June 28, 2010

10 Kriteria Pemuda Ansorullah

Pertama : Pemuda yang siap siaga untuk menyahut seruan perjuangan tanpa sebarang rasa ragu bagi menegakkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini. Ikrar mereka ialah ikrar seorang pejuang :
"Sama ada menang atau gugur sebagai syuhada’"


Kedua : Pemuda yang menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya, tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan, biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri iaitu masa, tenaga, harta, darah dan nyawa. Sebagaimana taujihat Khalid Ibnu Walid r.a. ketika berdepan dengan tentera musuh:
"Kami datang dengan suatu golongan yang kasih kepada mati sebagaimana kamu kasih kepada hidup"

Ketiga : Pemuda yang memiliki  kualiti dan tahap piawaian melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur merangkumi amal tarbawi, amal siasi serta amal kebajikan dan dakwah.
Keempat: Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah saw dalam mengurus perjuangan mendepani tahaddiyat [ tentangan ] yang dihadapkan oleh musuh kepada kita. Bukan pemuda yang kasar dan ganas, bukan juga pemuda yang ekstrim dan subversif sebaliknya menjadi ....
 o Pemuda yang beriman dan bertaqwa
o Pemuda yang berilmu dan berwibawa
o Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
o Pemuda yang berhemah dan berhikmah
o Pemuda yang berjiwa besar dan berlapang dada
o Pemuda yang tangkas dan berani
o Pemuda yang cerdas dan cergas
o Pemuda yang sabar dan tabah
o Pemuda yang amanah dan setia
o Pemuda yang rajin dan multazim [ komited ]
 Biarpun masyarakat dan dunia modern hari ini memandang sinis penampilan pemuda yang sedemikian , justeru Nabi saw pernah bersabda:
Islam telah bermula dalam keadaan gharib [ asing ], kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bemula, maka berbahagialah orang – orang yang tetap bersama Islam walaupun dianggap asing .
Kelima : Pemuda yang memiliki aqidah perjuangan yang mantap sekalipun ia adalah seorang pemain futsal yang tegar , memiliki pemikiran Islam yang syumul sekalipun ia seorang seniman dan memiliki  keperibadian muslim yang unggul sekalipun ia seorang pelumba motor.
Keenam : Pemuda yang bersedia untuk menjadi Rijaalut Taghyiir  [ agent perubah ] yang menggerakkan perubahan dalam negara, masyarakat dan sistem pemerintahannya. Membebaskan negara dan masyarakat dari sistem ciptaan manusia yang korup. Negara dan masyarakat yang hanya mementingkan pembangunan material tetapi meruntuhkan spiritual. Negara dan masyarakat yang hanya mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan membina tamaddun serta peradaban terpisah dari wahyu Allah swt.
Ketujuh : Pemuda yang aktif menyertai aktiviti amal Islami , kebajikan dan sosial. Menghubungkan jamaah dengan ummah, menjadi jambatan antara jemaah dengan masyarakat sekaligus menjuarai isu serta menanganinya dengan bijak dan bistari. Memimpin dan membimbing masyarakat secara hikmah berasaskan hujjah, mengambil tempat seorang pemimpin yang disebut oleh Saidina Ali karramallahuwajhah :
Tidak akan sunyi bumi ini dari seorang pemimpin yang bangun berdiri untuk menegakkan agama Allah swt dengan segala hujjahnya.
Kelapan : Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaganya untuk bertelagah dan saling tuding menuding mencari salah antara satu sama lain sedang tanggungjawab perjuangan ini terlalu banyak dan berat untuk diurus. Rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah untuk membina ketumbukan pemuda yang mantap dan perkasa. Firman Allah swt :
"Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan ; kalau tidak nescaya kamu binasa dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar."
(Surah Al Anfaal : Ayat 46)
Kesembilan : Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah. Berfikir dan merancang untuk memperkukuhkan jamaah agar senantiasa berkeupayaan menampung tuntutan ummah yang semakin mendesak. Janganlah hanya berpeluk tubuh dan berfikiran kosong sedang amanah pula semakin berat dan mencabar. Sekadar selesa dan teruja memegang jawatan tetapi mengabaikan tanggungjawab yang digalas merupakan satu pengkhianatan yang dimurkai Allah swt. Sabda Rasulullah saw:
"Kamu semua adalah pemimpin dan setiap dari kalangan kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt mengenai kepimpinannya"

Kesepuluh : Pemuda yang berlapang dada, merendah diri dan berjiwa besar. Sedia memberi arahan dan diarah. Sedia memimpin dan dipimpin. Sedia menegur dan ditegur. Sedia mengkritik dan dikritik . Sedia menasihati dan dinasihati. Sedia mentarbiyyah dan ditarbiyyah. Cepat pula belajar dari kesilapan dan pantas mengambil iktibar dari kesalahan. Sedia mendengar pandangan dari siapa jua dan menelitinya lalu mengambil yang terbaik. Firman Allah swt :
"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna."
(Surah Az Zumar : Ayat 18)

No comments:

Post a Comment