Nasihat Untuk Protaz - Berhati-hati dalam memahami khilaf ilmuan silam
Oleh Ustaz Adlan Abdul Aziz
Pasti akan ada dalam kalangan penyokong protaz yang tidak suka penulisan sebegini. Pasti akan ada yang mempertikaikan golongan 'ustaz' pula. Itu boleh diterima - asalkan kita bersama ingin mengubah diri ke arah yang lebih baik. Bagi artikel ini, fokusnya ialah pada golongan protaz, maka jangan timbulkan persoalan kenapa pula tidak dikritik golongan 'ustaz'? Saudara boleh menulis tentang kritikan terhadap 'ustaz' dan pastikan ia tepat dan jelas. Saya mengucapkan jazakallah di atas tulisan ilmiah yang membina. Berbalik kepada tajuk artikel ini...
Kritikan saya (seperti mana beberapa kritikan yang tidak seberapa dalam tulisan lalu) adalah berniat untuk mengubah persepsi protaz yang giat menulis dan memberikan sumbangan ilmu agar memperbaiki kemampuan diri seikhlas mungkin dan juga berhati-hati dalam menghasilkan penulisan akan datang. Maka jangan diubah pula niat artikel ini kononnya - menafikan sumbangan protaz atau menghalang mereka berdakwah.
Dua kata kunci - Pertama, perbaiki kemampuan diri, tingkatkan ilmu dan luaskan pembacaan. Kedua, berhati-hatilah malah gandakan sifat berhati-hati itu dalam menghasilkan penulisan tentang agama.
Saya bersyukur kerana sering diingatkan oleh para ulama (semasa menuntut di Timur Tengah) tentang sukarnya memahami kaedah dan bagaimana sesuatu fatwa dikeluarkan oleh para ilmuan agung Islam seperti para imam mazhab dan ulama lain yang terdahulu. Sangka kita ia mudah, rupanya ia amat sukar dan amat sulit.
Apa yang ingin saya jelaskan dalam artikel ringkas ini adalah -
terdapat protaz yang menulis dalam aspek-aspek yang bersangkut paut dengan perbezaan pandangan ilmuan Islam silam, terutama para ilmuan dalam mazhab-mazhab fiqh terkemuka, juga perbezaan pandangan dalam kalangan sahabat, tabiin dan golongan selepas mereka. Mereka menulis dengan kaedah yang hampir sama iaitu:
- membentangkan sesuatu persoalan fiqh dan yang berkaitan dengan mengumpulkan pendapat-pendapat ulama terkemuka yang pelbagai.
- menjelaskan sebab-sebab berlakunya perbezaan di antara ilmuan dan ulama fiqh.
- mengkaji sebab dan hujah para ilmuan dan ulama tersebut.
- memilih pendapat terbaik mengikut Al-Quran dan hadith.
Kebiasaannya beginilah bentuk penulisan yang kita temui. Mungkin persoalannya tidak berkaitan dengan fiqh secara langsung, mungkin ia berkaitan tafsir, hadith dan sebagainya tetapi ia ditulis dan dibentangkan dalam kaedah yang hampir sama seperti di atas.
Para protaz yang menulis perlu ingat di sini bahawa saya tidak memilih untuk menggunakan ungkapan popular (yang terkadang ada betulnya) iaitu - siapa protaz dan apa kelayakannya untuk menulis dalam bidang agama? Hujah itu pada saya hanya membangkitkan pertelingkahan walaupun ada benarnya dari beberapa sudut. Apa yang ingin saya sebutkan ialah berdasarkan contoh-contoh yang saya temui dari penulisan sebahagian protaz itu sendiri. Kesilapan-kesilapan yang terbukti dilakukan oleh mereka memberikan gambaran tentang kewajipan mereka untuk memperbetulkan apa yang perlu. Nasihat saya adalah seperti berikut:
Nasihat yang saya ingin sebutkan di sini ialah - Berhati-hatilah dalam setiap langkah (memahami perbezaan pandangan ulama) yang disebutkan di atas tadi.
1-Berhati-hatilah dalam membentangkan pendapat para ulama - terkadang ada protaz yang begitu mudah membentangkan khilaf/perbezaan pendapat sedangkan ia tidak menukilkan semuanya itu dari sumber asal, hanya mengambil dari sumber kedua, ketiga dan hanya melihat buku-buku tersebut dalam bentuk terjemahan. Di sini ada protaz yang mempertahankan tindakan ini kerana baginya sumber terjemahan sama sahaja dengan sumber asal, sumber kedua sama sahaja dengan sumber asal atau pertama. Adakah begitu wahai saudaraku? Bagi mereka yang membuat perbandingan (dan saya menyeru sahabat-sahabat protaz membuat perbandingan sendiri untuk tahu) pasti akan ditemui perbezaan yang amat ketara antara sumber utama dan sumber kedua atau ketiga. Pasti juga akan ditemui perbezaan antara sumber asal dan terjemahan. Bagi yang tidak membuat perbandingan malah membuat 'andaian', pasti sama sahaja contoh berikut:
a-Kata-kata al-Nawawi dalam al-Majmu' (jilid, muka surat) (edisi asal)
b-Kata-kata al-Nawawi dalam al-Majmu' (jilid, muka surat) seperti dinukilkan oleh Syeikh ....(ulama moden) dalam bukunya...(edisi asal bahasa Arab)
c-Kata-kata al-Nawawi dalam al-Majmu' (jilid, muka surat) seperti dinukilkan oleh Syeikh....(ulama moden) dalam bukunya (edisi terjemahan)
Apa pandangan saudara? Sama sahaja? Atau di sana ada kemungkinan (walaupun kecil) terdapat maklumat yang berubah?
2-Berhati-hatilah ketika menjelaskan sebab perbezaan pandangan. Saya pernah bertemu dengan satu penulisan yang menyenaraikan perbezaan empat mazhab Islam berkaitan satu permasalahan berkaitan ibadah. Maka disenaraikanlah pandangan-pandangan itu (yang hanya diambil dari sumber kedua dan terjemahan) lalu disenaraikan pula MENGAPA setiap mazhab itu berpandangan sedemikian. Bila diteliti dan saya bandingkan dengan sumber asal dan sumber lebih utama, didapati bahawa penulis telah tersalah dalam menyenaraikan MENGAPA berlakunya perbezaan pendapat. Saya tidak hairan kerana mungkin penulis hanya menyalin daripada sumber terjemahan yang beliau gunakan dan di situlah punca kesilapan tadi. Inilah yang saya maksudkan pada perkara no.1 di atas iaitu kemungkinan-kemungkinan berlakunya kesilapan kerana tidak mampu menggunakan sumber utama. Ada yang sanggup menyatakan bahawa Imam mazhab silam tersilap mengeluarkan hukum kerana mereka tidak jumpa hadith tertentu, atau menyalahi kaedah Bahasa Arab...sampai begitu sekali hebatnya kita memahami sebab dan bagaimana ulama mengeluarkan pandangan, rupa-rupanya bukan begitu hakikatnya.
3-Berhati-hatilah dalam mengkaji hujah-hujah yang dibawa oleh para ulama terutamanya ulama silam. Telah kita ketahui biodata dan keilmuan mereka yang hebat, mengapa begitu mudah mengkaji hujah mereka dengan hanya menggunakan pandangan ulama moden yang ringkas bahkan terlalu mudah membuat kesimpulan? Sebagai contoh mudah, kita lihat sebahagian protaz menyebut bahawa pandangan mazhab A adalah berdasarkan sebuah hadith, lalu hadith itu dinilai dhaif oleh mereka dengan hanya hujah mudah - 'didhaifkan oleh al-Albani' atau 'didhaifkan oleh Syuaib al-Arnaout' dan sebagainya. Persoalan paling awal ialah - adakah imam mazhab itu tidak tahu hadith itu dhaif? Persoalan kedua - siapa pula yang mengatakan bahawa kalau hadith itu dhaif langsung tidak boleh digunakan dalam persoalan fiqh? Persoalan ketiga - adakah benar hadith itu dhaif di kalangan ulama hadith silam dan ulama hadith lain, atau mungkin ia sebenarnya sahih?
4-Berhati-hatilah dalam memilih pendapat terbaik (atau rajih/proses tarjih) kerana pada hakikatnya, sebahagian protaz hanya menukilkan pandangan ulama tertentu. Bermakna itu bukanlah semestinya pendapat terbaik. Itu mungkin hanya:
- Pendapat terbaik pada tanggapan protaz itu sendiri.
- Pendapat yang sempat ditemui oleh pencarian yang tidak meluas.
- Pendapat penterjemah.
- Pendapat oleh ulama tertentu atau aliran tertentu (seperti salafi) yang diminati protaz.
- Pendapat yang disalah fahami oleh protaz.
dan pelbagai lagi kemungkinan lain.
*Ingatlah, ilmu fiqh dirasai ibarat lautan luas bagi mereka yang mengambil pengkhususan fiqh sendiri. Malah ia dirasakan begitu sukar oleh mereka yang bertahun-tahun mempelajari fiqh dengan cara tradisi dan cara moden di pusat pengajian. Tetapi ia kelihatan begitu mudah di hujung jari sebahagian protaz....
Adakah itu ilmu fiqh sebenar?
- Saya akhiri dengan kata-kata: Saya menulis untuk protaz menyedari kelemahan dan memperbaikinya, berhati-hati dalam penulisan dan tidak gopoh...bukannya saya menulis untuk 'menafikan sumbangan' atau 'menyeru protaz menggantung pena masing-masing'. Tulislah, tetapi pastikan kemampuan dan pastikan sumbernya benar-benar asli dan tepat.
-sumber-
Comments
Post a Comment