Yudi tenang berzikir

Tidak sebagaimana lazimnya, azan subuh yang berkumandang di dinihari yang hening hari itu menyebabkan hati seorang paderi bagai disayat-sayat, begitu menyakitkan. 

Jantung turut berdegup dengan lebih deras dan kencang sehinggakan Yudi Mulyana bagaikan 'lumpuh' sekujur badannya. 



Benar-benar beliau tidak mampu bangun. Hatta untuk mengangkat tangan pun dirasakan sangat berat. Seolah-olah semuanya keras bertukar seperti batu. 

"Saya tidak tahu apa yang terjadi pada diri saya pada pagi itu," katanya yang menceritakan kembali kejadian yang disifatkan aneh pada awal Ogos tahun 2008.

Lazimnya, Yudi sudah terbiasa bangun seawal subuh untuk beribadat iaitu membaca doa pagi dan membaca kitab Injil sebagai pembuka hari.

Namun pada pagi itu, tidak semena-mena beliau bagaikan 'lumpuh' kesan azan subuh yang berkumandang dari masjid berhampiran. 

Meskipun agak panik, Yudi kembali bertenang dengan mengatur nafas memulihkan semula ingatan.

Apabila dia mampu melangkahkan kaki, Yudi terus menghidupkan televisyen yang kebetulan sedang menyiarkan program berzikir yang dipimpin oleh Ustaz Arifin Illham. 

Lantas tanpa dia sedari, bibirnya terus kumat kamit mengikuti zikir yang dibacakan oleh ustaz itu. 

Apabila tersedar ekoran apa yang dilakukan, dia merasakan dirinya lebih tenang.
Yudi terus bicara sendiri: "Tuhan, apa yang telah terjadi pada ku ini! Sedangkan aku seorang paderi Kristian tetapi hati ini lebih tenang selepas berzikir memuji-muji Allah, tuhan yang disembah oleh umat Muhammad yang sekian menjadi musuhku selama ini!" 

Dia yang juga seorang tenaga pengajar Kristian di sebuah sekolah rendah di Cirebon, Jawa Indonesia masih tidak beroleh jawapan daripada persoalan itu. Namun kejadian yang sama hampir berulang tiap kali dia mendengar azan berkumandang. 

Dia tidak benci pada seruan memanggil untuk mengerjakan solat itu.
Tetapi sekujur tubuhnya bergetar dengan kuat dan setiap kali cuba mencapai kitab Injil. Bukan sahaja hatinya gelisah namun yang lebih peliknya tangannya juga turut menggeletar menyebabkan Injil itu tidak dapat disentuhnya. 



Lalu Yudi terpaksa menemui Ustaz Nudzom, iaitu anak ketua Majlis Ulama (MU) Cawangan Kabupaten Cirebon bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Ini kerana apa yang dialaminya sangat berkaitan dengan soal agama. 

Lalu diceritakan segala pengalamannya kepada Nudzom dan akhirnya terkejut apabila ustaz itu berkata: "Anda sebenarnya telah mendapat hidayah (Islam) dari Allah!"
Mendengarkan itu, Yudi terus terdiam namun hatinya memberontak berkata: "Tuhan, saya tidak ingin menjadi Muslim!" 

Namun apa yang berlaku setiap kali azan berkumandangnya itu tetap menghantui fikiran Yudi. Malah dia sendiri dapat merasakan gereja bukan tempat yang menjanjikan ketenangan di jiwanya. 

Ini kerana ketenangan itu akan hanya menjadi miliknya setiap kali dia melalui masjid atau kadang kala apabila Yudi curi-curi masuk sehingga ke halaman masjid. 

Sekadar lalu di hadapan masjid sahaja, dia bagai dihembus angin nyaman lagi menenangkan.
Sehinggalah pada 7 Ogos 2008, sedang Yudi mengajar anak-anak muridnya, tiba-tiba dia terdengar suara azan yang semakin merdu berkumandang di telinganya di saat masih belum masuk waktu solat. 

"Saat itu juga rasanya saya ingin terus mengucapkan syahadah namun saya berjaya tahan sehinggalah saya mengadu sendiri kepada Guru Besar, Dr. Sri Hayatun mengenai hidayah Allah yang begitu memburu diri ini," katanya. 

Ini menyebabkan guru besar menjadi sangat hairan kerana sepanjang pengetahuannya, Yudi merupakan seorang paderi yang sangat tegar.

Namun tekad Yudi untuk memeluk Islam sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi dengan terlebih memberitahu kepada ibu yang melahirkannya ke dunia ini.

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran