Prasyarat Kemenangan

Semua orang yang berjuang mahukan kemenangan. Malah ramai para pejuang Islam
yang mengimpikan kemenangan berlaku semasa hidupnya. Namun apakah definasi
kemenangan yang diinginkan oleh Islam?.

Ada pejuang meletakkan kemenangan dalam perjuangannya ialah ; apabila

berjaya menjadi wakil rakyat dan menjadi pemerintah di sesebuah negeri
sebagaimana kejayaan nabi s.a.w meguasai kuasa pemerintahan di Madinah
semasa hayat baginda.

Kejayaan memerintah sebuah negeri adakah satu kemenangan hakiki atau ia

adalah satu bebanan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di
akhirat? Apakah mereka yang gagal mendapat kuasa semasa hidupnya di dunia
adalah golongan yang gagal di akhirat?

Apakah kita diwajibkan berusaha mendapatkan kuasa dengan apa juga cara atau

cara mendapatkan kuasa juga perlu mengikut landasan Syariat?. Apakah kuasa
pemerintahan itu satu-satunya matlamat Islam maka apabila kita berkuasa kita
telah dikira berjaya mencapai matlamat Islam?

Sebenarnya Islam mempunyai definasi tersendiri mengenai kejayaan dan

kemenangan. Pejuang-pejuang Islam sebenar adalah mereka yang berjuang bagi
merealisasikan kemenangan yang dikehendaki oleh Allah bukan kemenangan
berdasarkan definasi mereka sendiri.

Allah Azza wa Jalla menyebut kejayaan dan kemenangan dengan beberapa istilah

dalam al-Quran seperti; Aflaha, al-muflihun dan al-faizun. Allah juga
mengistilahkan orang yang gagal sebagai Khusr dan al-khasirun.

Allah menyebut kemenangan sebagai al-Nasr dan menegaskan bahawa semua

kemenangan adalah kurniaan Allah yang bersyarat. Allah menegaskan punca
kekalahan umat Islam dalam pertembungan dengan Thaghut apabila mereka tidak
memiliki pra syarat kemenangan.

*وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ
وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ الْعَزِيزِ**الْحَكِيمِ *


*“Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala-bantuan itu melainkan sebagai

khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan
kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana.”
(Al-Imran 3:126)*

Ayat ini merupakan komentar Allah kepada umat Islam selepas peperangan Uhud

dan merupakan penegasan semula kepada orang-orang beriman selepas Allah
memberi komentar yang sama selepas peperangan Badar sebagaimana yang
terdapat di dalam surah al-Anfal..

وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ وَمَا
النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


*Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan

sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan
kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana.
“(Al-Anfal 8:10)*

Dua peristiwa besar dalam sejarah umat Islam ini; kemenangan dalam

peperangan Badar dan kekalahan dalam peperangan Uhud, mengenengahkan
faktor-faktor kemenangan dan prasyaratnya yang Allah kemukakan kepada
seluruh umat Islam di sepanjang jalan perjuangan. Tanpanya Allah tidak akan
memberikan kemenangan untuk para pejuang Islam kerana bumi ini hanya akan
diwariskan kepada hamba-hambanya yang bertakwa.

Dalam peristiwa peperangan Badar, umat Islam tidak memilih untuk berperang

sebaliknya hanya keluar untuk menyekat kafilah perdagangan yang dibawa oleh
Abu Sufyan tetapi Allah menghendaki sebaliknya. Ketika tidak ada pilihan,
ketika tidak ada persediaan sebab fizikal yang cukup umat Islam tidak ada
pilihan lain selain menyerah seluruh pengharapan kepada Allah Yang Maha
Perkasa lagi Bijaksana. Hati umat Islam seluruhnya pasrah dengan kehendak
Allah lalu dengan hati yang bulat, ikhlas, penuh pengharapan kepada Allah
mereka berjuang dengan mengharapkan untuk mendapat pahala sebagai syuhada.

Pengutusan para malaikat menyertai mereka hanyalah untuk menenangkan hati

orang-orang yang beriman dan kemenangan yang mereka perolehi kerana Allah
ingin mengurniakan kepada mereka kemenangan tersebut. Namun kemenangan itu
bukan dengan mereka berpeluk tubuh tetapi setelah mereka memberi dan
berusaha dengan apa yang mereka miliki beserta penyerahan menyeluruh kepada
Allah SWT.

Peperangan Uhud pula sebaliknya, umat Islam telah mengetahuinya, sudah

dilakukan mesyuarat, segala kelengkapan peperangan disiapkan, strategi
peperangan disusun, jumlah tentera lebih ramai daripada dalam peperangan
Badar dan umat Islam keluar ke medan jihad dengan penuh semangat tetapi
Allah tidak inginkan mereka beroleh kemenangan sebagaimana kemenangan dalam
peperangan Badar kerana tidak cukup syarat-syarat kemenangan.

Antara syarat-syarat kemenangan yang dipertegaskan oleh Allah dalam surah

al-Anfal ialah:

*1. Tetap hati, banyakkan mengingati Allah dan memohon ampun/bertaubat

kepada-Nya.*

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُواْ
وَاذْكُرُواْ اللّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلَحُونَ


*“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka

berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu
beruntung.”
(Al-Anfal 8:45)*

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا


*“Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya.

Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.”
(An-Nasr 110:3)*

*2. Mentaati Allah dan Rasulnya, tidak wujud sikap berbantah-bantah sesama

orang yang beriman dan bersabar.*

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ
رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ


*“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu

berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang
kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang
sabar.
“(Al-Anfal 8:46)*

*3. Tidak memiliki sifat sombong, angkuh, riak dan menghalang manusia dari

jalan Allah.*

وَلاَ تَكُونُواْ كَالَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاء
النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللّهِ وَاللّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ


*“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya

dengan rasa angkuh dan dengan maksud riak kepada manusia serta menghalangi
(orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka
kerjakan.
”* *(Al-Anfal 8:47)*

*4. Ikhlas dan tidak mengharapkan dunia sedikitpun dalam perjuangan.*

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّى
إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّن بَعْدِ مَا
أَرَاكُم مَّا تُحِبُّونَ مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن
يُرِيدُ الآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا
عَنكُمْ وَاللّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ


*“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu

membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih
dalam urusan itu dan menderhakai perintah (Rasul) sesudah Allah
memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang
menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat.
Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan
sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai kurniaan (yang
dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman.
” (Al-Imran 3:152)*

*5. Tiada perasaan ‘ujub.*

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ
أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ
عَلَيْكُمُ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ


*“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan

peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu
kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu
tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah
terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.”

(At-Taubah 9:25)*

Kita insan yang diamanahkan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi juga

ditaklifkan untuk membuat perancangan dan berusaha mewujudkan sebab-sebab
atau faktor-faktor kemenangan dalam diri para pejuang sebagaimana yang
diajar oleh Allah kepada kita seterusnya kita perlu bertawakkal kepada Allah
dan mengharapkan Allah mengurniakan kepada kita kemenangan di dunia atau
kita mendapat ganjaran keampunannya di akhirat.

Tidak ada jalan pintas untuk melahirkan prasyarat kemenangan dalam anggota

jamaah Islam yang berjuang melainkan melalui pentarbiyahan yang tersusun,
berobjektif dan berterusan.

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran