Persediaan menuju tirai Ramadhan Al-Mubarak
Segala pujian ke hadrat illahi kerana masih lagi mengurniakan nikmat rezekiNya yang tidak mampu dikira atau dihitung apatah lagi membalasnya, selawat dan salam kepada junjungan mulia Muhammad Ibn Abdullah yang telah lama meninggalkan kita tetapi hasil tarbiyahnya masih lagi kelihatan di dalam sebahagian umatnya, tidak lupa buat para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in yang menjadi generasi pewaris perjuangan yang mulia ini.
Secara sedar atau tidak, tirai Ramadhan sudah mula menunjukkan dirinya. Tidak lama lagi, pintu tirai ini akan terbuka luas bagi setiap hamba-hambaNya yang mengharapkan redha dan rindu untuk bersua denganNya. Rasa letih yang ada sedikit demi sedikit hilang, apabila memikirkan betapa banyaknya nikmat yang diberikan kepada kita.
Kelmarin, ada perjumpaan bersama beberapa pelajar UTP international di bilik VIP room di Masjid an-nur. Antara agenda utamanya iaitu perlantikan imam terawikh di bulan Ramadhan. Sementara menunggu kedatangan Us Zuriat, sempat ana ber'taaruf' dengan pelajar-pelajar international. Ada diantara mereka yang mula menghafal Al-Quran bermula usia 13 tahun, malah yang bermula pada usia 18 tahun pun ada.
Terkenang kembali semasa belajar di perantauan (Springs, SA) suatu masa dahulu, dalam kelas yang ana belajar ada seorang adik yang usianya baru sahaja 8 tahun. Bagi ana, usia tersebut masih begitu muda, malah ana dulu pun pada usia yang sama baru belajar tajwid dengan Ustazah Halwani. Namun begitu, adik ini nampaknya tiada masalah untuk menghafal, lebih2 lagi usia 8 tahun tetapi sudah hafal 8 juzuk.
Di SA, menghafaz Al-Quran merupakan silibus rutin bagi anak-anak kecil disana. Bilamana mereka pergi ke peringkat sekolah menengah, mereka akan teruskan dengan minat yang mereka ingin ceburi, antaranya jurutera, peniaga dan lain2. Sebab itu, tidak hairanlah kalau terjumpa dengan peniaga emas yang huffaz. Sambil2 jaga kedai, sempat lagi mengulang hafazan.
Bersempena dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak ini, "ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadhan".
Firman Allah SWT :
“ Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” ( Al- Baqarah 2 : 185)
Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.
Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"
Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."
Bersama kita imarahkan bulan Ramadhan...
Comments
Post a Comment