Pesanan buat para Nuqaba'

Salam buat para Murobbi…

Naqib , Murobbi atau Mas’ul adalah istilah sinonim di dalam gerakan dakwah dan tarbiyah. Kejayaaan dan kelangsungan hayat sebuah Harakah Islamiah terletak pada keupayaan dan kompetensi Naqib. Memang Naqib menjadi pengukur keberhasilan organisasi dakwah dan tarbiyah.

Naqib yang produktif ialah Naqib yang mampu menghasilkan dua kategori manusia iaitu :

1.       Kader dakwah yang produktif dan bertindak sebagai munaffiz (pelaksana) agenda dan projek jamaah.
2.       Pemimpin dakwah yang hebat,kuat, sedar yang mampu melaksanakan polisi jamaah pada setiap fasa dari fasa-fasa dakwah.


Lantaran itu peranan Naqib amat penting bagi memastikan keutuhan dan kemampanan sebuah Jamaah Islamiah. Ia ibarat enjin penggerak dan inkubator kepada hidup mati gerakan dakwah tersebut. Empat peranan atau keistimewaan Naqib tersebut ialah :

1.  Q = قلب Qalbun  [ Jantung ]
2.  Q = قناة Qanat ( Channel )
3.  Q = قدوة Qudwah ( Model )
4.  Q = قائد Qaid ( Pemimpin )

Q = قلب   Qalbun  [ Jantung ]

Naqib menjadi jantung kepada survival jamaah. Ia adalah tiang seri utama kepada badan organisasi. Naqib menjadi pelaksana induk kepada amaliyah (proses) tarbawiyah, tanzimiyah dan idariyah (pengurusan). Ia ibarat jantung kerana hidup mati satu-satu gerakan bergantung kepada peranan Naqib tersebut. Jantung bertindak mengepam  dan  melancarkan perjalanan darah ke sel-sel tubuh badan. Jika jantung tidak berfungsi dengan baik maka akan membawa akibat buruk kepada tubuh badan.

Imam As-Shaheed Hasan al-Bana diberi kegeniusan oleh Allah SWT apabila beliau memilih perkataan Naqib sebagai organ utama kepada jamaah IM. Ia selari dengan ta’bir Quran sebagaimana firman allah yang bermaksud : “ dan kami utuskan kepada mereka dua belas Naqib..”.

Perkataan inilah juga telah digunakan oleh Rasulullah SAW kepada para Sahabatnya yang menjadi pelopor dakwah untuk diutuskan kepada kaum Ansor. Kata baginda : “ Keluarkanlah untuk aku dua belas para Naqib untuk mereka mengepalai kaum mereka”. Sabda baginda lagi : “ Kamu menjadi kufalak (pembantu) kepada kaum kamu sebagai para Hawariyyin kepada Nabi Isa anak Maryam..”

Naqib menurut Al-Qurtubi adalah ketua kaum yang melaksanakan urusan kaum tersebut, menyelia, memimpin dan menyelidik maslahah kaum.. Kata Ar-Razi : ” Naqib ialah orang yang bertanggungjawab menyelidik dan memeriksa urusan, menjadi tempat sandaran dan perhatian segala urusan dan mentadbir kemaslahatan mereka”.

Justeru Naqib di dalam konteks jamaah ialah individu yang bertindak menjaga maslahah anggota usrahnya, berusaha menjadi jantung kepada anak-anak usrahnya. Segala perkara dan urusan semuannya dibawah pengawasan dan pengendaliannya. Dia menjadi sumber rujukan, bimbingan, tempat menerima taujih dan kunci pelaksana kepada amal jamaah.

Q  = قناة Qanat ( Channel)

Peranan naqib juga sebagai Qanat atau channel yang menghubugkan segala perkara kepada pimpinan Jamaah. Segala taujih, tugas dan polisi jamaah disampaikan melalui saluran Naqib. Apabila Naqib tidak berfungsi dengan baik maka segala proses pelaksanaan polisi, qararat jamaah akan terganggu dan ini akan menyebabakan perencanaan dan agenda jamaah tidak dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya.

Naqib menjadi saluran menerima feedback dan respon ahli terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan oleh jamaah. Segala maklumat, laporan, cadangan dan kritikan membina diterima dan dibawa ke pihak pimpinan. Dengan ini segala maklumat, laporan terpelihara dan selamat dari kebocoran yang boleh merosakkan jamaah. Beliau mebawa humum(keprihatinan), perasan ahli-ahli usrahnya kepada pucuk pimpinan untuk dikongsi bersama.

Oleh itu, Naqib haruslah meletakkan diri pada kedudukan yang betul dan memahami beliau adalah tempat transit maklumat dan penyampai terbaik kepada organ jamaah. Beliau menyampaikan segala permasalahan dan kesulitan para mutarobbinya dan berusaha menyelesaikannya.

