Fenomena berbilang Jemaah di Mesir

بسم الله الرحمان الرحيم
لما قال القائد الدين
كل أمر ذي بال لا يبدأ ببسم الله فهو أقطع
وفي الرواية فهو أجزم
وفي الرواية فهو أبتر أو كما قال النبي صلى الله عليه و سلم

Assalamu'alaikum w.b.t,
Sekalian pengunjung yang tidak jemu-jemu untuk memberi sokongan pada dakwah melalui jaringan tanpa batasan ini,

Bagi menjawab satu isu yang diutarakan kepada saya oleh "guest", rasanya eloklah saya nyatakan ianya dengan lebih ilmiah untuk kita sama-sama bincangkan. Maaf dan harap diperbetul andai ianya ada salah dan kekurangan.

Isu berbilang-bilang jemaah(Ta'addud Jama'ah) adalah satu isu yang sentiasa dimainkan oleh peredaran zaman melalui teori dan praktis orientalis pada mujtama'(masyarakat) islam kini. Jika ianya diimbas dalam sorontan sirah nabawiah, peristiwa pembinaan Masjid Dhiror adalah satu kiasan ulama yang cukup baik untuk fenomena berbilangnya jema'ah di Mesir khususnya dan umumnya di serantau dunia.

Sebelum saya menyatakan pandangan peribadi saya mengenai ISMA Mesir ini adalah lebih baik kita memahami dengan lebih jelas apa pandangan ulama mengenai masalah ini.

Pendapat yang mengharuskan tetapi bersyarat :
1. Lajnah Kajian Ilmiah dan Fatwa
" Setiap peribadi ummat dan jamaah seperti Tabligh,Persatuan Pelajar(mahasiswa) Islam, Ikhwan Muslimin, Jemaah Ansar Sunnah Muhammadiyah, dan lain-lain adalah tidak ma'sum (tidak terpelihara dari membuat kesalahan). Setiap jemaah memiliki kebaikan dan kekurangan pada apa yang dibawakan pada hukum hakam yang diseru dan disebarkan di jalan dakwahnya sehingga kepada apa yang diiktiqadkan, diamalkan dan dibina untuk membimbing dan memindah manusia kepada dakwahnya.(مدى شرعية الإنتماء )

Ulasan:
Pendapat ini telah ditangani oleh Sheikh Abdullah bin Qaun, Sheikh Abdullah bin qadyan dan ramai lagi. Pendapat ini dikemukakan lanjutan daripada soalan yang dikemukakan kepada pihak lajnah untuk mengetahui kebenaran di antara jemaah Tabligh dan Persatuan Pelajar-pelajar Muslim di Arab Saudi. Beberapa teguran telah disampaikan oleh pihak lajnah kepada jemaah tersebut. Beberapa penilaian terhadap fatwa ini perlu dibuat:

i-Fatwa ini dikeluarkan di negara Arab Saudi yang mengamalkan Islam sebagai rujukan negara. Fatwa ini tidak sesuai dilaksanakan di negara yang mengamalkan ideologi Sekularisme. Kaedah Fekah "berubah hukum hakam dengan berubahnya zaman dan keadaan".

ii-Lajnah ini tidak menyebut hujah pengharusan penubuhan taadud jamaah. Di samping itu, pihak lajnah telah menyebut keburukan-keburukan jemaah tabligh, kesatuan pelajar-pelajar muslim Arab Suadi dengan tidak menyatakan jemaah manakah yang sewajarnya diintima'kan.

2. Dr Solah Sowi
"Sesungguhnya taadud jemaah yang diterima di lapangan amal islami terkini ialah taadud takhasus dan berjenis-jenis(تعدد تنوع و تخصص ) bukannya bertentangan dan berlawanan (تعدد تناقض و تضاد ). Adapun taadud yang memecahkan wala umat di antara manusia merupakan waba' dan kecelakaan yang mengubah waqi' kepada fitnah dan menghamparkan jalan kepada pendapat untuk menyendiri daripada semua".

Ulasan:
Dr Solah Sowi telah mengemukan penetapan dan beberapa syarat untuk membolehkan taadud untuk diterima. Ertinya jika syarat-syarat tidak mampu dilaksanakan dan diterima pakai maka taadud tidak akan dibenarkan sama sekali, syarat-syaratnya ;

1. Kesatuan usul-usul dan mazhab iqtiadiah
2. Terbatas kekhilafan di ruang-ruang lingkup furu' dan masalah ijtihadiyah
3. Mengekalkan kesatuan, kesejahteraan dan ukhuwah
4. Takamul( salaing menyempurnakan) antara satu sama lain
5. Kesatuan Politik dan Jihad

Pendapat yang tidak mengharuskan Taadud
1. Ustaz Fathi Yakan
"Lapangan Islam telah menyaksikan kelahiran harakah-harakah, tanzim-tanzim, persatuan -persatuan dan golongan-golongan Islam di atas ruang lingkup yang luas. Meskipun sesetengah orang berpendapat dan mengira berbilang-bilang jemaah ini satu fenomena sihat, sesungguhnya di sepanjang kefahaman syara' untuk amal islami, penentuan sahih bagi maslahah Islamiyyah dan tindakan susulan terhadapa apa yang berlaku, saya mengira taadud jemaah sebagai fenomena berpenyakit dan bahaya serta diperingatkan dengan akibat-akibatyang dahsyat yang tidak diketahui penghujungnya melainkan Allah s.w.t".

Ulasan :
Al-Ustaz Fathi Yakan tidak mengharamkan secara mutlak taadud jemaah tetapi berdasarkan bukti-bukti waqi' dan kesan-kesan negatif menunjukan taadud jemaah tidak mendatangkan faedah untuk amal islami. Al-Fadhil Al-Ustaz Fathi yakan telah membawa hujah-hujah kefardhuan dan daruri kesatuan amal Islami, antaranya;

i- Kesatuan Amal Islami pada sudut kefardhuan syara'
Asal dalam syariat islam adalah kesatuan amal islami dan buka berbilang-bilang. Kesatuan ini dikira fardhu pada syara' dengan beberapa sebab.

ii-Kesatuan amal Islami adalah daruri pada sudut haraki berasaskan kepada beberapa sebab. Antaranya;

a)- Perubahan Islam melazimkan pembentukan kesatuan kekuatan Islam di jalan dan langkah yang satu. Ketiadaan kesatuan melambatkan operasi Islam untuk menghancurkan Jahiliyyah dan memungkinkan kekuatan jahiliyyah terus bertapak.
b)- Tekanan sedunia terhadap Islam dan harakah Islamiyyah yang memerlukan kesatuan hala tuju dan penghadapan.
c)- Kesatuan parti-parti musuh untuk menghadapi harakah Islamiyyah.

2. Sheikh Husein bin Muhsin bin Ali Jabir
"Saya tertarik bahawa taadud jamaah pada umat Islam adalah batil(salah) yang wajib hilang. Sesungguhnya kewajipan pada keyakinan saya bahawa dicurahkan segala usaha umat seluruhnya di dalam satu bahtera dan satu hala tuju. Isyarat ini berpaling kepada bahtera itu yang wajib menghimpunkan setiap peribadi yang bekerja untuk mengembalikan khilafah umat Islam.

Pandangan saya terhadap ISMA Mesir
Maafkan saya pada yang bertanya, bagi saya untuk kita membuat pandangan terhadap jemaah yang baru muncul yang membawa satu hadaf dan misi yang sama seperti yang telah sedia ada(PMRAM), saya tiada masalah mengenainya, tetapi sekiranya hadaf yang sama ini sepatutnya disertakan dengan sifat yang ta'auwun dan tanauwu' dari yang asal bukan bercanggah dengan PMRAM. Kejadian perubatan pelajar di Lapangan Terbang Cairo adalah satu bukti yang mana ISMA bukan satu persatuan yang tanawwu' dengan PMRAM. Sekiranya ada ahli ISMA yang membaca blog ini maka kajilah semula persatuan yang anda bina jangan marah melulu. Saya akui PMRAM bukan satu persatuan yang ma'sum tetapi wajarkah sekiranya kita membeli telifon bimbit yang baru sedangkan hanya keypad kita yang rosak. Ianya terlalu menelan banyak risiko dan belanja. Yakinkah anda dengan menubuhkan jemaah atau persatuan yang baru dari yang sedia ada anda dapat meneraju persatuan anda tanpa cacat cela, sedangkan kita sendiri belajar yang ma'sum di dunia ini hanya Nabi s.a.w.

Sifat takamul yang disertakan oleh Dr. Solah Sowi tadi cukup membuktikan persatuan mahasiswa islam sepatutnya bersifat seperti itu bukannya merebut pelajar dari persatuan yang ada(PMRAM) atau cuba membentuk manhaj yang berasingan dari induk kerana kononnya tarbiah PMRAM itu kurang dan seumpamanya. Bagi saya yang bertanya sendiri boleh menilai satu persatuan yang telah diteraju kepimpinannya oleh mahasiswa/wi Islam sejak dari 1930 selepas jatuhnya khilafah Islamiyah pada 1924 sehingga kini, berbanding dengan persatuan-persatuan lain yang kononnya membawa hadaf dan misi yang sama malahan mengatakan mereka itu lebih baik dari PMRAM sedangkan usia mereka belum pun sampai usia baligh bagi kanak-kanak.

Sekiranya yang bertanya pada saya itu adalah pelajar Mesir maka nasihat dari saya fahamilah dan telitilah apa yang baik dan buruk. Kita sama-sama mengaji dan belajar, nilai dan kajilah seeloknya. Pada ahli ISMA bukan niat saya mencerca tapi sekiranya anda terasa jangan marah terlebih dahulu tetapi bersama kita kaji apakah peranan yang cuba anda bawakan sepanjang penubuhan anda. Andai anda mengatakan anda membawa kebajikan untuk pelajar Mesir mengapa tidak anda bersatu dengan PMRAM sebagai satu persatuan yang sudah sedia bertapak, mengapa perlu wujudnya yang kedua sedangkan yang pertama itu sudah memenuhi ruang lingkup kehidupan mahasiswa di sini. Selagi mana anda tetap dengan pendirian anda yang memungkinkan terjadinya pecah belah pada pelajar di sini maka inilah tanawwu' yang tidak dibenarkan kerana ia bersifat tanaqud iaitu bertentangan dan berlawanan dengan yang sedia ada.

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran