Ke Arah Kecemerlangan Kepimpinan Mahasiswa Islam
Oleh : Ust Abd Ghani Shamsudin
Ke Arah Kecemerlangan Kepimpinan Mahasiswa Islam
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah" (Al-Ahzab : 21)
"Katakanlah apakah kamu mahu Kami jelaskan kepada kamu tentang orang2 yang pekerjaan mereka di dunia ini ialah (pekerjaan) yang sia2, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah bekerja dengan sebaik-baiknya"
"Mereka itu ialah orang2 yang kufur terhadap ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) pertemuan dengan Allah. Sebab itu (nilai) pekerjaan mereka jatuh (hapus) dan Kami pun tidak akan memberikan apa2 pertimbangan nilai terhadap (usaha) mereka pada hari kiamat kelak" (Al-Kahfi : 103-105)
Ada beberapa faktor yang menentukan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa. Faktor2 tersebut ialah :
1. Dasar perjuangan yang diredhai Allah
Dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai2 Islam. Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan Iman, Islam dan Ihsan. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim 'ulama.
Allah berfirman:
"Hai orang2 yang beriman; janganlah kamu mengkhianati Allah, Rasul dan apa yang telah diamanahkan kepada kamu; padahal kamu mengetahuinya" (Al-Anfal : 27)
2. Strategi operasi serta gerak kerja yang berkesan
Perlaksanaan gerak kerja berharakah memerlukan strategi bertindak yang rapi dan teratur. Tanpa strategi yang sesuai dengan fiqh al-Muwazanat serta fiqh al-Awlawiyat maka organisasi mahasiswa sukar meraih kecemerlangan seperti yang diidamkan.
3. Struktur organisasi serta memiliki perlembagaan yang baik
Kejayaan sesuatu organisasi banyak bergantung kepada strukturnya yang baik. Perkara seperti ini diatur perlembagaannya yang komprehensif di mana agihan kuasa antara lembaga2 yang ada diwujudkan secara yang terbaik. Tidak terjadi perkara2 yang menghalang kerja2 organisasi.
Perlembagaannya tidak memungkinkan penyelewangan secara berleluasa. Mekanisme untuk memperbaiki kelemahan organisasi sentiasa terbuka.
4. Figure kepimpinan yang cekap serta berketrampilan
Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jaun kepimpinan yang mempunyai pelbagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang.
Selain daripada beberapa sifat di atas, kepimpinan mahasiswa hendaklah mempunyai ketrampilannya menggarapi aspek-aspek tersebut :
a) Wawasan politik yang jelas
Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi.
b) Ketrampilan berkomunikasi, mampu menguasai pelbagai bahasa
Kelompok mahasiswa yang dipimpin kini bukan hanya suatu bangsa. Dengan penguasaan yang cemerlang mereka berupaya menyampaikan mesej secara lebih berkesan dan meyakinkan (convincing).
c) Ketrampilan moniver
Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita2 organisasi. Mereka mustahak menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap/perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Mereka perlu berupaya meraih kecemerlangan melalui laluan sukar dan halangan yang getir.
d) Memiliki keperibadian Islam yang baik
Pimpinan mahasiswa Islam yang baik ialah orang yang mempunyai ciri2 ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Quran.
5. Aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif
Pemimpin Mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa itu sendiri. Ia (pemimpin) mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap jemaah dan sikap ingin melihat jemaah berjaya.
6. Kelengkapan teknologi yang berkesan
Untuk membayangkan organisasi mahasiswa lengkap dan penuh sarat dengan peralatan teknologi canggih seperti yang dimiliki oleh sektor korporat atau awam yang canggih (advance) sudah pasti suatu igauan yang indah. Sekurang-kurangnya alat komputer, mesin cetak, faks, telefon dan lain2 yang setaraf dengan tuntutan.
7. Program perkaderan (leadership program) yang berkesan
Suatu mekanisme yang penting dalam memastikan kesinambungan wawasan kepimpinan pelajar dan mahasiswa Islam ialah wujudnya sistem perkaderan yang baik untuk menampan pemimpin pelapis yang berwibawa. Oragnisasi mahasiswa yang cemerlang adalah organisasi yang mampu menyediakan golongan pelapis yang kompeten untuk menggarap cabaran zamannya dan zaman2 yang akan datang.
8. Taufiq dan inayah Allah
Barakah dan limpah kurnia Allah perlu ditagih dengan amalan2 ibadah, doa, zikir, dan munajat. Hanya dengan limpahan kurnia Allah, keampunan dan restuNya, kecemerlangan duniawi akan mempunyai makna yang lebih diyakini. Sebab itu, organisasi mahasiswa Islam semestinya tidak lekang dengan program Qiamullail, halaqah zikir dan lain2.
Kesemua nilai2 di atas jika diadun dengan baik akan menghasilkan kecemerlangan. Apatah lagi dalam persaingan masyarakat yang serba rencam ini kualiti dan kecemerlangan mahasiswa tidak lagi merupakan satu pilihan, tetapi sudah menjadi syarat mutlak untuk survival atau meneruskan kelangsungan perjuangan. Mahasiswa tidak bergerak dalam ruang yang kosong. Mereka dilengkari oleh persekitaran yang mempengaruhi sikap, minat dan peribadi tiap2 individu. Justeru itu, budaya gerak kerja mahasiswa harus didasari oleh nilai akhlak dan etika pergerakan yang baik serta berkesan. Dalam hal ini jika mahasiswa terus-terusan berada di takuk yang lama, tanpa mahu merebut semua peluang untuk meningkat diri secara agresif, sudah pasti mereka akan terus terpinggir!!!
Comments
Post a Comment