Adakah OIC masih relevan?
OIC didakwa gagal membela Palestin
SEORANG pemuda Palestin yang mengibarkan bendera negara itu mencari perlindungan ketika ditembak dengan gas pemedih mata oleh tentera Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan di kampung Nabi Saleh di Tebing Barat, Palestin, kelmarin. Mereka membantah cadangan perluasan penempatan haram Yahudi iaitu Halamish di kawasan yang ditakluk rejim Zionis di Tebing Barat. - AFP
ISLAMABAD 12 Mei - Pemimpin Jamaat-e-Islami Pakistan, Syed Munawar Hassan mendakwa Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) gagal mewakili suara umat Islam seperti sepatutnya.
Bercakap kepada agensi berita Iran, beliau menggesa OIC agar lebih lantang dalam memberi tekanan kepada Israel yang telah sekian lama menindas penduduk Palestin.
"Kita perlu bersatu untuk menangkis segala serangan dari dunia Barat," katanya.
Jamaat-e-Islami merupakan sebuah parti politik Islam tertua di Pakistan dan berperanan sebagai pembangkang.
Dalam mesyuarat pertubuhan Parlimen antara negara OIC di Istanbul beru-baru ini, pemimpin Islam sepakat mengutuk tindakan Israel yang didakwa menimbulkan provokasi di tanah suci, Baitulmaqdis dan menggesa masyarakat dunia menghalang segala usaha untuk merubah bentuk geografi bandar terbabit.
OIC turut memberi amaran kepada Israel bahawa tindakannya membina kawasan penempatan baru di Baitulmaqdis hanya akan menyebabkan tebing sungai di rantau berkenaan terhakis.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, dalam mesyuarat di Istanbul itu, Baitulmaqdis didapati sedang melalui zaman terburuk dalam sejarahnya dan tindakan diplomatik semata-mata tidak akan dapat menghalang kerakusan pihak Israel.
"Israel mengambil kesempatan terhadap penduduk dunia dengan mereka-reka polisi baru bagi memastikan agendanya tercapai," katanya.
Dalam pada itu, walaupun mengakui matlamat asal penubuhan OIC adalah untuk mempertahankan hak orang Islam, Syed Munawar berkata, ia kini dilihat gagal memainkan peranan penting yang memberi manfaat kepada dunia Islam.
Selain itu, beliau menggesa agar semua umat Islam di dunia ini bersatu dalam menyelesaikan konflik di Palestin.
Menurut Syed Munawar, OIC perlu bersatu dalam menyuarakan tentang kekejaman Israel sekali gus mampu memberi tekanan terhadap kekejaman yang dilakukan mereka. - BERNAMA
Sumber
Mengenang kembali sejarah Palestin, negara milik umat Islam yang sekian lama dijajah oleh Israel. Pada tahun 1948, iaitu apabila Palestin dijajah sehingga hari ini sebanyak 87 perjanjian dan ketetapan berkaitan dengan isu Palestin telah dibuat oleh PBB. Namun, sejauh manakah keberkesanan perjanjian tersebut?
Pihak zionisme sebenarnya bermain dengan masa bagi menakluki "Gagasan Israel Raya" yang diimpi-impikan sehingga agenda "One Israel" disebut-sebut sebagai ucapan harian oleh rakyat Israel.
OIC pula ditubuhkan pada 25 september 1969 yang terdiri daripada 57 buah negara-negara Islam dan 5 negara pemerhati. Namun, angka ini tidak membawa sebarang erti buat rakyat Palestin, kerana saban hari tanahair ini yang sering dikunjungi ledakan bom dan serangan roket oleh Israel semakin hilang di dalam tatapan peta dunia, malah nama Palestin sudah hilang kerana statusnya yang merupakan negara yang tidak berdaulat.
Persoalannya sampai bila ianya akan berterusan...
Rasulullah SAW bersabda, ‘Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian. Maka para sahabat bertanya: Di manakah mereka? Jawab Rasulullah: Di Baitul Maqdis dan sekitarnya.’ (Riwayat Bukhari).
Comments
Post a Comment