Kertas Kerja Tarbiyah


Kedudukan Tarbiyah Islamiyah

Tarbiyah Islamiyah adalah salah satu isi besar dan penting di dalam agama Islam. Ia menjadi satu tugas yang paling utama kepada perutusan para anbiya’. Justeru pengajaran Islam mengenai tarbiyah Islamiyah cukup sempurna dan tiada taranya berbanding pengajaran falsafah dan ideologi kehidupan manusia yang lain.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dialah ( Allah ) Tuhan yang telah mengutuskan di dalam bangsa yang buta huruf ( bangsa Arab ) seorang rasul ( Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam ) daripada kalangan mereka sendiri untuk membacakan ke atas mereka ayat – ayatNya dan menyucikan jiwa mereka ( daripada kekotoran akidah dan jahiliyah) serta mengajarkan mereka al kitab (al Quran) dan al hikmah ( sunnah al Rasul ), dan sesungguhnya mereka sebelumnya telah berada di dalam kesesatan yang nyata.”

Surah al Jumu’ah: 2

Takrif Tarbiyah Islamiyah

Tarbiyah Islamiyah bermaksud satu kaedah terbaik untuk berinteraksi dengan fitrah manusia mengikut manhaj dan cara tertentu agar dapat mencetuskan satu perubahan atau pembaikan di dalam tingkah laku manusia kepada yang lebih baik dan lebih diredhai oleh Allah taala.

Ia adalah satu kaedah, manhaj dan jalan untuk mencapai matlamat agung kehidupan manusia dan penciptaan alam iaitu mencapai kesempurnaan beribadah demi memperolehi keredhaan Allah.

Kaedah tarbiyah Islamiyah ini dikira terbaik kerana ia dalah kaedah yang dipilih dan diwajibkan oleh Allah taala sendiri, tuhan yang mencipta dan mengetahui segala – galanya tentang manusia dan sekelilingnya.

Oleh kerana matlamat tarbiyah Islamiyah bermaksud mencipta manusia yang sempurna, maka ruang legar tarbiyah Islamiyah adalah luas dan mencakupi semua urusan yang berkaitan manusia dan kehidupannya. Ia merangkumi pembinaan di dalam ruh, akal, tubuh serta akhlak dan tingkah laku manusia.

Justeru tarbiyah Islamiyah melangkaui persoalan akidah, ruhiyah dan aqliyah kepada persoalan kesihatan jasmaniyah, akhlak jamaah, kemasyarakatan, politik dan sebagainya.

Ciri – Ciri Manhaj Tarbiyah Islamiyah

Ciri – ciri manhaj tarbiyah Islamiyah di bawah adalah menjadi petanda yang membezakan dan menjarakkannya daripada seluruh falsafah dan ideologi tarbiyah selainnya yang bersifat aqliyah semata – mata;

1- Manhaj yang bersumberkan Islam. Ia mestilah daripada wahyu al Quran dan al Hadis. Sekiranya diambil daripada selainnya, maka hendaklah selari dengan kedua – duanya dan diterima akal ke arah maslahat dan kepentingan manusia.

2- Manhaj yang praktikal. Ia bukan sekadar teori dan retorika semata – mata bahkan menjadi satu manhaj yang membina manusia beragama di dalam diri, keluarga, jamaah dan masyarakat secara praktikal dan hidup.

3- Manhaj yang menyeluruh. Ia meliputi segala asas dan tunjang kehidupan, kemudian menjalar kepada segala aktiviti kehidupan. Justeru ia pasti hadir dan menyumbang khidmat kepada setiap aspek kehidupan manusia.

4- Manhaj yang waqi’ie dan realitis. Ia mengambil kira dan mengiktiraf keupayaan manusia di dalam perlaksanaan manhajnya. Ia tunduk kepada asas wahyu bahawa tiada taklif yang di luar keupayaan manusia. Justeru ia begitu anjal dan aktif di dalam menerima perubahan semasa selagi ia kekal dalam asas dan nilai ugama dan tidak memudaratkan manusia.

5- Manhaj yang saling melengkapi. Ia saling mengikat dan memerlukan. Ia menolak pemisahan di antara juzuk – juzuknya, lalu ia menjadi cacat dan runtuh. Ini kerana binaannya bermula daripada asas – asas yang satu sumbernya. Memisahkannya bererti mencabutnya daripada sumber kekuatannya. Justeru ketika ia membina ruh dan akal, seseorang muslim itu akan cacat tanpa pembinaan jasmani dan akhlak kemasyarakatannya secara serentak.

6- Manhaj yang seimbang. Kekuatan antara juzuknya adalah sama dan selaras dengan tuntutan fitrahnya. Maka ia tidak boleh menjurus kepada pembinaan satu juzuk sehingga meminggirkan juzuk yang lain. Hilang keseimbangan di dalam perlaksanaan manhaj ini akan menyebabkan juzuk yang terbina menyerang dan meruntuhkan juzuk yang terabai. Itulah yang dapat dilihat secara nyata di dalam sistem tarbiyah yang selain daripada Islam.

7- Manhaj yang berperingkat. Ia terlaksana melalui peringkat – peringkat yang mesti diikuti, tidak boleh dialpakan dan tidak boleh diloncati. Ia tunduk kepada binaan fitrah manusia, anjal dan bertindak balas kepada keperluannya dan meraikan keutamaan tertibnya. Justeru sebagai contonya, ia melalui proses tamhid, takrif, takwin, tanfiz dan tamkin sebagaimana diwujudkan dalam manhaj tarbiyah al Ikhwanil Muslmin.

8- Manhaj yang sejagat. Ia adalah manhaj tarbiyah yang sesuai dalam semua keadaan, masa dan tempat. Apa yang dilaksanakan di bumi Arab mungkin saja dilaksanakan dengan jayanya di tempat lain. Ini kerana sumbernya adalah Islam yang di antara ciri agungnya adalah sifat kesejagatannya. Pengambilan sumber selain Islam adalah penyebab kepada kegagalan seluruh sistem tarbiyah yang lain.

9- Manhaj yang ilmiah. Ia tunduk kepada jalan akal di dalam pengajarannya di dalam semua hal.. Ia yang bersumberkan wahyu adalah seiringan dengan ilmu dan akal. Ia tidak mungkin bertentangan kerana wahyu menunjuki akal dan meneranginya. Ia tidak meminggirkan peranan akal bahkan memuliakannya dengancara mengajak manusia menggunakan akal.

10- Manhaj yang positif dan reaktif. Ia menerima taat kepada Allah, cintakan kebaikan dan kesejahteraan serta kesediaan menggempur kejahatan. Ia menolak unsur - unsur negatif daripada merosakkan minda manusia seperti kepercayaan kepada khurafat yang meminggirkan akal. Ia menolak penyembahan sesama manusia dan nafsu syahwat selain menolak taqlid buta di dalam masyarakat yang merencatkan kerancakan akal manusia.

Asas – Asas Manhaj Tarbiyah Islamiyah

Matlamat tarbiyah Islamiyah adalah dibina dan dicetuskan oleh asas - asas binaannya. Maka kejayaan mencapai matlamat tarbiyah adalah terikat dan kembali kepada kekuatan asas – asas manhajnya. Asas – asas manhaj tarbiyah terbina di atas 3 tunjang berikut;

1) Akidah yang sahih pada zat Allah taala, sifat – sifat, nama – nama dan af’alNya serta tauhid rububiyah dan uluhiyahNya. Ia termasuk juga perihal wahyu dan perutusan kenabian serta berita – berita mengenai alam ghaib ( sam’iyat) seperti malaikat, jin, ruh dan alam akhirat.

2) Akidah yang teguh terhadap kesempurnaan syariah Islamiyah dan kesesuaiannya untuk umat Islam, bahkan untuk seluruh manusia di setiap tempat dan zaman. Keteguhan itu hendaklah melangkau kepada keyakinan bahawa sistem selain syariah Islamiyah adalah gagal dan tidak layak untuk mengurus kehidupan.

3) Akidah yang sahih bahawa sistem Islam adalah yang terbaik yang mesti diterima pakai di dalam hubungan kemasyarakatan samada sesama umat Islam atau di antaranya dengan orang bukan Islam, semasa aman dan perang demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Inilah asas – asas manhaj tarbiyah yang di atasnyalah terbina dan lahir manusia yang sempurna yang menyempurnakan matlamat kehidupan di dunia ini.

Matlamat Tarbiyah Islamiyah

Matlamat tarbiyah Islamiyah secara ringkasnya adalah menyediakan insan muslim yang beribadah kepada tuhannya, berkeperibadian soleh, berjaya di dunia dan siap siaga untuk kehidupan akhiratnya.

Ia terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu matlamat umum dan matlamat khusus. Matlamat khusus sebenarnya memperincikan maksud matlamat umum.

Matlamat ini dijelaskan di dalam al Quran dan al Hadis samada secara terperinci atau ringkas dan perlaksanaannya menjadi semakin jelas sepanjang kurun – kurun awal umat Islam.

1 – Matlamat umum tarbiyah Islamiyah

1) Menyediakan insan yang beribadah kepada Allah mengikut syariat Islam yang diajarkan oleh Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Ia hanya berlaku apabila terkumpul syaratnya iaitu terlaksananya rukun – rukun iman, rukun - rukun Islam dan memiliki ilmu dan makrifat yang mencapai keredhaan Allah.

2) Mengikhlaskan ibadah kepada Allah. Ia adalah ibadah dalam erti kata yang luas daripada melaksanakan kefardhuan sehinggalah setiap tingkah laku dan perbuatan harian yang dimurnikan niat kepada Allah. Tanpa niat yang ikhlas, amalan menjadi sia – sia.

3) Melaksanakan kewajiban khilafah di muka bumi. Ia bermaksud beribadah kepada Allah dan memakmurkan bumi ini mengikut manhaj Allah. Ia terhasil melalui penerokaan terhadap bumi dan kekuatannya, memanfaatkan segala hasil mahsulnya dan menggunakannya untuk kebaikan manusia di dunia dan akhirat.

4) Bekerja untuk memastikan perlaksanaan manhaj Allah di muka bumi ini kerana kesempurnaan dan kesesuaiannya untuk kehidupan seluruhnya.

2 – Matlamat khusus tarbiyah Islamiyah

1) Menyiapkan pemikiran insan muslim dan menyuburkan keupayaannya untuk memerhati dan bertadabbur.

2) Menyiapkan tubuh badan dan mendidiknya demi melaksanakan tugas khilafah yang disyariatkan oleh Allah. Islam menuntut jasmani yang sihat dan menjauhkannya daripada sesuatu yang merencatkan keupayaannya untuk bekerja.

3) Mendidik akhlak dan menyucikannya demi menyelesaikan segala permasalahan manusia dan membangunkan kehidupan yang bahagia. Ia merangkumi tarbiyah peribadi dengan menghiasinya dengan sifat – sifat mulia, tarbiyah keluarga dengan kasih sayang,tanggung jawab serta ihsan dan tarbiyah kemasyarakatan dengan kecintaan kepada kebajikan, kesediaan berkorban untuk orang lain dan amar makruf nahi munkar.

4) Mendidik rasa dan kecenderungan bermasyarakat demi mengharmonikan hubungan sesama manusia. Ia mendidik ke arah saling mengenali dan berkerja sama dan saling menjaga hak, akad dan kewajiban.

5) Mendidik rasa keindahan dan estetika dengan menyuburkan rasa tanggung jawab terhadap keindahan alam ciptaan Allah, lalu berusaha berinteraksi dan bereaksi terhadapnya dengan turut menyempurnakan diri dengan keindahan pada akhlak, makan minum, tempat tinggal dan sebagainya.

Semua matlamat tarbiyah di atas sekiranya tercapai, maka ia pastinya melahirkan insan dan masyarakat soleh yang beribadah kepada Allah di dunia dan bersiap untuk menuju akhirat.

Wasilah Tarbiyah Islamiyah

Wasilah adalah jalan ke arah mencapai matlamat. Oleh kerana matlamat tarbiyah Islamiyah adalah bertujuan untuk memuliakan insan dan kehidupan dengan ibadah kepada Allah, maka wasilah dan jalan menuju matlamat tersebut juga mestilah mulia dan diterima Allah.

Justeru wasilah tarbiyah Islamiyah memiliki sifat – sifat berikut; Sahih dan diterima syara’, menjadi penawar kepada penyakit manusia, positif dan membina, meladeni fitrah manusia, menyeluruh dan lebih berjaya dan mendapat keredhaan Allah.

Wasilah tarbiyah Islamiyah dibahahagikan kepada 2 bahagian:

1 – Wasilah umum. Ia bermaksud diterima pakai oleh seluruh umat Islam. Ia adalah seperti berikut;

1) Ucapan atau tazkirah. Kalimah yang lahir daripada hati yang ikhlas mampu menembusi hati dan melekat di dalamnya. Justeru memberi peringatan secara lisan dianggap senjata paling ampuh untuk dakwah Islamiyah.

2) Qudwah hasanah. Ia bermaksud mengikuti orang lain di dalam amalannya yang baik. Ia adalah jalan al Quran yang hampir pasti mengenai sasarannya. Para anbiya’ diberi kekuatan qudwah sehingga memudahkan para pengikutnya mengikuti petunjuknya dengan mudah dan jelas.

3) Pengkisahan sejarah manusia. Ia mudah menjadi iktibar kepada manusia yang berfikir, menetapkan hati dan meringan beban yang tertanggung. Ia menjadi satu wasilah yang cukup berkesan. Al Quran menggunakan pengkisahan umat terdahulu dengan para nabi mereka sebagai wasilah yang mengajak manusia kepada hidayat.

