DAKWAH SUATU TANGGUNGJAWAB
Seringkali apabila seseorang itu diberikan taklifan atau tanggungjawab, maka timbul keresahan dan kebingungan dalam dirinya kerana samada perlu diterima atau ditolak tanggungjawab tersebut. Akan tetapi, bukan semua tanggungjawab boleh ditolak dan bukan semua tanggungjawab boleh diminta. Oleh itu, rasa resah dan gelisah terus menghantui dirinya sehingga tiada apa yang mampu dilaksanakannya. Sebenarnya, logik akal kita tersalah meletak penanda aras untuk mengukurnya. Tanggungjawab bukan suatu izzah (kebesaran) tetapi amanah.
Dari Abu Sa’id ‘Abdurrahman bin Samurah r.a. berkata : “Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saya: “Wahai ‘Abdurrahman bin Samurah janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin kerana sesungguhnya apabila kamu diberi suatu kepimpinan tanpa kamu memintanya maka kamu akan mendapat pertolongan untuk memimpinnya, tetapi jika kamu diberi untuk menjadi pemimpin kerana kamu yang memintanya maka seluruh kepimpinan itu akan diserahkan kepadamu. Dan apabila kamu telah bersumpah ke atas sesuatu perbuatan kemudian kamu melihat ada perbuatan lain yang lebih baik daripada perbuatan tadi maka kerjakanlah perbuatan yang lebih baik dan tebuslah sumpahmu itu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Izzah membawa erti kebesaran atau kemegahan, jika seseorang itu meletakkan bahawa tanggungjawab itu adalah izzah, maka dia akan merasa seolah-olah bumi ini begitu sempit baginya. Akan tetapi, jika seseorang itu melihat tanggungjawab itu sebuah amanah, maka dia akan merasa tenang dan bahagia kerana mendapat pertolongan daripadaNya.
Cuba kita fikirkan, seorang engineer atau jurutera yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah mesin yang berfungsi untuk mengawal suhu cecair petroleum yang disedut di dalam perut bumi, sudah tentu akan merasa tension kerana merasa kerja yang dilaksanakannya perlu memenuhi Key Point Indicator (KPI) yang ditetapkan oleh ‘manager’nya. Tetapi, jika dia melihat bahawa kerja itu suatu amanah Allah s.w.t. yang diberikan atas kepakaran atau kelebihan yang ada padanya, maka dia akan merasa tenang dan bahagia dalam melaksanakan kerjanya. Malah, dia akan terus bersungguh-sungguh untuk melaksanakan yang terbaik dan termampu untuk dirinya semata-mata mencari keredhaanNya.
Gaji yang diterimanya dianggap sebagai suatu hadiah dan bukan sebagai kayu ukur kehebatan dirinya. Samada besar atau kecil gaji yang bakal dimilikinya, apa yang penting adalah kualiti kerja yang dilaksanakannya.
Sedar atau tidak, manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t adalah pemimpin yang akan mentadbir bumi ini. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
“Kamu semua adalah pemimpin dan akan disoal tentang kepimpinanmu...” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, seseorang itu tidak boleh lari daripada memegang suatu tanggungjawab, malah sekecil-kecil kepimpinan adalah menjadi pemimpin bagi dirinya sendiri. Seorang dai'e yang prihatin akan sentiasa merasa bahawa mad'u yang berada di hadapannya sentiasa menginginkan perubahan dalam dirinya. Cuma kadangkala mungkin dai'e tersebut terlalu isti'jal dalam tindakannya menyebabkan mad'u tersebut merasa takut dan lari daripadanya.
Apakah setiap perbuatan yang kita lakukan, kayu ukurnya adalah keputusannya. Bagaimana kalau seorang yang sentiasa rajin mentelaah buku, tetapi apabila keputusan peperiksaan yang diterimanya bukanlah sebaik yang diusahakannya.
Kesimpulannya, khabar angin yang mengatakan bahawa ejen kristianisasi begitu hebat adalah kerana dai'e yang begitu ramai tetapi tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Ingat bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui saat akhirnya, apakah jawapan yang boleh kita berikan sekiranya dipersoalkan segala tanggungjawab yang diberikan di hadapan Maha Pencipta.
Comments
Post a Comment