Q =   قدوة Qudwah ( Model)

Peranan yang paling penting di dalam memastikan kejayaan dan keberhasilan  amal ialah pada faktor Qudwah. Naqib yang menjadi Qudwah kepada mutarobbinya akan dapat melangsaikan segala permasalahan di dalam jamaah. Ini kerana tidak semua perkara diselesaikan dengan cara teorikal tetapi berhasil apabila wujud Qudwah.

Syeikh Mustafa Mahsyur telah menulis perkara berkatan dengan keutamaan Qudwah di atas jalan dakwah ini melalui kitabnya [al-Qudwah ‘ala Toriq ]. Beliau menggariskan beberapa qudwah yang perlu dilakukan oleh para naqib.

Naqib menjadi model terbaik dari sudut keilmuan, akhlak, jiddiyah , dakwah,amal dan tarbiyahnnya. Kaedah selalu menginagtkan “ Al-Qudwah qabla ad-dakwah “ [Menjadi qudwah sebelum berdakwah ] , begitu juga ungkapan : “ Iza wajada arrajul as-soleh wajadad asbab an-Najah..” [ Bila ada lelaki yang soleh maka akan terhasillah sebab-sebab kejayaan].

Di dalam dakwah lisanul hal lebih tajam dan fasih dari lisan al-maqal (tulisan). Naqib adalah qudwah dan uswah praktikal kepada  mutarobbinya. Jika hilang sifat Qudwah ini, ia akan memberikan kesan kepada mutarobbinya.

Naqib hendaklah menjadi obor (syu’lah) semangat, gugusan timbunan pengorbanan dan sumbangan yang mencurah-curah, lautan mendalam dari segi kefahaman dan kesedaran dan berada pada kedudukan tertinggi pada sifat-sifat unggul, kemuliaan akhlak dan kejernihan jiwa.

Kehebatan seorang Naqib bukan pada pengulangan kalimat-kalimat tarbiyah, teori-teori tarbiyah, bahasa-bahasa tanzim dan kelicikan berstrategi dan berencana tetapi pada implimentasi dan menterjemahkannya ke alam realiti yang memberi saham kepada dorongan secara langsung, pengembangan yang praktis kepada organ jamaah.

Naqib hendaklah memastikan setiap usaha dan qudwah yang ditunjukkannya menjadi ikutan para mutarobbinya. Naqib perlu memiliki sifat seperti berikut :

دمعة المتهجد [ airmata orang yang sentiasa bertahajud]
وحدس السياسي [ kebijaksanaan ahli politik ]
ولباقة المناظر [ketajaman akal pendebat]
ووقار العالم [ ketenangan sorang ilmuwan]
رأفة الوالد [ kasih sayang seorang bapa]
شجاعة المقاتل [ keberanian seorang pejuang]
انتباه الفقيه [ keprihatian seorang faqih]


Q =   قائد  Qaid ( Pemimpin)

Bagi memastikan organisasi terus membangun dan mampu menerjah ke hadapan, maka fungsi Naqib tidak sekadar mengurus dan mengendalikan usrah semata-mata. Ia harus berperanan sebagai Qaid (pemimpin) yang bertanggungjawab memimpin dan melatih para mutarobbinya menjadi kawader dakwah dan tokoh-tokoh yang akan berperanan di dalam masyarakat.

Peranannya sebagai pemimpin dakwah ialah memastikan setiap mutarobbinya  memiliki perkara berikut:

1.       Penguasaan bahan ilmiah meliputi penguasaan ulm syarak yang terdiri dari penguasaan al-Quran, Hadis, Fekh, Sirah, Tazkiyah dan lain-lan lagi.
2.       Penguasaan u’lum dakwah dan harakah dengan mengkaji buku-buku dakwah dan harakah.
3.       Penguasaan ilmu-ilmu kontemporari yang diperlukan di dalam amal dakwah dan harakah.
4.       Menguasai adabiyat organisasi, manhaj, fiqh syura dan perkara berkaitan pengurusan organisasi.
5.       Membangun dan mengembangkan skill @ kemahiran  seperti public-speking, parenting skills, leaderships, kemahiran perundingan, kemahiran mengendalikan mesyuarat, kemahiran coaching, kemahiran komunikasi, team-building, kemahiran pengajaran dan sebagainya.

Keupayaan dan kompetensi Naqib di dalam menjayakan fungsinya sebagai Qaid Tarbiyah wa ad-Dakwah akan dapat melahirkan Amilin yang produktif dan mengembangkan organisasi serta menjadi katalis kepada pencapaian objektif jamaah.

Moga 4Q Naqib menjadi transformasi kepada kemajuan dan kelajuan amal dakwah dan tarbiyah.

sumber : Maalim Fi Tariq

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran