya umum 2008. Dakwaan dan alasan yang digunakan atas nama agama kononnya tidak dapat digunakan untuk menunaikan solat[14] dijawab sendiri yang majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan keharusannya[15].

Bagaimanapun, lakonan pihak kerajaan yang kononnya menerima salah satu tuntutan BERSIH semakin jelas apabila mengatakan ada dakwaan (yang TIDAK DAPAT DIBUKTIKAN KESAHIHANNYA[16]) bahawasanya ada laporan pembelian dakwat hitam dari luar negara untuk digunakan dalam pilihanraya akan datang. Dari itu, SPR membatalkan penggunaannya.[17]

Dan pada satu kenyataan yang dilaporkan oleh Malaysiakini bertarikh 20 Jun 2011, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan seperti berikut[18]:

..SPR tidak akan menggunakan dakwat kekal kerana sehingga kini, tiada laporan atau petisyen yang menunjukkan terdapat pengundi yang mengundi dua kali di negara ini.
“Penggunaan dakwat kekal itu juga tidak akan menyelesaikan masalah orang mengundi dua kali yang ditohmah selama ini, yang tidak benar sama sekali.”

PERBAHASAN BERKENAAN HUKUM BERSIH 2.0

PANDANGAN ULAMA’ YANG MEMBENARKAN DEMONTRASI

  1. Shaikh Yusuf Qaradawi[19]
  2. Khalid bin Mun’im ar-Rifa’ie[20]

DALIL

Dalil 1

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

“Asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus sehinggalah ada dalil menunjukan pengharamannya”

  1. Harus diperhatikan, demonstrasi ini adakah amalan ibadah khususiah atau adat @ muamalat. Jelas, demonstrasi bukanlah daripada amalan ibadah khususiah yang sudah ada dalil yang menentukan keharusan dan keharamannya. Ia terbuka hukumnya mengikut keperluan semasa.
  2. Oleh kerana tidak ada dalil yang secara jelas dan terang mengharamkan demonstrasi, maka ia bergantung kepada faktor-faktor luaran untuk menentukan hukumnya. Antara faktor yang menentukannya ialah TUJUAN DEMONSTRASI. Sekiranya tujuannya tidak bercanggah dengan syara’, maka ia adalah diharuskan. Mari kita melihat apakah tuntutan BERSIH 2.0 ini[21]:

i. Membersihkan senarai undi

ii. Reformasi kepada undi pos

iii. Guna dakwat kekal

iv. Tempoh kempen minimum 21 hari

v. Akses media yang bebas dan adil

vi. Kukuhkan institusi awam

vii. Hentikan rasuah

Adakah mana-mana tuntutan dan tujuan tersebut yang bercanggah dengan syara’? Sekiranya tidak ada, maka kekal BERSIH 2.0 ini dengan hukumnya harus sehinggalah para pengkritik mendatangkan bukti-bukti yang lain yang boleh membawa kepada pengharamannya.

  1. Agama memberikan keanjalan terhadap amalan yang boleh membawa kepada kemaslahatan kepada manusia. Jangan disempitkan dan diberatkan pada perkara yang tidak diharamkan dalam agama secara jelas dan tidak larang. Sabda Baginda SAW

عن أبي الدرداء رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” ما أحل الله في كتابه فهو حلال وما حرم فهو حرام وما سكت عنه عفو فاقبلوا من الله عافيته فإن الله لم يكن لينسى شيئا ثم تلا هذه الآية : ( وما كان ربك نسيا[22])[23]

Abu Darda’ meriwayatkan bahwasanya Baginda SAW bersabda “Apa yang Allah halalkan di dalam kitabnya sudahpun jelas, apa yang diharamkan, maka ia adalah haram. Apa-apa yang tidak diputuskan oleh Allah maka ia adalah kemaaafan bagi kamu, dari itu, terimalah. Allah sama sekali tidak lupa, lalu baginda SAW membawa ayat “…dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, “

Dari itu, oleh kerana tiada dalil yang jelas yang mengharamkan perbuatan demonstrasi,maka ia kekal dengan keharusannya sebelum ada faktor-faktor lain yang mengharamkannya. Bagi golonganyang mengatakan ianya haram, seharusnya mendatangkan hujah atas pengharamannya.

DALIL 2

عن ابن عباس قال سألت عمر رضي الله تعالى عنه لأي شيء سميت الفاروق قال أسلم حمزة قبلي بثلاثة أيام ثم شرح الله صدري للاسلام…… قلت أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله قال فكبر أهل الدار تكبيرة سمعها أهل المسجد قال فقلت يا رسول الله ألسنا على الحق إن متنا وإن حيينا قال بلى والذي نفسي بيده إنكم على الحق إن متم وإن حييتم قال فقلت ففيم الاختفاء والذي بعثك بالحق لتخرجن فأخرجناه في صفين حمزة في أحدهما وأنا في الآخر له كديد ككديد الطحين حتى دخلنا المسجد قال فنظرت إلى قريش وإلى حمزة فأصابتهم كآبة لم يصبهم مثلها فسماني رسول الله صلى الله عليه و سلم يومئذ الفاروق وفرق الله به بين الحق والباطل

Komentar

Hadis ini tidak kuat untuk dijadikannya sebagai hujjah. Ini kerana status hadis ini dhaif jiddan.Para pembaca boleh melihat hadis ini dalam kitab Hilyatu al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim al-Asbahani 1/40. Sheikh Albani ketika membuat komentar terhadap hadis ini mengatakan “sanad hadis ini terlalu dhaif kerana adanya perawi bernama Ishak bin Abdullah”, pembaca boleh melihat komen ini dalam kitab Silsilatu Ahadith adh-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah 14/73 nombor 6531.

DALIL 3

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَشْكُو جَارَهُ فَقَالَ « اذْهَبْ فَاصْبِرْ ». فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا فَقَالَ « اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِى الطَّرِيقِ ». فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِى الطَّرِيقِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ فَعَلَ اللَّهُ بِهِ وَفَعَلَ وَفَعَلَ فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ ارْجِعْ لاَ تَرَى مِنِّى شَيْئًا تَكْرَهُهُ.[24]

Abu Hurairah meriwayatkan ada seorang lelaki mengadu kepada rasulullah tentang jirannya, lalu Baginda SAW berkata “Pulanglah dan bersabarlah”. Situasi itu berlaku 2 ataupun 3 kali lalu kata Baginda SAW “Pulanglah dan buang barangmu di atas jalan”. Lalu setelah lelaki tersebut melakukan sebagaimana yang disarankan, ramai orang bertanya puncanya, lalu lelaki ini menceritakan situasinya. Ini membuatkan semua orang yang lalu di situ mencerca jiran lelaki tersebut. Tidak dalam selepas itu, jirannya itu datang dan memohon maaf padanya dan berjanji peristiwa lama tidak berulang lagi.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in menyebutkan seperti berikut berkenaan hadis ini:

لأبأس للمظلوم أن يتحيل على مسبة الناس لظالمه والدعاء عليه والأخذ من عرضه وإن لم يفعل ذلك بنفسه إذ لعل ذلك يردعه ويمنعه من الإقامة على ظلمه وهذا كما لو أخذ ماله فلبس أرث الثياب بعد أحسنها وأظهر البكاء والنحيب والتأوه أو آذاه في جواره فخرج من داره وطرح متاعه على الطريق أو أخذ دابته فطرح حمله على الطريق وجلس يبكي ونحو ذلك فكل هذا مما يدعو الناس إلى لعن الظالم له وسبه والدعاء عليه…[25]

DALIL 4

عن ابن عائشة يقول: لما قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم المدينة جعل النساء والصبيان يقلن: طلع البدر علينا * من ثنيات الوداع[26]

Sheikh Islam Ibn taimiah menyebutkan:

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { لَمَّا قَدِمَ إلَى الْمَدِينَةِ خَرَجْنَ بَنَاتُ النَّجَّارِ بِالدُّفُوفِ وَهُنَّ يَقُلْنَ : طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا مِنْ ثَنِيَّاتٍ الْوَدَاعِ إلَى آخِرِ الشِّعْرِ….} حَدِيثُ النِّسْوَةِ وَضَرْبِ الدُّفِّ فِي الْأَفْرَاحِ صَحِيحٌ ؛ فَقَدْ كَانَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ[27]

DALIL 5

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ[28]

DALIL 6

Kisah Bai’ah Ridhwan. Ia apabila Nabi SAW mneghantar utusan untuk berjumpa dengan pembesar Mekah, namun dikhabarkan bahawasanya mereka telah membunuh Saidina ‘Uthman, maka Nabi SAW dan para sahabat telah membuat persepakatan untuk berjuang menuntut bela terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada Saidina ‘Uthman.[29]

PANDANGAN ULAMA’ YANG MELARANG

  1. Sheikh Ibn Baaz.[30]
  2. Sheikh Soleh ‘Uthaimin[31]
  3. Ustaz Rasul Dahri[32]

DALIL

  1. 1. Ia adalah bid’ah dan tiada dalil dari amalan Nabi SAW, para sahabat dan salaf soleh.

Munaqashah dalil

Sheikh Yusuf Qaradawi berpandangan bahawasanya bukanlah semuanya amalan yang tidak dilakukan Nabi SAW adalah bid’ah secara mutlak. Beliau juga menolak hadis ini untuk digunapakai dalam perkara yang melibatkan muamalat dan adat. Padahal hadis itu tertumpu kepada perkara ibadat.[33]

Sekiranya ia masih dalam lingkungan hujah-hujah agama seperti maqasid amalan tersebut dan mekanisma mengamalkannya tidak bercanggah dengan syara’, maka tidak ada masalah untuk diamalkan. Contohnya Saidina ‘Uthman menambahkan azan baharu (menjadikannya dua azan seperti sekarang) dengan tujuan kemaslahatan umat Islam yang semakin berkembang. [34]

Begitu juga keharusannya sebagaimana yang ditunjukan dalam hadis yang berbunyi

عن رفاعة بن رافع الزرقي قال كنا يوما نصلي وراء النبي صلى الله عليه و سلم فلما رفع رأسه من الركعة قال ( سمع الله لمن حمده ) . قال رجل وراءه ربنا ولك الحمد حمدا طيبا مباركا فيه . فلما انصرف قال ( من المتكلم ) . قال أنا قال ( رأيت بضعة وثلاثين ملكا يبتدرونها أيهم يكتبها أول)[35]

  1. 2. Boleh membawa kepada kemudharatan dan kemungkaran yang lebih besar.

Apakah yang dimaksudkan dengan kemungkran yang lebih besar selain daripada kebaikan daripadanya. Lihat sahaja apa yang berlaku di Mesir, Hosni Mubarak akhirnya meletak jawatan hasil daripada demonstrasi rakyat[36]Ben ali akhirnya meletakan jawatan kerana demonstrasi rakyat[37] dan di Malaysia demonstrasi BERSIH yang lalu berjaya mendesak kerajaan untuk mengunakan dakwat kekal bagi mengelakkan penipuan[38] namun, akhirnya SPR mengambil sikap untuk tidak menggunakannya walaupun telah membelinya dengan harga RM 3 juta dengan menggunakan duit rakyat.[39] Ia merupakan tanda kejayaan.

Apakah ada lagi kemungkaran selain itu. Sekiranya kemungkaran tersebut adalah kebarangkalian pertumpahan darah sesama muslim dek kerna kebebalan Perkara membuat keputusan, pihak berkuasa harus menguruskan perkara ini. Sila benarkan Perkara untuk membuat demonstrasi yang sama tetapi di tempat yang berbeza atau pada waktu yang berbeza. Ini kerana secara asas tidak dalil jelas lagi qath’ie yang mengharamkan demonstrasi. Maka, menghalang perkara yang baik dari dijalankan padahal perkara tersebut boleh diuruskan secara menang-menang bukanlah satu keputusan dan tindakan yang bijak.

Kenyataan ahli parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden bahawa perhimpunan Bersih 2.0 boleh membawa kepada pertumpahan darah haruslah dibuat dengan penuh tanggungjawab. Namun, telahan beliau itu dilihat jelas tidak bertanggungjawab apabila tidak memberikan sebarang contoh berkenaan perkara yang dibangkitkannya. Bahkan ruang untuk memohon penjelasan juga tidak diberikan.[40] Pernahkah dalam sepanjang demonstrasi yang dianjurkan oleh PAS, berlaku pertumpahan darah sesama rakyat?

Tidak pernah bukan?

Tetapi sekiranya rakyat yang menyertai demonstrasi tersebut didera, dihentak sehingga berdarah, dipenjara hanya kerana memperjuangkan hak.. itu memang banyak sekali.[41]

Dengan penganjuran BERSIH ini, hampir semua pihak yang berada di sekitar Kuala Lumpur ini atau jalan menuju Kuala Lumpur akan mendapat kesan positif dengan peningkatan hasil jualan.[42] Penulis antara orang yang pernah menghadiri himpunan BERSIH pada tahun 2007 mendapati BN jelas menipu rakyat Malaysia. Melalui pengamatan penulis yang melalui Jalan Masjid India, dan jalan menuju ke Istana Negara (maaf, penulis tidak dapat mengingati nama jalannya) tidak ada sebuah kedai pun yang ditutup kerana himpunan ini.

Dari itu, apa lagi kemungkaran yang kamu hendak fitnahkan?

  1. 3. Tidak selari dengan firman Allah dalam Surah an-Nahl: 125

Ayatnya berbunyi

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Namun, penulis percaya syahid utama ayat ini adalah pada yang bergaris di atas.

بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Ibn kathir mentafsirkan ayat di atas sebagai berhujjah mengikut panduan al-Quran dengan melarang mereka melakukan perkara yang dilarang Allah.[43]

Manakala dalam Tafsir asy-Sya’rawi pula mentafsirkan dengan mengatakan berbuat sesuatu mengikut kesesuaiannya.[44]

Secara konklusinya, berda’wah itu perlukan seni dalam menyampaikan maksudnya. Nabi Allah Ibrahim menggunakan kaedah reverse psychology[45] dan perdebatan[46] dalam pembuktian ketuhanan, Nabi Allah Yusuf menggunakan kaedah penyerapan dalam kerajaannya untuk menyampaikan dakwahnya[47], Nabi Allah Nuh menyampaikan dakwahnya dengan pembuktian teknologi[48] dan perubatannya[49] dan Nabi Musa mengambil jalan pertembungan secara berkonfrontasi dengan Firaun[50] setelah berda’wah dengan lemah lembut[51] dan berdebat tidak berkesan.

Secara konklusinya, penulis kirakan tidak ada khilaf untuk mengatakan bahawasanya berda’wah dengan lemah lembut penuh hujjah, berdebat, berdiskusi adalah cara yang terbaik. Namun, sekiranya ia tidak memberikan apa-apa kesan, maka Islam tidak menutup ruang yang lain untuk berda’wah asalkan matlamat mendaulatkan Islam tercapai dengan syarat ianya mestilah masih berada di orbit syariat Islam.

Lihatlah realiti PAS.

Berda’wah, berdiskusi, berdebat dengan UMNO untuk kemaslahatan umat Islam semenjak merdeka dahulu, namun nampaknya ia kurang berkesan. PAS akan terus menggunakan metod tersebut kerana percaya ia adalah metodologi yang terbaik, namun, ia tidak akan mengikat PAS untuk melakukann penambahbaikan dalam da’wahnya dengan menggunakan metodologi yang lain yang difikirkan dari semasa ke semasa lebih berkesan.

  1. 4. Diambil daripada yahudi dan bukan Islam

Penulis mengirakan semua umat Islam boleh bersetuju dengan mengatakan bawasanya kebijaksanaan merupakan permata umat Islam yang kehilangan, maka di mana sahaja dijumpai..Ambillah.

Dengan satu catatan emas, perkara tersebut mestilah berada di atas landasan islam.

Lihat sahaja strategi strategi Nabi SAW pergi berhijrah. Baginda SAW dan Saiduna Abu Bakr mengupah seorang lelaki yang bernama ‘Abdullah bin ‘Uraiqith al-Laithi, seorang yang bukan Islam utnuk memandu Nabi SAW dan Abu Bakr menuju ke Madinah. Ini kerana, beliau seorang yang amat mahir dengan jalan bawah[52] (Nabi SAW tidak menggunakan highway untuk ke Madinah).

Selain itu, lihat juga peperangan Khandak, ia bukanlah dari ilmuan Islam tetapi ia adalah strategi peperangan Negara Parsi (Iran sekarang), namun iatidak bercanggah dengan agama. Nabi menerimanya.

Nabi SAW menggunakan cop mohor kerajaan Madinah, ia bukanlah adat dan tradisi arab tetapi memandangkan ia adalah tradisi raja-raja di dunia, maka Nabi SAW membuat mohor kerajaan Madinah.[53]

HUKUM WANITA TERLIBAT DALAM BERSIH 2.0

Sekiranya perhimpuan ini diharuskan secara syara’, maka tidak menjadi masalah bagi wanita menyertainya dengn syarat berpegang teguh kepada nilai-nilai agama seperti menutup aurat, tidak bercampur dengan lelaki, menundukan pandangan (daripad amelihat perkara-perkara yang diharamkan-pen)[54]