4) Berhias dengan akhlak yang baik. Akhlak yang baik seperti sifat benar, amanah, setia, tawadhu’, sabar, pemurah dan sebagainya cukup untuk menjadi wasilah yang terbaik kepada tarbiyah Islamiyah.

5) Membersih diri daripada akhlak yang buruk. Ia menyempurnakan wasilah ke 4 di atas. Menjauhi akhlak yang buruk seperti keluh kesah, bakhil, sombong, khianat, dengki dan sebagainya akan menjadi senjata dan jalan yang mudah ke arah tarbiyah Islamiyah.

6) Ganjaran dan pembalasan ( pahala dan dosa ). Ia satu wasilah yang mampu mendorong manusia mengejar kemaslahatan untuk diri dan menjauhi kemudharatan. Al Quran penuh dengan peringatan – peringatan dosa dan pahala.

7) Ibadah dan taat kepada Allah. Ia berlaku dengan mendorong kecintaan untuk beribadah dan melakukan ketaatan kepada Allah dengan bukan hanya melaksanakan kefardhuan, bahkan menambahnya dengan bahagian tertentu daripada ibadah nawafil dan sunat.

8) Menyemai kekuatan dalaman manusia. Islam memberi ruang agar kekuatan dalaman manusia diberi tempat dan ruang untuk tumbuh subur dengan kebaikan dan keadilan. Rasa cinta, nafsu, benci, ingin tahu dan sebagainya disemai untuk cintakan Allah, rasul, isteri dan cintakan ilmu dan kebaikan.

9) Menyelesaikan dan mengurai isu dan peristiwa. Ia bertujuan menyemarakkan pemikiran, melatih akal dan mengambil pengajaran dan kekuatan. Ia juga menolong untuk mengosongkan diri daripada keburukan akhlak.

10) Memenuhkan masa dengan tugasan. Masa adalah kehidupan. Tanpa pengisian dengan amal – amal yang baik, masa akan terisi dengan amal – amal yang buruk dan merosakkan. Justeru Islam mentarbiyah manusia dan menganjurkan usaha mengisi masa dengan aktiviti berfaedah melalui kerja – kerja amal kemasyarakatan di samping kewajiban – kewajiban yang banyak.

2 – Wasilah khusus tarbiyah Islamiyah. Ia menjadi pelancar kepada kebanyakan gerakan Islam di dalam mentarbiyah ahli - ahlinya. Ia seperti berikut:

1) Usrah – Satu unit halaqah kecil yang diketuai seorang naqib yang bertanggung jawab ke atasnya dalam mentarbiyah sesama ahli dengan saling mempelajari, memahami, menasihati dan berkerja sama.

2) Katibah – Program satu malam di jalan Allah. Di situ para ahli akan bersama – sama melakukan ibadah solat fardhu berjamaah, membaca al Quran, zikir dan qiamullail selain pembelajaran selepas isya’, hirasah, bacaan al ma’thurat serta riadhah fizikal di sebelah paginya.

3) Rihlah – Program perkelahan ke tempat – tempat tertentu dengan pengisian rohani dan jasmani ke arah memupuk persaudaraan dan kerja sama di antara ahli.

4) Daurah – Program tamrin untuk beberapa hari ke arah memberi kefahaman mendalam kepada ahli terhadap tajuk – tajuk amal Islami yang penting. Ia juga merupakan latihan kefahaman untuk meningkatkan tahap keahlian anggota jamaah.

5) Nadwah – Program seminar sehari atau lebih yang dihadiri kumpulan ahli yang lebih besar ke arah memahami isu – isu semasa jamaah dan masyarakat dan pendedahan politik semasa.

6) Mukhayyam – Program di luar untuk beberapa hari dengan pengisian ceramah, perbincangan, majlis kesenian Islam selain program ibadah dan ukhuwwah.

7) Muktamar – Perhimpunan besar tahunan untuk merumus keputusan jamaah dan mendengar arahan dan amanat kepimpinan.

Kesemua wasilah tarbiyah khusus di atas sebenarnya saling melengkapi dan mestilah dilalui oleh setiap ahli gerakan Islam agar pembinaan syakhsiahnya menjadi sempurna merangkumi tuntutan ruhiyah, aqliyah, badaniyah, jamaiyah, ijtimaiyah dan sebagainya.

Comments

Popular posts from this blog

Lafaz musytarak dalam usul fiqh

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Ibrah Peristiwa Nuzul Al-Quran