Antara Aisyah dan Asiah
Asiah, mungkin hanya sedikit yang mengenalinya. Beliau adalah isteri kepada Fir’aun laknatullah. Beliau mempunyai peranan yang penting dalam scenario dan kisah penjagaan Allah terhadap Rasul-Nya. Bayi Musa a.s. membesar dan selamat dari kezaliman Fir’aun sehingga dilantik menjadi Rasul Allah bagi menyampaikan ajaran-Nya yang agung dan membebaskan manusia daripada tirani jahiliyyah yang zalim. Asiah pun turut beriman kepada Tuhannya dan Tuhan Musa. Namun keimanan itu harus berhadapan dengan hukum thaghut suaminya. Beliau berani kehilangan nyawanya demi keimanan kepada Allah S.W.T. Beliau redha atas takdir dirinya dan merasakan kepedihan di dunia untuk memperolehi kemuliaan di akhirat. Keshalihan bertemu dengan kezaliman. Sebuah wacana indah bagi mereka yang mencintai keimanan.
Aisyah r.a. dan Asiah, dua watak wanita utama di zamannya. Namun kedua-duanya mempunyai kisah hidup yang berbeza. Allah S.W.T. mengabadikan kedua-duanya di dalam Al Qur’an untuk dijadikan ibrah dan iktibar. Allah ingin mengajarkan kita tentang sebuah kenyataan. Bahawa tidak selalu keshalihan bertemu dengan keshalihan. Sebagai contoh, realiti hidup Aisyah r.a., di mana Allah S.W.T. mempertemukan keshalihan dengan keshalihan. Keshalihan peribadi bertemu dengan keshalihan kolektif.
Namun ada realiti yang sebaliknya, di mana hidup kita mungkin tidak semanis kehidupan Aisyah r.a. Realiti hidup seperti Asiah, (syuhada’ dari kalangan wanita). Di mana keshalihan bertemu dengan kekufuran dan kezaliman. Keshalihan peribadi tidak bertemu dengan keshalihan kolektif. Bahkan keshalihan kita harus bertahan dalam kezaliman kolektif yang sistemis dan telah membudaya di dalam pentas masyarakat. Seperti keshalihan Asiyah di antara kezaliman suami dan kaumnya. Asiyah mampu membuat pilihan yang cerdas dalam keshalihannya yang merupakan minoriti dalam masyarakat ketika itu. Keshalihan peribadinya mampu mengatasi hidup di dunia untuk kemuliaan hidup di akhirat. Kehidupan yang abadi, bertetangga dengan Allah S.W.T., dalam sebuah rumah di syurga-Nya . Inilah pilihan dan do’a Asiyah:
“Wahai Rabbku bangunkanlah bagiku di sisi Engkau sebuah rumah bagiku di syurga. Dan selamatkannlah diriku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah diriku dari kaum yang zalim”(QS.At Tahrim :11).
Dari sinilah kita dapat mempelajari daripada Asiah tentang hakikat keshalihan. Sesungguhnya, setiap dari kita semoga sampai kepada kesedaran bahawa kita perlu shalih secara peribadi. Keshalihan yang mengakar kuat dalam diri kita. Keshalihan yang memiliki imuniti terhadap keadaan luaran yang boleh jadi tidak selalu shalih. Keshalihan yang tidak terpengaruh oleh usikan orang-orang di sekitar kita.
Kita perlu keshalihan yang cerdas, yang mampu menghadapi pilihan-pilhan hidup dengan neraca Ilahiyah. Hidup yang sulit dan pelik tidak seharusnya meluruhkan keshalihan kita. Keshalihan kita juga keshalihan yang kuat kerana kadang-kadang, orang lain tidak selalu bersama kita dan mendukung keshalihan kita. Keshalihan yang mandiri, yang mampu mendorong kita selalu bergiat dan beramal ketika sendirian atau bersama orang lain. Kerana kita masing-masing akan bertanggungjawab atas setiap detik dari hidup kita. Sebagaimana kelak di yaumul hisab, kita harus bertanggung jawab secara peribadi di hadapan Allah SWT. Tidak terwakilkan atau diwakilkan.
Akhir kalam, kita sedar bahawa untuk mendapatkan keshalihan peribadi kita harus berjuang. Apatah lagi, bagi kita yang ternyata hidup bersama ketidakshalihan. Teguhlah selalu kerana bagi kita itu adalah ujian untuk meningkatkan darjat keshalihan kita. Sedangkan bagi yang hidup bersama keshalihan, semoga tetap waspada dan terus istiqamah di jalan-Nya. Merupakan kecelakaan besar, di mana seseorang hidup dalam komuniti yang shalih namun tidak mampu mengambil pelajaran untuk mencapai keshalihan peribadi. Semoga kita terhindar dari keshalihan yang demikian, keshalihan yang melenakan. Dan kita terus belajar dari Aisyah dan Asiyah tentang sebuah keshalihan, keshalihan yang menyelamatkan. Dan hanya kepada Allahlah kita sandarkan keshalihan kita. Tidak kepada siapapun , selain-Nya.
Wallahu a’lam.
Comments
Post a Comment