PENUTUP

  1. 1. Secara konklusinya BERSH 2.0 harus untuk dianjurkan.
  2. Perlu ditekankan di sini bahawasanya demonstrasi bukanlah matlamat utama PAS. Ia dianjurkan (dengan penyertaan PAS) rentetan daripada da’wah yang dikesampingkan oleh pemerintah. Maka, tidak salah kiranya PAS mengambil sikap sebagaimana Nabi Allah Musa iaitu bertembung secara terus dengan kerajaan. Berdasarkan pengalaman yang lalu, ia memberikan kesan walaupun agak minima.
  3. Demonstrasi yang disertai PAS ini bukanlah bermaksud mengenepikan semua hukum hakam dan syariat Islam. Sekiranya para pengkritik boleh menghadirkan diri dalam demonstrasi ini, kalian akan mendapati tidak ada percampuran lelaki dan perempuan ataupun sekiranya ada, maka kami akan membentuk bulatan untuk melindungi kaum wanita. Wanita bagi kami gerakan Islam adalah pertama dunia yang mulia yang perlu dilindungi.
  4. Kami jua mensyaratkan untuk mendapatkan keizinan suami sebelum menghadiri perhimpunan ini.
  5. Dalam tempoh perhimpuan ini juga, para pengkritik juga akan melihat kan akan menunaikan solat di mana sahaja sempat. Tanda ketaatn kepada rabbul jalil.
  6. Hanya satu sahaja permintaan kami sebagai rakyat Malaysia, satu layanan yang adil sebagai rakyat Malaysia atas nama SAUDARA SEMUSLIM.

Disediakan oleh

Mohamad Ridhauddin

Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis

Negeri Selangor.

21 Jun 2011

6.11am

Sebarang pandangan boleh dipanjangkan kepada ulamakselangor@gmail.com.


[1] Dibentangkan sempena Program Liqa’ PAS Kawasan Wangsa Maju bertarikh 21 Jun 2011.

[2] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=demonstrasi

[3] http://bm.bersih.org/?p=2645

[4] Harakah, m/s F3. Temubual bersama Dato’ Mustafa Ali.

[5] http://malaysiakini.com/news/167501

[6]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

[7]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm

[8]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm

[9] http://www.malaysiakini.com/news/167274

[10]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

[11] http://www.pribumiperkasa.com/?p=5766

[13] http://malaysiakini.com/news/167436

[14] http://blis.bernama.com/getArticle.do?id=9016&tid=84&cid=2

[15] http://blis.bernama.com/getArticle.do?id=48287&tid=63&cid=2

[16] http://www.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2571:spr-bohong-pembelian-dakwat-rakyat-boleh-saman&catid=1:terkini&Itemid=2

[17] http://blis.bernama.com/getArticle.do?id=16058&tid=84&cid=2

[18] http://malaysiakini.com/news/167501

[19]http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6701&version=1&template_id=232&parent_id=17

[20] http://www.islamway.com/?iw_s=Fatawa&iw_a=view&fatwa_id=15541

[21] http://malaysiakini.com/news/167501

[22] Surah Maryam: 64

[23] Hasan: Hadis riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya, 2/111 nombor 4087. Kata Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya Majma’ az-Zawaid sanadnya baik dan perawinya dithiqahkan, lihat 1/416 nombor 794.

[24] Hasan sahih: Lihat Sunan Abi Daud 4/504 nombor 5155. Sheikh Albani mengatakan hadis ini hasan sahih.

[25] 4/16 pada perkara yang ke 85.

[26] Lihat Seerah an-Nabawiah Li Ibn Kathir 2/269.

[27] Lihat Majmu’ al-fatawa Li Ibn Taimiah18/124.

[28] Sahih: Sahih Bukhari 21/283 nombor 6438.

[29] Lihat Raheeq Makhtum 1/303.

[30] Majmu’ Fatawa Ibn Baaz 6/418, 7/344 dan 18/379 dan 27/164.

[31] http://www.gamesgb.com/vb/t138881/

[32] http://www.youtube.com/watch?v=icQyxiEBtr4

[33]http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6701&version=1&template_id=232&parent_id=17

[34]http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=4190&version=1&template_id=232&parent_id=17

[35] Sahih: Sahih Bukhari 1/275 nombor 766.

[36] http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mubarakletakjawatan/Article/

[37]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

[38] http://blis.bernama.com/getArticle.do?id=16058&tid=84&cid=2

[39] http://selangor.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=144&Itemid=1

[40] http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3896-bung-dikecam-tuduh-bersih-20-tumpah-darah

[42] http://www.malaysiakini.com/news/166457

[43] Tafsir al-Quran al-Azhim 4/613.

[44] 1/5072-5073

[45] Surah al-Anbia’: 63

[46] Surah al-Baqarah: 258

[47] Surah Yusuf: 55

[48] Surah Hud: 38

[49] Surah Hud: 40

[50] Surah Taha: 57-73.

[51] Surah Taha: 43-44.

[52] Ar-Rahiq Makhtum 1/187.

[53]http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6701&version=1&template_id=232&parent_id=17

[54] Islamweb.net fatwa bernombor 42968 bertarikh 20 Dzul Qa’idah 1424 olej Majlis Fatwa diketua oleh Dr ‘Abdullah Faqih.

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran